Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Janil: Gaji permulaan median lulusan WSDip setanding pemegang diploma poly

Nov 12, 2025 | 4:43 PM
Singapura, gaji, WSDip
Semasa berucap di Majlis Penyampaian Sijil Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) Institut Pendidikan Teknikal (ITE) 2025 di Ibu Pejabat ITE, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, mendapati penyertaan dalam program WSDip telah meningkat dengan ketara sepanjang tahun, dan telah memberikan hasil nyata serta positif kepada para lulusan program tersebut. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Lulusan Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) memperoleh gaji permulaan bulanan median sebanyak $2,975, iaitu setanding dengan pemegang diploma politeknik sepenuh masa dan telah “meningkat secara berterusan sejak beberapa tahun”, demikian menurut Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary.

Merujuk kepada Tinjauan Pekerjaan Lulusan (GES) terkini, Dr Janil berkongsi bahawa ini adalah peningkatan ketara berbanding ketika program tersebut mula diperkenalkan, apabila gaji bulanan median pelatih hanya sekitar $2,000.

“Ini menunjukkan nilai kemahiran yang telah anda pelajari, dan menunjukkan keupayaan anda untuk melaksanakan pekerjaan serta tugasan pada tahap lebih tinggi,” ujarnya.

Berucap semasa Majlis Penyampaian Sijil WSDip ITE 2025 di Ibu Pejabat ITE yang terletak di Ang Mo Kio Drive pada 12 November, Dr Janil mengumumkan bahawa ITE akan memperkenalkan dua peluasan baru di bawah program tersebut mulai April 2026.

Katanya, ini adalah sebahagian usaha berterusan untuk memperkukuh laluan kerja dan belajar serta memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Dua tawaran baru itu adalah WSDip dalam Pembuatan Termaju dan pengkhususan baru Perdagangan Borong di bawah WSDip dalam Pengurusan Rantaian Bekalan Bersepadu.

Pengkhususan tersebut akan melengkapi pengkhususan logistik program WSDip itu, yang telah diperkenalkan pada April 2019.

Menyentuh tentang program WSDip baru itu, Dr Janil berkata:

“Program ini akan membekalkan pelatih dengan kemahiran untuk memacu inovasi dalam pembuatan moden, termasuk mereka bentuk dan menghasilkan komponen berketepatan tinggi menggunakan teknologi canggih serta alat reka bentuk dengan sokongan komputer.”

Sementara itu, beliau mendapati pengkhususan baru itu selaras dengan peranan Singapura sebagai hab perdagangan dan logistik sejagat dan akan membantu lebih ramai pelatih mendapatkan “pekerjaan baik” dalam sektor tersebut.

“Pengkhususan berganda ini akan membolehkan pelatih memilih laluan paling sesuai dengan keperluan mereka, sambil memahami bagaimana kedua-dua fungsi ini saling berkait untuk mengoptimumkan kecekapan rantaian bekalan,” ujar Dr Janil.

Majlis penyampaian tersebut turut menyaksikan empat kursus meraikan kumpulan pelatih perintis mereka, iaitu WSDip daripada bidang teknologi pertanian dan akuakultur; pengurusan pengalaman pelanggan; pengurusan kemudahan; dan operasi keselamatan.

Menurut satu kenyataan media pada 12 November, ITE berkongsi bahawa ini akan menjadikan jumlah keseluruhan kursus WSDip yang ditawarkan kepada 46 sambil menjangka mengambil 1,700 pelatih pada April 2026.

Sepanjang tempoh dua setengah tahun, pelajar yang berada dalam program WSDip akan bekerja sepenuh masa sambil mengikuti kursus di ITE, sebelum memperoleh diploma.

Terbuka kepada kebanyakan lulusan ITE, program WSDip itu kini bekerjasama dengan 335 syarikat, yang menggajikan pelajar dan menawarkan mereka pengalaman pembelajaran dan bimbingan, menurut ITE.

Kohort program WSDip ITE 2025 melihat seramai 892 lulusan dengan 57 pelajar menerima pingat dalam kursus mereka.

Dalam pada itu, Dr Janil mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat dalam program tersebut dalam menjana kemahiran tenaga kerja mereka.

“Saya menyeru kepada kesemua rakan industri untuk terus memperkukuh saluran pembangunan bakat anda melalui program Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) Diploma ini dan sebarkanlah kepada rakan kongsi, rakan sekerja serta kenalan anda dalam industri.

“Kami ingin mengalu-alukan lebih banyak syarikat untuk turut serta dan mewujudkan lebih banyak laluan bagi para pelatih kami,” kongsinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg