Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jaminan kepada peniaga S’pura: Johor komited naik taraf prasarana di JS-SEZ

Pastikan peruntukan dana kerajaan Malaysia diguna dengan baik rentasi sembilan zon JS-SEZ
Feb 19, 2025 | 6:55 PM
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkongsi perkembangan projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam sesi perbincangan yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB Malaysia, Cik Ng Wei Wei.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkongsi perkembangan projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam sesi perbincangan yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB Malaysia, Cik Ng Wei Wei. - Foto SBF

Johor sedang berusaha melakar sebuah Pelan Induk Lima Tahun bagi meneroka cara menambah baik prasarana di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Berkata demikian semasa sesi perbincangan bersama lebih 350 wakil perniagaan dan badan dari Singapura pada 19 Februari, Datuk Onn berkata pelan induk itu akan memastikan peruntukan dana yang diberi oleh kerajaan Malaysia dapat dibelanja dengan baik merentasi kesemua sembilan zon di dalam kawasan JS-SEZ.

“Seperti mana Shenzhen (di China) mempunyai pelan induk lima tahun yang mereka kaji semula setiap lima tahun, kami juga akan menghasilkan pelan induk seperti itu.

“Dan saya jangka ia dapat dihasilkan menjelang Jun tahun ini (2025),” kata Datuk Onn.

Datuk Onn berkata demikian bagi memberi jaminan kepada perniagaan Singapura yang mungkin bimbang sama ada Johor komited untuk melaksanakan kerja-kerja naik taraf prasarana bagi mempermudahkan pergerakan dan operasi perniagaan antara kedua-dua negara.

Acara tersebut, yang dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) di Hotel Sunway Big Box di Iskandar Puteri, Malaysia, menyaksikan kehadiran wakil-wakil daripada lebih 180 syarikat Singapura yang berminat meneroka peluang perniagaan di dalam kawasan JS-SEZ.

Persidangan itu, yang disokong bersama oleh UOB, Rajah & Tann dan RSM Singapura, turut menganjurkan sesi perbincangan dengan Datuk Onn, yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB Malaysia, Cik Ng Wei Wei.

Berikutan pemeteraian perjanjian JS-SEZ pada Januari, Malaysia telah menubuhkan sebuah dana pembangunan prasarana bernilai RM5 bilion ($1.5 bilion) untuk menyokong pembangunan kawasan JS-SEZ.

Zon itu bertujuan memudahkan pergerakan warga dan barangan merentasi sempadan Singapura dan Johor, dan meliputi kawasan seluas kira-kira 3,500 kilometer persegi atau empat kali ganda saiz Singapura.

Kawasan ini terdiri daripada sembilan “zon perdana” yang memenuhi keperluan sektor ekonomi yang berbeza, iaitu pusat bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, Sedenak dan Desaru.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) berkongsi perkembangan projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam sesi perbincangan yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB Malaysia, Cik Ng Wei Wei.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) berkongsi perkembangan projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam sesi perbincangan yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB Malaysia, Cik Ng Wei Wei. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Semasa sesi perbincangan itu, Datuk Onn berkata beliau berterima kasih atas maklum balas berterusan yang diberi oleh SBF mengenai kebimbangan yang dibangkitkan pemimpin dan wakil perniagaan dari Singapura.

Ini termasuk kebimbangan mengenai kemudahan perniagaan, kemudahan pergerakan dan cabaran menarik bakat yang sesuai untuk bekerja di JS-SEZ.

“Dari segi bakat, kami telah menubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) setelah mendapat maklum balas daripada SBF.

“Kami juga baru melancarkan Pusat Kemudahan Pelaburan Malaysia – Johor (IMFC-J) semalam (18 Februari). Ini menunjukkan komitmen kedua-dua negara dalam usaha untuk memudahkan pergerakan perniagaan.

“Kami juga menambah lebih banyak pintu masuk elektronik dan banyak melabur dalam teknologi di pusat imigresen, supaya ia akan menjadi lebih lancar apabila peniaga bergerak masuk dan keluar di Koswe.

“Kami juga sedang meluaskan lebuh raya kami. Seperti contoh, lebuh raya dari Johor ke Kuala Lumpur sedang diluaskan sekarang. Malah jalan raya di bandar Johor Bahru juga sedang dinaik taraf,” kata Datuk Onn.

Dengan adanya lebih banyak minat daripada perniagaan yang ingin memasuki JS-SEZ, Datuk Onn berkata Johor merancang menjadi sebuah bandar pintar yang memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), dan menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030.

Untuk menarik lebih banyak syarikat melabur dalam JS-SEZ, Malaysia telah mengumumkan insentif cukai pada Januari, termasuk kadar cukai 5 peratus untuk syarikat yang melabur dalam perniagaan bernilai tinggi.

Kadar cukai 5 peratus khas untuk 15 tahun adalah untuk syarikat yang melabur dalam aktiviti pengilangan dan perkhidmatan yang layak, seperti yang melibatkan AI dan rantaian bekalan pengkomputeran kuantum, peranti perubatan dan pembuatan aeroangkasa.

Di samping itu, pekerja berpengetahuan yang layak yang bekerja di JS-SEZ akan ditawarkan kadar cukai pendapatan sebanyak 15 peratus selama 10 tahun.

Namun, langkah tersebut telah mencetus kebimbangan di kalangan wakil perniagaan, khususnya dalam kalangan perniagaan kecil dan sederhana (SME) bahawa insentif cukai yang disediakan oleh Malaysia itu kebanyakannya akan memberi manfaat kepada syarikat berbilang negara (MNC) sahaja.

Memberi jaminan, Datuk Onn berkata Johor akan memastikan ekosistem perniagaan dan rantaian bekalan SME akan terus berkembang maju di JS-SEZ.

“SME ialah tulang belakang ekonomi kami. Jadi akan ada banyak lagi program pembangunan untuk mereka.

“Walaupun kebanyakan insentif akan diberikan kepada mereka yang melabur lebih banyak, manfaatnya akan benar-benar dirasai oleh SME juga sebaik sahaja mereka memulakan operasi mereka di sini,” kata Datuk Onn.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg