Dalam usaha menyemarakkan kemurniaan Ramadan di Singapura, Jamiyah Singapura akan mengadakan pelbagai program kerohanian untuk masyarakat Melayu/Islam di sini.
Kesemua acara ini diadakan di Pusat Islam Jamiyah di No. 31 Lorong 12 Geylang atau melalui dalam talian Facebook dan YouTube Jamiyah Singapore.
Solat tarawih diikuti solat witir yang dijadualkan berlangsung dari 8.45 malam hingga 9.45 malam di Masjid@Jamiyah bermula pada Sabtu, 1 Mac hingga 29 Mac 2025.
Solat tarawih akan dipimpin oleh qari-qari jemputan seperti Sheikh Mohamed Elmongy dari Mesir; Ustaz Salim Bahanan dan Ustaz Muzammil Hasballah dari Indonesia; Ustaz Syukri Ali dan Ustaz Husaini Mahmur dari Malaysia. Solat tarawih turut disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube Jamiyah.
Siri Syarahan Jamiyah menawarkan perbincangan mendalam bersama Ustaz Nuzhan Abdul Halim yang akan menyentuh tema-tema penting seperti pengertian mendalam dan pengukuhan hubungan dengan Allah.
Siri ceramah setengah jam ini akan disiarkan secara langsung setiap Sabtu (8, 15 dan 22 Mac) bermula 11 pagi melalui Facebook, YouTube dan Zoom, yang boleh diikuti oleh penonton di Singapura, Canada dan Australia.
“Pada Ramadan yang diberkati ini, umat Islam digalakkan agar lebih mendekatkan diri dengan Al-Quran, dan dua program istimewa telah dirangka khas untuk memenuhi hasrat murni ini,’’ ujar kenyataan Jamiyah.
Program ‘Tahseen’, yang dikendalikan secara dalam talian melalui Zoom oleh Sheikh Mohammed Elmongy dari Mesir, menawarkan peluang kepada peserta meningkatkan bacaan dan pemahaman Al-Quran. Program ini dijadualkan berlangsung setiap Isnin, Rabu dan Jumaat dari 3 hingga 28 Mac 2025, dari 6 petang hingga 7 malam.
Sementara itu, Program ‘Hubbul Quran’, yang disiarkan setiap hari dari 2 hingga 30 Mac 2025 di Facebook dan YouTube Jamiyah, bermula pada 7.05 malam dan diikuti dengan azan maghrib.
Program ini menawarkan pengalaman unik dengan bacaan merdu, kepelbagaian Qiraat, serta pengajaran Al-Quran yang mendalam di bawah bimbingan asatizah berpengalaman.
Kededua program ini memberikan fleksibiliti kepada umat Islam untuk memilih pendekatan pembelajaran yang paling sesuai dengan jadual dan keperluan mereka.
Majlis Nuzul Al-Quran, acara tahunan Jamiyah Singapura, akan diadakan pada 22 Mac, 9.30 malam. Majlis yang memperingati turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad saw ini akan dimeriahkan dengan bacaan Al-Quran bersama qari dan qariah antarabangsa.
Melengkapi rangkaian program kerohanian ini, Jamiyah turut mengadakan sesi qiamullail pada 27 dan 28 Mac bermula 3.30 pagi di Masjid@Jamiyah.
Dipimpin oleh imam jemputan, sesi ini memberi peluang kepada jemaah beribadah pada sepertiga malam terakhir Ramadan dengan bermunajat, berzikir dan menunaikan solat-solat sunat.
Ramadan juga adalah masa yang meningkatkan kesedaran Muslim tentang semangat kemanusiaan, membantu golongan fakir dan miskin dan golongan kurang upaya.
Pada 2024, Jamiyah menyalurkan bantuan kepada 35,000 penerima merentasi rumah kebajikan, pusat pendidikan, serta pelbagai program pendamping masyarakat.
Bantuan ini merangkumi 2,500 keluarga yang menerima sumbangan makanan bulanan, serta hampir 2,000 kanak-kanak yang dibantu dalam perjalanan pendidikan mereka. Selain itu, khidmat kaunseling percuma turut disediakan bagi memberi sokongan dan membantu mereka membina semula kehidupan.
Komitmen Jamiyah dalam membantu masyarakat semakin diperkukuhkan sepanjang Ramadan melalui ‘Iftar Barakah’ yang dianjurkan setiap hari di Pusat Islam Jamiyah, pengagihan 20,000 ‘Iftar Bento’, serta pakej ‘Meat for Eid’ yang merangkumi 2 kilogram daging, 2 ekor ayam, pes rendang, ketupat segera, dan kuih Raya.
“Kami amat menghargai sokongan masyarakat, kerana wang zakat yang diterima membolehkan kami menganjurkan pelbagai program bermakna – daripada pengagihan makanan hingga inisiatif penjagaan dan pemerkasaan masyarakat, serta memastikan sokongan pendidikan dapat diteruskan,” ujar Presiden Jamiyah Singapura, Profesor (Adj) Datuk Dr Mohd Hasbi Abu Bakar.
Beliau turut berharap agar lebih ramai individu tampil menyalurkan zakat harta mereka kepada Jamiyah bagi memperluaskan manfaat kepada golongan yang memerlukan.
Mereka yang ingin menunaikan zakat bersama Jamiyah Singapura boleh mengunjungi pusat-pusat zakat Jamiyah atau menghubungi talian 9720-5001 untuk mendapatkan perkhidmatan ‘Mobile Amil’.
‘Mobile Amil’ merupakan khidmat amil bergerak yang memudahkan individu dalam melunaskan bayaran zakat dengan lebih selesa dan berkesan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg