Jamiyah Singapura menjemput masyarakat Islam bersama-sama menghayati malam penuh cinta dan kerinduan kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw menerusi Majlis Maulidur Rasul 2026/1448 Hijrah.

Majlis akan berlangsung pada Sabtu, 19 September 2026, di Dewan 2B, Singapore Expo, dari 4.30 petang hingga 10 malam. 

Menurut Naib Presiden I dan Ketua Pegawai Strategi di Jamiyah, Encik Mohd Hafidz Abdul Malik, majlis ini akan dimulakan dengan lantunan ayat suci Al-Quran oleh pemenang Musabaqah Tilawah Al-Quran anjuran Akademi Jamiyah, Maher El-Furqan, baru-baru ini. Suara merdu qari muda ini pasti menggetarkan jiwa serta menyemarakkan kecintaan generasi muda terhadap Al-Quran. 

Bertemakan ‘Kekasih Allah, Inspirasi Ummah’, majlis kali ini bukan sekadar majlis peringatan biasa.

Ia satu pengalaman yang akan membawa hadirin lebih dekat kepada sirah, akhlak dan sunah baginda, sekali gus menyuntik semangat baru untuk menghidupkan cinta kepada Rasulullah saw dalam kehidupan harian.

Beliau berkata majlis turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, sebagai Tetamu Kehormat.

Hadirin berpeluang menimba ilmu daripada pendakwah terkenal Malaysia, Ustazah Dr Norhafizah Musa, menerusi ceramah ‘Keluarga Sakinah, Inspirasi Sirah Rasulullah saw’.

Beliau akan mengupas sirah baginda sebagai panduan membina keluarga yang penuh kasih sayang, ketenangan dan keberkatan.

Turut menyemarakkan majlis ialah Pengarah Ehwal Agama Islam Jamiyah, Ustaz Mohd Suhaimi Mohd Fauzi, menerusi ceramah dalam bahasa Inggeris bertajuk ‘To Love the Prophet saw. More Than Yourself’.

Ceramah ini mengajak hadirin memahami erti sebenar mencintai Rasulullah saw dan menerapkannya dalam kehidupan harian. 

Sesi malam bakal lebih meriah bersama pendakwah muda Malaysia, Ustaz Elyas Ismail, menerusi ceramah ‘Generasi Moden, Jiwa Nabawi’.

Dengan pendekatan santai dan dekat dengan golongan muda, beliau akan berkongsi bagaimana akhlak dan nilai Nabawi dapat menjadi panduan menghadapi cabaran hidup remaja masa kini. 

Jangan lepaskan detik kemuncak, iaitu Mega Selawat dan Mahal Qiyam, yang menghimpunkan tiga kumpulan nasyid serantau, Ar Rayyan dari Malaysia, Ikhwanul Muntaqa dari Singapura dan Ahbaabul Mukhtar dari Indonesia, di atas satu pentas.

Ribuan hadirin bakal bersama-sama mengalunkan selawat dan qiyam sebagai tanda cinta kepada Rasulullah saw.

“Masuk percuma. Kami menjemput anda sekeluarga sama-sama hadir, bukan sekadar memperingati Maulidur Rasul, malah menghidupkan semula cinta kepada baginda saw, mengeratkan ikatan keluarga dan menyemai jiwa Nabawi dalam kehidupan harian,” jelas Encik Mohd Hafidz. 

Tempat terhad. Orang ramai digalakkan segera mengimbas kod QR untuk mendaftar dan nantikan hadiah istimewa pada hari acara, sementara bekalan masih ada.