Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jamiyah sambung semula usaha besar-besaran kumpul makanan

Matlamat kumpul barangan makanan asas bernilai $300,000 untuk manfaat lebih 1,000 keluarga memerlukan
Nov 23, 2025 | 6:50 PM
jamiyah, kumpul makanan
Jamiyah Singapura melancarkan kempen mengumpul makanan besar-besaran ‘Mega Food Drive 2025’ pada 23 November, untuk mengumpulkan barangan makanan asas bernilai $300,000 bagi menyokong lebih 1,000 keluarga memerlukan. - Foto ST

Bergelut dengan beberapa masalah kesihatan seperti penyakit darah pekat, sakit dada dan pening kepala, Encik Uthuman Packir Mastan Mohamed Aly terpaksa bersara lebih awal beberapa tahun lalu.

Kini, pada usia 69 tahun, beliau tinggal sebatang kara di flat sewa kecil di Bendemeer dan setiap pertolongan yang diterimanya, seperti bantuan makanan bulanan daripada Jamiyah Singapura meringankan beban yang dihadapinya.

Apabila ditemui Berita Harian (BH) pada 23 November, beliau berkata,:

“Saya amat terharu menerima bantuan makan ini.

“Tapi saya hidup seorang diri sahaja... kadangkala, saya ada bantuan berlebihan dan saya memberikannya kepada jiran-jiran yang turut memerlukan.”

Encik Uthuman antara lebih 1,000 isi rumah dan keluarga yang bergantung pada bantuan makanan bulanan daripada Jamiyah.

Demi memperkukuhkan bantuan itu, Jamiyah, pada 23 November, telah melancarkan semula kempen mengumpul makanan secara besar-besaran yang kali terakhir diadakannya pada 2021.

Kempen ‘Mega Food Drive 2025’ itu, yang dijadual berlangsung sehingga 31 Disember, bertujuan mengumpul barangan makanan asas bernilai $300,000 untuk menyokong kira-kira 1,000 keluarga atau sekitar 5,000 benefisiari.

Ini termasuk keluarga berpendapatan rendah, warga emas, individu kurang upaya, pesakit warga emas dan golongan yang menganggur.

Berucap di majlis pelancaran pada 23 November di Bank Makanan Jamiyah di Tannery Lane, Naib Presiden III Jamiyah Singapura, Encik Siraj Salman, berkata kekurangan makanan adalah realiti harian bagi sebahagian keluarga rentan di Singapura.

“Melalui ‘Mega Food Drive’ dan program bantuan makanan lain yang kami jalankan sepanjang tahun, kami bukan sahaja menyediakan makanan untuk mereka, malah sokongan... bermaruah yang memperkasakan keluarga menjadi lebih berdikari,” katanya.

Menambah, Encik Siraj melahirkan harapan supaya bantuan yang diberikan dapat meringankan beban asas benefisiari dan membolehkan mereka mengalihkan tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan diri.

Dalam pada itu, Encik Siraj berkata kempen kali ini adalah contoh kerjasama berkesan antara pihak berasingan dalam masyarakat untuk menangani masalah kurang makanan.

Selain bekerjasama dengan dua pasar raya Sheng Siong dan FairPrice Group, serta jenama makanan Nestle, Jamiyah juga bekerjasama dengan Pasukan Polis Singapura (SPF), Buddhist Lodge Singapura, Sekolah Pathlight, Expedia Singapore untuk menjayakan kempen itu.

Di acara pelancaran pada 23 November, sekitar 30 anggota kumpulan penunggang motosikal, BMW Riding Kakis turut menghulur bantuan, membawa barangan makanan asas untuk didermakan.

Pengasas kumpulan tersebut, Encik Mohamed Tajudin Samat, berkata kumpulan tersebut telah bekerjasama dengan Jamiyah sejak 2022.

“Kami sering kali melakukan kerja kebajikan sambil menunggang motosikal... Kami dengan segera menyahut panggilan Jamiyah apabila mereka memohon bantuan kami untuk kempen ini,” kata beliau.

Pengasas kumpulan penunggang motosikal BMW Riding Kakis, Encik Mohamed Tajudin Samat, 61 tahun, berkata kumpulan itu memang biasa melakukan kerja kebajikan secara berkumpulan.
Pengasas kumpulan penunggang motosikal BMW Riding Kakis, Encik Mohamed Tajudin Samat, 61 tahun, berkata kumpulan itu memang biasa melakukan kerja kebajikan secara berkumpulan. - Foto ST
Seramai 30 anggota BMW Riding Kakis berada di Bank Makanan Jamiyah pada 23 November, membawa barang keperluan asas untuk diderma sempena pelancaran kempen ‘Mega Food Drive 2025’.
Seramai 30 anggota BMW Riding Kakis berada di Bank Makanan Jamiyah pada 23 November, membawa barang keperluan asas untuk diderma sempena pelancaran kempen ‘Mega Food Drive 2025’. - Foto ST

Jamiyah telah menyediakan bantuan makanan di Singapura sejak tahun 1970-an, dan setakat ini telah menyokong lebih 25,000 benefisiari.

Pada 2017, Jamiyah melancarkan Bank Makanan iaitu usaha mengumpulkan barangan makanan asas untuk diberikan secara bulanan kepada benefisiari.

Sejak 2021 pula, Jamiyah telah menganjurkan usaha mengumpul makanan pada skala lebih kecil di peringkat sekolah, pertubuhan dan akar umbi.

Selain itu, Jamiyah juga telah bekerjasama dengan pertubuhan akar umbi untuk melancarkan projek Jampacked, iaitu bank makanan mini yang menyediakan keperluan asas, di Bukit Batok, West Coast dan Radin Mas.

Keluarga benefisiari di kawasan itu – yang berpendapatan bulanan kurang $1,000, diberikan kredit $50 untuk membeli barangan di bank makanan mini itu.

Jamiyah juga menyediakan mesin layan diri, atau ‘vending machine’, yang menyediakan makanan hangat di Bukit Batok untuk benefisiari.

Bagaimana hendak menyumbang kepada ‘Mega Food Drive’ 2025?

Bagi menyokong kempen tersebut, orang awam boleh menderma barangan asas yang halal dan mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan jangka hayat.

Ia termasuk minyak masak, mi segera, biskut, makanan tin dan sebagainya.

Boleh walk-in atau pandu lalu di lapan lokasi ini hingga 31 Disember

  1. Pusat Islam Jamiyah (Ibu Pejabat), 31 Lorong 12 Geylang
  2. Jamiyah FoodBank, 9 Tannery Lane
  3. Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), 352 Pasir Panjang Road
  4. Rumah Warga Emas Jamiyah (Darul Takrim), 1 Tampines Ave 3
  5. Rumah Penjagaan Jamiyah (Darul Syifaa), 130 West Coast Drive
  6. Jampacked@Bukit Batok, Blok 188 Bukit Batok West Avenue 6, #01-07
  7. Jampacked@West Coast, Blok 730 Clementi West Street 2, #01-326
  8. Jampacked@Radin Mas, Blok 106 Jalan Bukit Merah, #01-1844
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg