Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis bandaran baru dibentuk di Jalan Kayu, Punggol

MND: Jumlah keseluruhan majlis bandaran kini cecah 19
May 30, 2025 | 4:36 PM
Kementerian Pembangunan Negara (MND) mengeluarkan perintah di bawah Akta Majlis Bandaran pada 30 Mei untuk melaksanakan penubuhan sebanyak 19 majlis bandaran.
Kementerian Pembangunan Negara (MND) mengeluarkan perintah di bawah Akta Majlis Bandaran pada 30 Mei untuk melaksanakan penubuhan sebanyak 19 majlis bandaran. - Foto ZAOBAO

Kementerian Pembangunan Negara (MND) mengumumkan pada 30 Mei bahawa dua majlis bandaran baru telah dibentuk di Jalan Kayu dan Punggol, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 19 majlis bandaran – meningkat daripada 17 sebelum ini. 

Penubuhan itu dibuat atas permintaan Anggota Parlimen (AP), selaras dengan Akta Majlis Bandaran.

Majlis Bandaran Jalan Kayu merangkumi kawasan undi perseorangan (SMC) yang dimenangi oleh Encik Ng Chee Meng daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei.

Beliau, yang juga Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), akan mempengerusikan majlis bandaran itu, lapor The Straits Times (ST).

Majlis Bandaran Punggol meliputi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) yang turut dimenangi oleh PAP.

Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, akan mempengerusikan majlis bandaran itu, dengan Dr Janil Puthucheary dan Cik Yeo Wan Ling sebagai naib pengerusi.

Kali terakhir majlis bandaran ditubuhkan hanya untuk sebuah SMC adalah selepas GE2011 apabila Encik Sitoh Yih Pin, daripada PAP memenangi semula kerusi Potong Pasir. Beliau mengendalikannya sendiri sehingga 2015.

Mengikut Akta Majlis Bandaran, sebuah majlis boleh dibentuk bagi satu hingga tiga kawasan undi jika AP kawasan tersebut bersetuju.

Sebelum GE2025, kerusi Jalan Kayu adalah sebahagian daripada GRC Ang Mo Kio, yang dahulu dikendalikan oleh Majlis Bandaran Ang Mo Kio bersama Yio Chu Kang dan SMC Kebun Baru.

Dengan perintah baru dikeluarkan, AP Kebun Baru, Encik Henry Kwek, akan mempengerusikan Majlis Bandaran Ang Mo Kio, bersama Cik Jasmin Lau dan Encik Darryl David sebagai naib pengerusi. 

Dalam kenyataan bersama, Encik Kwek berkata Jalan Kayu akan terus dianggap sebahagian daripada ‘keluarga besar Ang Mo Kio’, dengan kedua-dua majlis bekerjasama untuk menjimatkan kos dan memastikan perkhidmatan terbaik untuk penduduk.

Encik Ng, pengerusi Majlis Bandaran Jalan Kayu, memberi jaminan bahawa tiada gangguan perkhidmatan atau perubahan caj penyelenggaraan, dengan pengurus sedia ada, CPG Facilities Management, akan terus berkhidmat buat masa ini. 

Pelan pembangunan kawasan juga sedang dikaji dan maklumat lanjut dijangka dikongsi pada Ogos.

Sementara menunggu lokasi tetap diumumkan, penduduk Jalan Kayu boleh terus berurusan di pejabat sementara di Blok 410, Fernvale Road.

Empat majlis bandaran menukar nama:

  1. Jurong-Clementi kepada Jurong-Clementi-Bukit Batok
  2. Marine Parade kepada Marine Parade-Braddell Heights
  3. Pasir Ris-Punggol kepada Pasir Ris-Changi
  4. West Coast kepada West Coast-Jurong West


Lapan majlis bandaran kekalkan nama: Aljunied-Hougang, Ang Mo Kio, Chua Chu Kang, East Coast, Holland-Bukit Panjang, Jalan Besar, Tampines, Tanjong Pagar

Lima majlis bandaran tidak berubah: Bishan-Toa Payoh, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon, Sembawang, Sengkang

MND menyatakan bahawa semua majlis diberi tempoh sehingga 90 hari untuk menyelesaikan proses penyerahan dan pengambilalihan kawasan masing-masing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg