Topik diikuti
Pergi ke BHkuJamus Lim: Langkah sesuaikan dasar parti tanda kematangan, bukan ambil kesempatan
Jamus Lim: Langkah sesuaikan dasar parti tanda kematangan, bukan ambil kesempatan
Langkah menyesuaikan pendirian dasar sekiranya ia silap sebelum ini menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan sesebuah parti politik, kata Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Profesor Madya Jamus Lim, pada 25 Oktober.
Ia bukanlah bukan mengambil kesempatan keadaan kata beliau, sambil menambah bahawa parti-parti politik wajar bersikap terbuka serta mengalu-alukan anjakan dasar apabila terdapat kewajarannya.
“Beginilah seharusnya demokrasi berfungsi pada tahap terbaiknya: bersikap terbuka kepada maklum balas agar pengetahuan kolektif dapat dimanfaatkan,” kata AP GRC Sengkang itu sebagai respons kepada ucapan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Encik Wong terdahulu berkata di persidangan dwitahunan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada hari yang sama bahawa WP tidak sentiasa mengambil pendirian yang konsisten atau koheren mengenai dasar.
Merujuk kepada pendirian WP sebelum ini dan sekarang mengenai perumahan dan tenaga kerja asing, Encik Wong berkata pendirian parti pembangkang itu seolah-olah beralih mengikut “tiupan angin politik”.
Pendekatan PAP sebaliknya berbeza dan selaku parti pemerintah, ia perlu mengambil pandangan yang lebih luas serta berjangka panjang, kata beliau.
Encik Wong menambah bahawa berbeza dengan pembangkang, PAP perlu mengimbangi pelbagai tuntutan yang bersaing dan memikul tanggungjawab atas kesan daripada setiap keputusannya, berbanding memperjuangkan pendirian yang mungkin popular pada waktu-waktu tertentu sahaja.
Menerusi catatan di Facebook, Dr Lim menyifatkan dakwaan Encik Wong itu sebagai sikap “talam dua muka yang sukar dipercayai” sambil menarik perhatian kepada apa yang disifatkannya sebagai pembalikan dasar oleh PAP sejak beberapa tahun lalu.
Beliau memberi contoh perubahan dalam pendirian pemerintah berhubung isu-isu seperti kempen berhenti pada dua anak (stop at two), insurans pengangguran, gaji minimum bagi pekerja tempatan, serta pemansuhan Seksyen 377A yang sebelum ini menjenayahkan hubungan seks sesama lelaki.
Dalam penggal Parlimen ini juga, PAP telah mengubah pendiriannya mengenai saiz kelas yang lebih kecil serta pengkategorian Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) mengikut kapasiti enjin, tambah beliau, sambil menyatakan bahawa dalam kes-kes ini parti pemerintah sebelum ini “menolak alternatif yang dikemukakan hingga ke saat-saat akhir”.
Dr Lim turut menyatakan bahawa kritikan Encik Wong kurang bernuansa dan pendirian WP mengenai perumahan serta tenaga kerja asing telah disalahertikan di luar konteks.
Mengenai perumahan, Encik Wong berkata WP menggesa agar bilangan flat baharu Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dibina dikurangkan pada 2019 sewaktu harga jualan semula sedang merosot, namun kemudian mengkritik pemerintah pada 2023 kerana tidak membina flat yang mencukupi susulan gangguan pembinaan akibat pandemik Covid-19.
Dr Lim menjelaskan bahawa pendirian awal WP berhubung pengurusan bekalan HDB dibangkitkan dalam konteks penyusutan tempoh pajakan iaitu cabaran dasar jangka panjang, dan bukannya gangguan pembinaan jangka pendek yang dicetuskan oleh pandemik.
Berhubung tenaga kerja asing pula, Encik Wong merujuk gesaan WP pada 2012 yang menginginkan kelonggaran lebih besar dalam penggajian pekerja asing serta pertumbuhan sifar tenaga kerja asing semasa perbahasan mengenai populasi. Beliau membandingkannya dengan gesaan WP baru-baru ini agar kuota pekerja asing dilonggarkan di tengah-tengah kekurangan tenaga kerja yang dialami syarikat kecil dan sederhana (SME).
Dr Lim menjelaskan bahawa WP sentiasa berpendirian bahawa kehadiran pekerja asing pada dasarnya bukanlah satu masalah bagi Singapura sebagai sebuah negara pendatang.
Sebaliknya, menurut beliau, kebimbangan parti itu adalah kadar kemasukan tenaga kerja asing serta tekanan yang diberikannya terhadap prasarana fizikal dan institusi Singapura.
Di luar pertikaian dasar secara khusus, Dr Lim berhujah bahawa parti-parti politik harus bersedia mengubah pendirian mereka apabila keadaan atau bukti menuntut demikian.
“Perbahasan timbal balik sebeginilah yang memperhalusi dasar dan memastikannya kekal relevan,” kata Dr Lim, yang juga ketua penyelidikan dasar WP.
“Sudah tentu kita tidak mahu mengorbankan prinsip-prinsip utama, namun kita juga tidak sepatutnya berdegil berpaut pada gagasan dasar yang sudah ketinggalan zaman dan lapuk.”