Jamiyah sasar agih 350,000 ‘Iftar Bento’ kepada golongan memerlukan pada Ramadan
Jamiyah sasar agih 350,000 ‘Iftar Bento’ kepada golongan memerlukan pada Ramadan
Harap dapat terus ringankan beban masyarakat, pupuk semangat keprihatinan, dan sokongan kuat ramai
Menyantuni masyarakat kurang bernasib baik dan pekerja asing ialah antara tumpuan Jamiyah Singapura, yang bercadang menyediakan hingga 350,000 kotak makanan buat golongan itu sepanjang Ramadan ini.
Jumlah besar ini turut melibatkan agihan ‘Iftar Bento’ kepada 500 isi rumah di serata Singapura setiap hari sepanjang bulan suci ini.
Naib Presiden III Jamiyah, Encik Siraj Salman, berkata pertubuhan itu “benar-benar mengharapkan sokongan padu masyarakat Singapura, khususnya masyarakat Melayu/Islam kita”, dalam usaha itu.
Selain itu, tambahnya, Jamiyah akan menyediakan pek makanan bagi 300 individu Muslim, termasuk pekerja asing, yang menghadiri ‘Iftar Barakah’ di Pusat Islam Jamiyah di Lorong 12 Geylang.
Encik Siraj berkata usaha Jamiyah ini mencerminkan iltizam pertubuhan mapan itu menceriakan seramai mungkin individu memerlukan dan dalam kepayahan.
“Kami mahu golongan kurang bernasib baik menikmati makanan mencukupi bagi seluruh keluarga semasa berbuka. Jadi kali ini, kami memutuskan untuk menyediakan sebanyak mungkin pek makanan, atau ‘Iftar Bento’, agar setiap orang yang kami bantu dapat berbuka puasa dengan gembira,” ujarnya.
Menurut Encik Siraj lagi, pembahagian ‘Iftar Bento’ ini merangkumi penghuni ketiga-tiga rumah tumpangan yang diuruskan Jamiyah – Rumah Tumpangan Warga Tua ‘Darul Takrim’ di Tampines Avenue 3; Pusat Rawatan Warga Tua ‘Darul Syifaa’ di West Coast Drive; dan Rumah Peralihan ‘Darul Islah’ di Pasir Panjang Road.
Jamiyah juga akan mengagihkan 1,500 ‘Iftar Bento’ kepada penerima bantuan di tiga Majlis Iftar Masyarakat yang dianjurkan di pusat khidmat masyarakat ‘Jampacked’ di Bukit Batok, West Coast dan Radin Mas pada Ramadan.
“Usaha kami ini ialah untuk memastikan kedua-dua golongan, iaitu penghuni rumah tumpangan dan penerima bantuan di ketiga-tiga pusat ‘Jampacked’, tidak dilupakan. Kebajikan dan kesejahteraan mereka adalah keutamaan kami,” ujar Encik Siraj.
Pada 2026, Jamiyah mengadakan lebih 10 program utama sepanjang Ramadan.
Selain program iftar, ia turut melaksanakan program ‘Nuzul Quran’ dan ‘Hubbul Quran’, yang memberi penekanan pada penghayatan Al-Quran melalui ceramah agama, sesi tadarus serta kegiatan pendidikan bagi memperkukuh kefahaman dan kecintaan masyarakat terhadap Al-Quran.
Sebagai persediaan menyambut Aidilfitri, Jamiyah menjalankan program ‘Meat for Eid’, yang mengagihkan pek makanan Hari Raya kepada 2,000 keluarga, membolehkan mereka menyambut Lebaran dengan penuh kegembiraan.
Melalui pelbagai daya usaha ini, Jamiyah berharap dapat terus meringankan beban masyarakat dan memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan.
Penyediaan makanan buka puasa diharap menjadi jambatan harapan bagi ribuan keluarga dan individu yang bergelut dengan cabaran hidup, sekali gus mencerminkan semangat Ramadan sebagai bulan menyantuni sesama insan.
Demi melaksanakan semua program itu, Jamiyah mengharapkan sokongan berterusan masyarakat Muslim Singapura melalui derma, infak dan zakat.
Encik Siraj menekankan menerusi sumbangan zakat, Jamiyah memastikan bantuan yang disalurkannya menyeluruh dan teratur, meliputi kelapan-lapan asnaf penerima zakat, iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil.
“Ramadan mengajar kita berkongsi rezeki dan prihatin terhadap kesusahan orang lain. Dengan sokongan masyarakat, Jamiyah dapat terus melaksana pelbagai program kebajikan serta memastikan zakat dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu kelapan-lapan asnaf.
“Selain zakat, sumbangan derma dan infak memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan program kebajikan Jamiyah sepanjang tahun.
“Ia membolehkan kami bertindak pantas membantu keluarga yang berdepan kesulitan, menyediakan keperluan asas serta memberi sokongan emosi dan sosial kepada golongan memerlukan. Setiap sumbangan, walau sekecil mana memberi kesan besar ke atas kehidupan mereka yang dibantu,” ujar Encik Siraj.
SUMBANG KEPADA JAMIYAH SINGAPURA
Bagi yang tidak dapat datang membayar zakat harta, Jamiyah menyediakan khidmat ‘Mobil Amil’ di talian 9720-5001, dengan amil datang ke rumah, pejabat atau mana-mana tempat yang dikehendaki pembayar zakat.
Untuk sumbangan menerusi Giro, penderma boleh mengirim pesanan ringkas (SMS) ke talian 9633-4630.

