Jamiyah Singapura bakal meneruskan warisan mereka dalam menganjurkan sambutan Maulidur Rasul dengan skala besar-besaran. Majlis Maulidur Rasul 1446 Hijrah bertajuk ‘Selawat & Salam Untukmu, Ya Rasulullah saw’ ini menjanjikan pengalaman rohani yang mendalam kepada masyarakat Islam di sini.
Setiausaha Agung Jamiyah, Encik Muhammad Khair Baharin, menyatakan bahawa sambutan Maulid Nabi tahun 2024 ini pada 22 September merupakan satu peluang istimewa bagi kita bersama-sama menghayati dan mencontohi akhlak mulia Rasulullah saw.
“Kami mengajak masyarakat Islam Singapura hadir dan merasai keindahan ajaran Islam serta menambahkan rasa cinta kita kepada baginda Rasulullah saw. Marilah kita bersama-sama menyemarakkan majlis yang penuh berkat ini, sambil mengeratkan ukhuwah sesama kita,” jelas Encik Muhammad Khair.
Acara ini akan dimeriahkan oleh penceramah terkenal dari Malaysia iaitu pendakwah bebas yang juga pelakon, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail, atau Pencetus Ummah (PU) Riz, dan Ustaz Elyas Ismail, serta asatizah tempatan termasuk Ustazah Shameem Sultanah dan Ustaz Muhammad Nuzhan Abdul Halim. Hadirin akan dihiburkan dengan persembahan qasidah, tazkirah, tausiah, nasyid, puisi, dan selawat. Solat maghrib beramai-ramai bersama Ustaz Zahil Zakaria juga akan diadakan.
Di ruang legar, pelbagai kegiatan menarik menanti pengunjung, termasuk perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, tayangan filem animasi Islam, Team Noon, dan lukisan batik. Jamiyah juga mengambil peluang ini untuk meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan Islam, pendidikan awal kanak-kanak, dan bantuan kepada masyarakat.
Satu daya usaha yang diketengahkan ialah program bantuan makanan melalui Jamiyah Foodbank dan pusat mini Foodbank Jampacked, terletak di Bukit Batok, West Coast dan Radin Mas. Orang ramai dijemput menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, dan susu semasa acara ini atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan untuk menderma.
Majlis ini akan dihadiri oleh tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad. Majlis ini akan berlangsung pada Ahad, 22 September 2024, bermula 5.30 petang hingga 10 malam, di Garnet-Aras 2, Foyer 1, Singapore Expo.
Jamiyah telah menjadi perintis dalam menganjurkan sambutan Maulidur Rasul di Singapura berdekad-dekad lamanya. Badan ini pernah mencatatkan kehadiran seramai 40,000 orang di Stadium Negara pada tahun 1981 dan Jamiyah kini membawa semangat itu ke era moden dengan acara mega di Singapore Expo.
Untuk menyertai acara bersejarah ini, orang ramai boleh mendaftar dengan mengimbas kod QR yang disediakan. Tempat terhad. Setiap pendaftaran berpeluang menerima sebuah kitab Al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris, tertakluk kepada ketersediaan bekalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg