Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pereka grafik capai GPA 4.0, pingat kursus program teknologi proses kimia

Pelajar Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) ITE tukar bidang kerjaya, imbangi keperluan kerja sambil belajar
Nov 12, 2025 | 7:47 PM
Nurul Rashidah Ismail
Meskipun industri yang diceburinya kini amat berbeza daripada pengalamannya sebagai pereka grafik, Cik Nurul Rashidah Ismail mendapati dirinya berjaya mengaplikasikan kemahiran analisis, ketelitian dan daya kreativiti yang dipelajarinya sebelum ini untuk menilai risiko, memperincikan prosedur keselamatan, serta menyelesaikan masalah dengan lebih efektif di tempat kerja. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Sejak April 2023, Cik Nurul Rashidah Ismail, 36 tahun, terpaksa bergilir-gilir menghadiri kelasnya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur dan pergi bekerja di sebuah syarikat pengilangan.

Setiap beberapa bulan, beliau akan bekerja dan kemudiannya, menghadiri kelas intensif sebagai sebahagian daripada program Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) dalam Teknologi Proses Kimia (CPT).

Usaha itu berterusan selama dua setengah tahun, di mana beliau perlu mengimbangi masa untuk menyerap pengetahuan teknikal, mengulangkaji pelbagai ujian, menyiapkan laporan dan menyelesaikan projek hujung tahun.

Berkat penat lelah dan kesungguhannya, Cik Nurul berjaya meraih Gred Mata Purata (GPA) 4.0 mata dan menerima Pingat Kursus bagi kursus tersebut.

“Tekanannya sangat tinggi kerana setiap kali saya kembali ke sekolah, ia seperti menghadiri kursus kilat selama dua setengah bulan.

“Saya perlu menyerap semua pengetahuan daripada pensyarah, dan setiap minggu, kami perlu mempelajari perkara baru… ada empat ujian amali bagi setiap modul, diikuti dua laporan yang perlu ditulis,” ujar Cik Nurul, yang kini bekerja di syarikat pengilangan, Novabay-Humens.

Anak ketiga daripada empat beradik itu merupakan salah seorang daripada 892 lulusan yang diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil WSDip ITE 2025 yang diadakan di Ibu Pejabat ITE yang terletak di Ang Mo Kio Drive pada 12 November.

Cik Nurul juga merupakan salah seorang daripada 57 penerima Pingat Kursus kohort lulusan WSDip kali ini.

Seorang lagi penerima Pingat Kursus ialah Encik Saif Ibrahim Al Mansuri Huszahari, lulusan WSDip dalam Kejuruteraan Elektrik yang meraih GPA 3.8 mata.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Cik Nurul berkata perjalanannya dalam bidang CPT tercetus apabila beliau memutuskan untuk beralih daripada kerjayanya sebagai pereka grafik.

Tambah beliau, ia adalah untuk mengejar minatnya yang semakin mendalam terhadap sains, salah satu daripada dua bidang minatnya selain seni.

“Saya telah bekerja selama empat hingga lima tahun sebagai pereka grafik dan kerjanya memang sangat mencabar.

“Hampir setiap hari saya perlu bekerja lebih masa untuk menyiapkan tugasan pelanggan sehingga kadangkala terlupa untuk makan.

“Ia akhirnya menjejas kesihatan saya, dan ketika itulah ibu bapa saya menasihatkan saya supaya mencari bidang lain,” kongsi Cik Nurul, yang memegang Sarjana Muda dalam Komunikasi Reka Bentuk (Kepujian) dari Kolej Seni Lasalle.

Atas nasihat keluarganya, beliau mengambil langkah untuk mengikuti kursus Nitec dalam CPT dan meraih GPA 3.9 mata pada 2022.

Semasa menjalani latihan amali bersama syarikat Novabay-Humens, prestasinya yang baik membuka peluang untuk syarikat itu menaja Cik Nurul menyertai program WSDip dalam CPT.

Kini, sebagai Penyelaras Kesihatan dan Keselamatan Sekitaran (EHS) di syarikatnya, beliau bertanggungjawab melakukan pemeriksaan keselamatan terhadap operasi syarikat.

Beliau juga perlu mengendalikan mesyuarat jawatankuasa keselamatan serta membangunkan pelan tindakan yang memberi manfaat kepada syarikat dan kakitangannya.

Menyentuh tentang pencapaiannya itu, Cik Nurul berkata ia adalah cerminan keazaman untuk terus belajar dan menimba pengalaman baru.

“Setiap kali keputusan hendak diumumkan, tekanannya memang tinggi. Saya telah mencurahkan segala-galanya, jiwa dan hati saya sepenuhnya dalam usaha ini.

“Semoga ia membuktikan bahawa saya telah melakukan yang terbaik. Apabila keputusan diumumkan, saya rasa segala usaha itu berbaloi,” kongsi beliau.

Cik Nurul juga bakal dihantar oleh syarikatnya ke sebuah syarikat subsidiari di Perancis pada 2026 untuk mempertingkatkan latihan dan pengetahuan beliau dalam kesedaran keselamatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg