Topik diikuti
Pergi ke BHkuJamiyah perluas kawasan agihan daging korban, manfaat lebih banyak isi rumah
Jamiyah perluas kawasan agihan daging korban, manfaat lebih banyak isi rumah
4,700 isi rumah pendapatan rendah dijangka terima daging korban hingga 26 Julai
Jamiyah perluas kawasan agihan daging korban, manfaat lebih banyak isi rumah
Cik Saamah Ibrahim, 77 tahun, yang menetap sebatang kara di Eunos, mengisi masa lapangnya dengan membakar kuih-muih bagi mencari pendapatan sampingan serta berbakti kepada kejiranannya menerusi masakannya.
Beliau, yang pernah menjual makanan di Sekolah Menengah Chai Chee itu memang gemar berkongsi masakannya dengan jiran tetangga.
Justeru, beliau bercadang untuk meneruskan amalan ini menggunakan daging korban yang diterimanya daripada Jamiyah Singapura, katanya apabila ditemui Berita Harian (BH).
“Selepas masak apa yang patut untuk diri sendiri, saya akan bagilah dekat jiran-jiran. Ramai juga jiran di sini hidup bersendirian seperti saya.
Setiap isi rumah menerima 2 kilogram (kg) daging korban.
Cik Saamah, yang sudah menetap di Eunos selama lebih 30 tahun, berkata beliau telah menerima bantuan daripada Jamiyah sejak sekitar 2009.
Selain daging korban, Cik Saamah turut menerima sokongan berterusan dalam bentuk barangan makanan setiap dua bulan.
“Saya amat bersyukur ke atas sokongan berterusan oleh Jamiyah sejauh ini. Saya sehingga sudah kenal beberapa ahli-ahli Jamiyah,” katanya.
Memberi sokongan kepada individu seperti Cik Saamah antara tujuan berterusan bagi Jamiyah, kata presidennya, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar.
Malah, Jamiyah telah meluaskan jangkauannya pada 2026 – daripada 28 kawasan ke 31 kawasan.
Menurut Dr Hasbi, ia berharap mengagihkan hampir 9,400 kg daging kambing dan lembu kepada kira-kira 4,700 isi rumah berpendapatan rendah sehingga tempoh pengagihan berakhir pada 26 Julai.
Jumlah daging dan benefisiari itu lebih tinggi berbanding 8,464 kg yang diagihkan kepada 4,232 isi rumah pada 2025.
“Kejayaan ini milik para pelaku korban kami. Terima kasih atas sokongan padu tahun ini, kerana merekalah yang membolehkan kami meneruskan pengagihan daging korban tahunan,” kata Dr Hasbi, menambah.
Turut hadir untuk menyokong pengagihan di Eunos Crescent pada 5 Julai ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Bercakap kepada BH, beliau menyifatkan pengagihan daging korban itu sebagai wadah baik untuk badan Melayu/Islam, seperti Jamiyah, terus menyumbang kepada masyarakat.
“Ini merupakan peluang untuk mereka bekerjasama dengan badan-badan akar umbi, seperti di peringkat kejiranan, untuk melihat bagaimana program dan kerja kebajikan boleh disalurkan kepada para penduduk dengan lebih baik.
“Jamiyah telah melakarkan usaha ini beberapa tahun yang lalu, dan ia menunjukkan bahawa ini adalah satu proses yang efektif untuk memberikan pertolongan dan sokongan kepada para penduduk kita.”
“Saya harap lebih banyak pendekatan seperti ini boleh dilakar menerusi M Kuasa Tiga+ (M3+), untuk mempereratkan lagi hubungan di antara kalangan badan Melayu/Islam kita dengan badan yang lain, supaya kita boleh memberikan sokongan yang lebih padu kepada masyarakat kita,” ujar beliau lagi.
Pengagihan daging korban 2026 juga dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Rakyat (PA).
Selain di Eunos Crescent, Jamiyah turut mengagihkan daging korban kepada sekitar 400 benefisiari di empat kejiranan lain – Nee Soon, Yishun, Sembawang dan Lengkok Bahru pada 4-5 Julai.
Sejak pengagihan bermula pada 27 Jun, Jamiyah sudah mengagihkan daging korban di 13 kawasan menurut jurucakapnya.
Pengagihan juga diadakan di rumah tumpangan dan pusat kebajkan Jamiyah.
Dr Hasbi berkata:
“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kami, supaya semangat berkorban dan berkongsi ini terus dirasai oleh mereka yang benar-benar memerlukan.”
