Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jalur Budaya Geylang Serai bakal lebih meriah, dinamik

Jan 10, 2026 | 9:01 PM
wisma geylang serai, wgs
Pihak Wisma Geylang Serai (WGS) dan penggiat seni bergambar bersama lukisan batik yang dihasilkan masyarakat semasa sambutan ulang tahun ketujuh WGS pada 10 Januari. Kegiatan lukisan batik itu merupakan salah satu program sambutan ulang tahun WGS yang berlangsung sepanjang hari. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB) akan diperluas bagi mengembangkan kawasan tersebut menjadi zon warisan yang lebih dinamik.

Ini akan dicapai menerusi peningkatan dalam keterhubungan melalui prasarana yang dipertingkat dan pembangunan program yang menggalak perpaduan sosial.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa berucap di acara sambutan ulang tahun ketujuh Wisma Geylang Serai (WGS) pada 10 Januari.

“Pertama, kami berhasrat untuk meningkatkan ketersambungan pejalan kaki melalui prasarana yang dinaik taraf.

“Kedua, pembangunan program pembentukan setempat yang akan membantu memeriahkan tempat atau ruangan yang ada melalui acara budaya dan kemasyarakatan,” jelasnya.

Pada September 2024, kawasan Geylang Serai diberi suntikan nafas baru dengan pembinaan Gerbang Ikonik di simpang empat antara Joo Chiat Complex, Pasar Geylang Serai dan WGS, serta tempat permainan kanak-kanak baru di Joo Chiat Complex bersebelahan dengan tempat turun dan naik kenderaan yang telah dinaik taraf.

Selain Dr Faishal, turut hadir di acara sambutan ulang tahun ketujuh WGS itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; serta Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha; AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar; AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; dan AP GRC Marine Parade-Braddell Heights, Cik Diana Pang.

Dinamakan Warna-Warni Wisma Geylang Serai, acara itu menampilkan pelbagai kegiatan yang berlangsung sepanjang hari, termasuk bengkel kebudayaan, kegiatan kesejahteraan, kegiatan basikal imbangan atau ‘balance bike’ bagi kanak-kanak serta bengkel seni seperti melukis batik.

Konsert Warna-Warni Wisma Geylang Serai pula menampilkan artis tempatan dan serantau dalam meraikan kepelbagaian ekspresi budaya dalam masyarakat.

Dilancarkan secara rasmi pada 2019, WGS dibangunkan sebagai hab bersepadu bagi masyarakat Melayu/Islam, menggabungkan ruang budaya, komersial dan kemasyarakatan di kawasan Geylang Serai.

Menyentuh tentang perjalanan WGS setakat ini, Dr Faishal, yang juga Penasihat WGS, berkata:

“Sepanjang tujuh tahun ini, WGS membuktikan peranannya sebagai nadi masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

“Ia bukan sekadar bangunan yang indah dari segi seni bina, ia juga sebuah ruang bermakna di mana warisan dan nilai bertemu wawasan.”

Beliau turut mengulas peranan WGS sebagai sekretariat kumpulan kerja SG60 Bersama, yang menganjurkan acara SG60 Bersama Satu Hati, Seribu Bakti pada November 2025.

Acara itu, yang dihadiri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan hampir 2,000 peserta, menyaksikan perasmian penyelesaian mural masyarakat hasil kerjasama antara Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) dengan WGS sempena sambutan SG60.

Menurut Dr Faishal, kejayaan acara tersebut “menyerlahkan semangat gotong-royong masyarakat Melayu/Islam dalam menyumbang secara bermakna kepada sambutan nasional”.

Selain itu, beliau menekankan bagaimana 2025 juga mencatatkan beberapa pencapaian pertama yang memperkukuh kedudukan WGS sebagai pemangkin budaya dan bahasa.

Antaranya termasuk sokongan kepada program sastera bahasa Melayu anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS), Bisikan Pena; pesta dikir barat anjuran Serumpun DK SG, Festival Dikir Singapura; serta Kempen Bulan Bahasa yang berlangsung selama tiga bulan.

Mengulas hala tuju seterusnya, Dr Faishal berkata WGS akan meneruskan momentum yang dibina pada 2025 dengan pelbagai program, termasuk memperluas sokongan kepada badan pelajar dan penggiat seni menerusi acara seperti Bisikan Pena dan pertandingan tarian hasil kerjasama Sri Warisan, Mutiara Tari.

“WGS bukan milik satu pihak, tetapi milik seluruh masyarakat. Ia mencerminkan apa kita cita-citakan, (iaitu) masyarakat yang berjaya dan berakhlak mulia, serta warga negara yang berkemahiran dan aktif,” ujar Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg