Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jambatan hubungkan Punggol Central, Seletar Link dibuka 3 Ogos

Aug 2, 2025 | 3:06 PM
Punggol Central, Seletar Link, bridge, tpe
Jambatan baru enam lorong yang menghubungkan Punggol Central dan Seletar Link dibuka pada 3 Ogos, memberikan penduduk Punggol akses lebih mudah ke Ekspreswe Tampines (TPE). - Foto FACEBOOK SUN XUELING

Pemandu yang tinggal di Punggol Barat akan mempunyai laluan alternatif untuk menuju ke Ekspreswe Tampines (TPE) apabila jambatan kenderaan enam lorong baru yang menghubungkan Punggol Central dengan Seletar Link dibuka pada 3 Ogos.

Laluan alternatif untuk keluar masuk ke bandar Punggol akan membantu mengurangkan kesesakan trafik di jalan utama sedia ada seperti Punggol Way dan Punggol Road, yang menghala ke TPE, lapor The Straits Times (ST).

Jambatan baru itu, yang terletak berhampiran dengan Sekolah Menengah Yusof Ishak, dilengkapi dengan persimpangan jalan yang dinaik taraf dan laluan tanpa halangan yang bersambung dengan Penghubung Taman Punggol, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, Cik Sun Xueling, dalam satu hantaran Facebook pada 31 Julai.

Jambatan itu akan menjadi sebahagian daripada jalan baru yang dinamakan Seletar South Link.

Cik Sun, yang juga Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), berkata dalam hantaran media sosial terdahulu bahawa jambatan yang merentasi Sungai Punggol itu akan mempunyai laluan basikal.

“Penduduk Punggol akan mendapat manfaat daripada lebih banyak pilihan pengangkutan masuk dan keluar bandar itu,” katanya pada 1 Ogos.

“Punggol adalah sebuah bandar yang masih berkembang dan kami mempunyai ramai keluarga muda yang memandu dan menggunakan pengangkutan awam untuk bekerja, melawat keluarga dan rakan, serta menguruskan keperluan rumah.”

Cik Sun berkata ramai penduduk Punggol menggunakan susur keluar 9 dan 10 di TPE untuk keluar masuk ke bandar itu. 

Pada waktu sibuk, pemandu boleh terperangkap dalam kesesakan trafik selama lima hingga 10 minit di susur keluar itu sebelum dapat memasuki ekspreswe, katanya.

Pada Januari 2024, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) membuka jejambat baru, Seletar Link Flyover, yang menghubungkan Seletar Link ke TPE.

Ia dibina bagi menampung peningkatan trafik susulan pembangunan baru di kawasan Punggol.

Jejambat itu diharap dapat memperbaiki trafik, terutamanya di susur keluar TPE berhampiran Punggol Way, dengan memberi pemandu pilihan menggunakan Punggol North Avenue dan Seletar Link untuk ke TPE.

Cik Sun turut menambah bahawa tanah di barat Punggol telah diperuntukkan untuk pembangunan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada masa depan.

Oleh itu, sambungan Punggol Central dengan jambatan kenderaan baru ke Seletar Link akan memenuhi keperluan penduduk Punggol masa kini dan akan datang, katanya.

Menurut draf pelan induk 2025 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), dua plot tanah di sebelah Sungai Punggol di kedua-dua sisi jalan Punggol Central telah ditetapkan untuk kegunaan kediaman.

Kerja-kerja pembinaan sambungan jalan itu, termasuk projek kejuruteraan awam yang berkaitan, bermula pada Disember 2018 selepas kontrak bernilai $31.8 juta dianugerahkan kepada Guan Joo Construction.

Cik Sun berkata pada Januari 2024 bahawa jambatan kenderaan itu akan dibuka pada separuh kedua 2024.

Namun, tarikh pembukaan itu ditangguhkan ke separuh pertama 2025, kemudian ke Julai dan kini ke 3 Ogos.

Penduduk Northshore Crescent, Cik Latashni Gobi Nathan, berkata trafik dari rumahnya ke TPE tidak terlalu teruk kerana beliau dan suaminya boleh mengelakkan Punggol Way dengan menggunakan Seletar Link sebagai alternatif.

Namun, masalah timbul apabila mereka perlu ke Sengkang, di mana mertua beliau tinggal, dan perjalanan 10 minit boleh mengambil masa 20 minit jika berlaku kesesakan.

Seorang penduduk Punggol Barat, Encik Eddie Sia, 35 tahun, turut berkongsi pandangan serupa.

“Dulu memang teruk, terutama pada waktu pagi.

“Tetapi sejak Seletar North Link dibuka, kesesakan berkurangan.

“Apabila Seletar South Link dibuka, aliran trafik pasti akan bertambah baik,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg