Bagi terus melestarikan budaya pembelajaran yang cemerlang, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah perlu gigih mempertingkat dan membaik pulih struktur bangunan sedia ada.
Dibina pada 1936, madrasah ini hampir berusia 90 tahun pada 2026 akan datang. Bangunan madrasah yang terletak di No 3 Lorong 39 Geylang ini sudah menjangkau hampir 18 tahun, dan perlu menjalani kerja baik pulih demi keselesaan pelajar dan kakitangannya.
Selain itu, banyak peralatan yang perlu diganti baru kerana kerosakan yang teruk serta tidak lagi berfungsi. Antaranya, penukaran jubin baru kepada lantai permukaan kasar, kalis air dan tidak licin.
Sementara itu, tempat wuduk wanita di aras tiga juga memerlukan pemasangan pintu dengan tombol baru, pemasangan lampu LED, selain penukaran paip baru di bilik wuduk dan di tandas kerana telah berkarat, saluran paip yang tersumbat dan rosak. Madrasah ini juga perlu melakukan servis pembaikan di bumbung dengan segera kerana terdapat kebocoran teruk.
Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Cik Siti Radhiyah Rahmat, pihaknya menganggarkan perlu berbelanja sehingga $50,000 bagi kerja baik pulih yang giat dijalankan pada cuti sekolah ini.
Selain itu, ia juga memerlukan sehingga $1.5 juta dana bagi tahun 2024-2025 untuk menampung segala kos lain, keperluan dan prasarananya.
“Pada cuti bulan Jun 2024 ini, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah perlu melakukan beberapa kerja baik pulih dan diharap dapat selesai pada 24 Jun, sebelum penggal sekolah baru bermula. Kos untuk kerja pembaikan ini dijangka sebanyak sehingga $50,000. Namun, kami perlu melakukan kerja baik pulih yang lebih besar pada Disember 2024 dan ini boleh menelan belanja sehingga $800,000.
“Kami perlu membuat kerja pembaikan ini mengikut fasa supaya tidak mengganggu waktu persekolahan. Selain kos untuk kerja-kerja ini, kami juga perlu menyelesaikan segala pembayaran bagi kos operasi harian madrasah ini. Justeru, kami amat mengharapkan sokongan dan derma ikhlas daripada masyarakat Islam di sini,” jelas Cik Siti Radhiyah.
Antara daya usaha yang dijalankan ialah penjualan kupon amal nasi beriani daripada Hamidah’s Kitchen. Setiap kupon berharga $15 atau lima keping kupon berharga hanya $75. Kutipan bagi nasi beriani amal ini bakal bermula pada 6 hingga 20 Julai ini.
Kupon ini boleh didapatkan di pejabat madrasah, atau WhatsApp ke talian 9182-4766 untuk membuat tempahan dan pertanyaan lanjut.
CARA DERMA KEPADA MADRASAH AL-MA’ARIF AL-ISLAMIAH
1. PayNow ke UEN: S36MM0001G (Rujukan: jenis derma).
2. Pembayaran melalui NETS dan tunai.
3. Pengambilan derma dari rumah.
4. Pejabat madrasah dibuka dari Isnin hingga Jumaat; 9 pagi hingga 3 petang (waktu cuti sekolah).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg