Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insentif cukai, komitmen kukuh M’sia dan S’pura tarik minat pelabur terhadap JS-SEZ

Feb 4, 2025 | 3:36 PM
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal lonjak kemampuan ekonomi Johor-Singapura.
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal lonjak kemampuan ekonomi Johor-Singapura. - Foto hiasan MEDIA DIGITAL JOHOR

JOHOR BAHRU: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) terus menarik perhatian pelabur dengan pelbagai insentif cukai serta komitmen kukuh dari Malaysia dan Singapura, yang menjadi pemacu utama pertumbuhan zon strategik itu.

Seorang penganalisis Maybank Investment Bank (Maybank IB), Cik Lim Sue Lin, berkata rentak pelaburan ke dalam JS-SEZ semakin rancak susulan termeterainya perjanjian kerjasama antara dua negara itu, sekali gus menandakan era baru bagi pembangunan ekonomi di selatan Malaysia.

“Keazaman yang kuat antara Malaysia dengan Singapura adalah faktor penting dalam memastikan kejayaan JS-SEZ.

“Jika sebelum ini terdapat persoalan mengenai daya tarikan pelaburan sebelum perjanjian ini dimeterai, kini momentum pelaburan semakin meningkat dengan ketara,” katanya dalam satu nota penyelidikan, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurut Cik Lim, beberapa daya usaha utama sudah dilaksanakan bagi mempercepat pembangunan JS-SEZ, termasuk sistem imigresen menggunakan kod respons pantas (QR), Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) sebagai pusat sehenti untuk mempercepatkan proses pelaburan, serta Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi menangani isu tenaga kerja.

Selain itu, Zon Kewangan Khas di Forest City, Johor, dijangka berfungsi sebagai hab serantau yang melengkapi Singapura, memperkukuhkan lagi kedudukan JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan utama.

Cik Lim turut mendedahkan bahawa insentif fiskal telah diumumkan bagi setiap zon utama dalam JS-SEZ, meliputi pelbagai sektor ekonomi strategik.

“Terdapat insentif cukai khas bagi hab perkhidmatan sejagat di Flagship A dan B (Pusat Bandar Johor Bahru dan Iskandar Puteri), kompleks logistik pintar di Flagship C (Tanjung Pelepas-Tanjung Bin), serta pembuatan bahan kimia khas hiliran di Flagship D (Pasir Gudang-Tanjung Langsat).

“Selain itu, skim insentif perniagaan pembuatan diperkenalkan untuk Flagship E dan F (Skudai-Senai dan Sedenak), sementara Flagship G (Forest City) menawarkan insentif khas bagi projek pelancongan bersepadu serta insentif pekerja berpengetahuan dalam sektor pelancongan,” katanya.

Menurut Cik Lim, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), yang dikenali sebagai Flagship H, juga akan menerima pakej insentif khas untuk menggalak pelaburan dalam industri minyak dan gas hiliran.

Zon Kewangan Khas di Forest City turut menawarkan pelbagai insentif menarik, termasuk skim Family Offices (pejabat keluarga) selama 20 tahun, kadar cukai keutamaan bagi tenaga kerja yang kembali ke Malaysia, insentif logistik pintar serta insentif penempatan semula bagi hab perkhidmatan sedunia.

Selain insentif fiskal, kelancaran pergerakan trafik di JS-SEZ turut menjadi tumpuan utama bagi memastikan zon itu berkembang secara mampan.

Menurut Cik Lim projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura kini berada di landasan betul dan dijangka siap menjelang akhir 2026 sebelum memulakan operasi pada 1 Januari 2027.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg