Jamiyah sambut Nuzul Al-Quran tampilkan qari qariah antarabangsa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jamiyah sambut Nuzul Al-Quran tampilkan qari qariah antarabangsa

Majlis 8 Mac diharap dapat menyatu masyarakat menghayati kembali makna wahyu yang mengubah wajah dunia
Mar 6, 2026 | 5:30 AM

Jamiyah sambut Nuzul Al-Quran tampilkan qari qariah antarabangsa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
jamiyah, nuzul al-quran,  Bengkel Interaktif Tarannum , Majlis Khas Tilawah Al-Qura
Suasana khusyuk memenuhi Dewan Al-Malik Faisal, Pusat Islam Jamiyah, semasa Majlis Nuzul Al-Quran 2025, apabila para qari mempersembahkan bacaan Al-Quran dengan penuh penghayatan di hadapan ratusan jemaah. - Foto JAMIYAH SINGAPURA

Bagi Jamiyah Singapura, sambutan Nuzul Al-Quran bukan sekadar acara tahunan, bahkan merupakan teras misi utamanya sejak awal, menyatukan masyarakat untuk mendengar lantunan ayat suci dan menghayati kembali makna wahyu yang mengubah wajah dunia.

Pada 2026, majlis tersebut akan diadakan pada Ahad, 8 Mac 2026, di Pusat Islam Jamiyah di 31 Lorong 12 Geylang, dengan menampilkan qari dan qariah antarabangsa dalam dua program, Bengkel Interaktif Tarannum dan Majlis Khas Tilawah Al-Quran.

Menerangkan kepentingan dan keagungan peristiwa Nuzul Al-Quran, Pengarah Hal Ehwal Agama dan Kemasyarakatan Jamiyah, Ustaz Mohammed Suhaimi Mohamed Fauzi, berkongsi pandangan mendalam tentang detik bersejarah yang menjadi tonggak pembentukan jati diri Muslim sedunia.

Berbekal pengalaman luas mendidik masyarakat Islam Singapura, beliau menghuraikan makna dan hikmah Nuzul Al-Quran dengan penuh kesedaran dan penghayatan yang tulus.

“Nuzul Al-Quran bukan sekadar peristiwa sejarah yang kita kenang setahun sekali. Ia adalah peringatan bahawa wahyu Allah diturunkan sebagai petunjuk bagi setiap zaman, termasuk zaman kita hari ini.

“Mesej Iqra’ yang pertama sekali diturunkan adalah bukti bahawa Islam menjunjung tinggi ilmu pengetahuan sebagai asas peradaban,” katanya.

Nuzul Al-Quran merupakan detik turunnya cahaya petunjuk dari langit ke bumi, kurniaan Allah swt kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, sebagai rahmat untuk seluruh alam.

Menurut Ustaz Suhaimi, Al-Quran bukan kitab biasa. Ia mukjizat yang terus hidup, panduan sempurna yang merangkumi akidah, syariah, kisah umat terdahulu, panduan akhlak, prinsip kemasyarakatan bahkan isyarat-isyarat sains yang menakjubkan. Selama lebih 1,400 tahun, ia tetap terpelihara, tidak berubah walau satu huruf pun, sebagaimana janji Allah swt dalam Surah Al-Hijr ayat 9.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku di Gua Hira’, Makkah, tempat Nabi Muhammad saw biasa menyendiri beribadah, dan merenungi kemerosotan akhlak masyarakat. Pada usia 40 tahun, baginda didatangi malaikat Jibril as dan menyampaikan wahyu pertama, memerintahkan baginda: “Iqra’!”

Perintah itu diulang sehingga akhirnya diturunkan lima ayat pertama Surah Al-‘Alaq yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Maha Pemurah. Yang mengajar dengan pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Wahyu pertama menggariskan ilmu, membaca, dan pendidikan sebagai asas tamadun. Sebuah pesanan penting bagi Singapura, negara yang menjunjung tinggi pendidikan dan pembangunan ilmu.

Al-Quran diwahyukan melalui peringkat. Ulama tafsir menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan secara keseluruhan dari Loh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah pada malam lailatulqadar, kemudian diwahyukan sedikit demi sedikit kepada Nabi saw selama 23 tahun, mengikut keadaan dan keperluan umat. Penurunan berperingkat ini penuh hikmah Ilahi: ia menguatkan hati Nabi, menjawab persoalan semasa, dan membentuk masyarakat secara lestari. Pendidikan yang berkesan bukan perubahan mendadak, tetapi pembinaan yang berterusan.

Mukjizat nabi-nabi terdahulu bersifat sementara, tetapi Al-Qur’an yang dibawa Nabi Muhammad saw kekal hingga akhir zaman. Di Singapura yang berbilang kaum dan moden, ia kekal sebagai suluh kehidupan harmoni, menegakkan keadilan, dan menyokong kesejahteraan masyarakat.

“Bagi masyarakat Melayu Singapura yang berpendidikan dan berdaya saing, penguasaan ilmu dunia perlu disertai dengan kefahaman wahyu. Generasi muda kita perlu melihat Al-Quran bukan sekadar teks ritual, malah panduan hidup yang praktikal, dalam kerjaya, keluarga, kewangan dan hubungan sosial,” jelas Ustaz Suhaimi.

Beliau berkata:

“Namun persoalannya, sejauh mana kita benar-benar dekat dengan Al-Quran? Ramai boleh membaca atau menghafaz, tapi belum tentu menghayati atau mengamalkan. Al-Quran bukan sekadar dinyanyikan dengan tarannum indah, bahkan perlu ditadabbur – direnung, difahami, dan dijadikan panduan hidup. Allah swt berfirman: ‘Tidakkah mereka mentadabbur Al-Quran?” Tadabbur mengajak kita membaca dengan hati yang hadir, bertanya: Apa mesej ayat ini untukku? Perubahan apa yang perlu aku lakukan?’

“Al-Quran telah mengubah masyarakat Arab Jahiliah menjadi umat yang memimpin dunia. Tidak mustahil, jika kita benar-benar kembali kepada Al-Quran, ia mampu membina generasi Muslim Singapura yang berilmu, berakhlak, progresif dan berprinsip. Ini kerana pada hakikatnya, Nuzul Al-Quran bukan hanya kisah turunnya wahyu, malah kisah bangkitnya manusia dengan cahaya petunjuk Ilahi,” tambah Ustaz Suhaimi.

Sebagai tanda penghargaan, 500 pendaftar terawal akan menerima beg cenderahati eksklusif berisi Al-Quran mini, magnet surah, bidet mudah alih, set attar, dan nasi beriani. Daftar dengan imbas kod QR atau layari: https://forms.office.com/r/FBT1XNVsSv.

Imbas kod QR ini untuk menunaikan zakat anda.
Imbas kod QR ini untuk menunaikan zakat anda. -
Imbas kod QR untuk mendaftar ke Majlis Nuzul Al-Quran dan terima beg cenderahati istimewa (500 pendaftar terawal sahaja).
Imbas kod QR untuk mendaftar ke Majlis Nuzul Al-Quran dan terima beg cenderahati istimewa (500 pendaftar terawal sahaja). -
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg