Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Janil: Kaum, agama kekal penting dalam bangun identiti S’pura

100 peserta hadiri dialog belia bincang tentang keterangkuman, S’pura yang diimpikan
Oct 1, 2025 | 6:57 PM
Janil Puthucheary, dialog belia, perkauman, agama, singapura
Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, berucap di Dialog Belia anjuran Illaiya Thalaimurai Tamil Murasu dan OnePeople.sg pada 28 September. - Foto TM

Kaum dan agama kekal menjadi teras dalam membentuk struktur sosial Singapura dan usaha berterusan bagi memajukan keharmonian dalam bidang ini adalah penting, kata Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary.

Berucap pada Dialog Belia anjuran Illaiya Thalaimurai Tamil Murasu dan OnePeople.sg pada 28 September, beliau mengatakan walaupun Singapura telah mencapai kemajuan besar, jangkaan mengenai keharmonian kaum turut berkembang, lapor The Straits Times (ST).

“Pada hari ini, diskriminasi secara halus dan stereotaip kaum dipandang lebih serius berbanding lima atau 10 tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, perubahan ini menunjukkan pendekatan positif rakyat Singapura dalam membina keharmonian.

“Pada 2025, kita tidak boleh berpura-pura bahawa kaum dan agama bukan lagi isu yang mempengaruhi keharmonian sosial, walaupun kita terus berusaha ke arah itu,” kata Dr Janil, yang juga pengerusi OnePeople.sg.

Kedua-duanya, tambah beliau, terus menjadi “sumber perbezaan yang nyata”, yang membentuk interaksi seharian dan mengekalkan keharmonian kaum dan agama dalam masyarakat kekal menjadi satu proses berterusan.

“Mewujudkan rasa ‘ke-Singapuraan’ adalah satu usaha yang berterusan.

“Ia bukan sesuatu proses yang telah selesai.

“Setiap generasi mesti terus membentuknya, memastikan ia wujud bersama dan bukannya menghapuskan identiti lain,” kata beliau.

Dialog tersebut, yang diadakan di ruang dewan Hall of Trust, OnePeople.sg, bertemakan Hubungan Kaum: Trend yang Muncul dan Kepimpinan Belia’.

Hampir 100 belia India, berusia antara 18 dengan 35 tahun, dari pertubuhan masyarakat dan Institusi Pengajian Tinggi (IHL), berkumpul untuk bertukar pandangan mengenai keterangkuman, identiti dan Singapura yang mereka impikan.

Perbincangan itu berdasarkan penemuan Laporan Indikator Keharmonian Kaum dan Agama 2024, yang baru diterbitkan Institut Pengajian Dasar (IPS) dan OnePeople.sg, dibentang Ketua Makmal Sosial IPS, Dr Mathew Mathews.

Editor Tamil Murasu, Encik Raja Segar (kiri), menyampaikan cenderamata kepada Ketua Makmal Sosial Institut Pengajian Dasar (IPS) dan penyelidik utama, Dr Mathew Mathews.
Editor Tamil Murasu, Encik Raja Segar (kiri), menyampaikan cenderamata kepada Ketua Makmal Sosial Institut Pengajian Dasar (IPS) dan penyelidik utama, Dr Mathew Mathews. - Foto TM

Data tersebut memberikan wawasan tentang perubahan sikap rakyat Singapura, menonjolkan kemajuan dan cabaran berterusan, serta kesedaran yang lebih tinggi terhadap keharmonian kaum dan perbezaan.

“Perbezaan bukanlah sesuatu yang buruk atau negatif,” kata Dr Janil. 

Beliau turut menyatakan ketegangan global melibatkan kaum dan agama boleh memperbesar perbezaan tempatan.

“Ini yang telah menyebabkan masyarakat kita tertekan ketika menghadapi waktu sukar,” katanya, menekankan pentingnya menguatkan hubungan masyarakat sebelum krisis berlaku.

Bagi ramai peserta, peluang berinteraksi secara langsung dengan penggubal dasar adalah antara kemuncak sesi tersebut.

Cik Samyuktha Venkatesan, artis tiga dimensi (3D), berkata: “Dr Janil mendengar semua soalan dan meluangkan masa untuk memberi jawapan.

“Melihat pandangan belia dihargai dan diambil kira oleh pemerintah sesuatu yang sangat menggalakkan.”

Acara tersebut juga menandakan satu pencapaian bagi akhbar Tamil Murasu dengan pelancaran rasmi Illaiya Thalaimurai, platform digital pertama mereka yang tertumpu pada belia.

Sejak Februari, Illaiya Thalaimurai telah menghasilkan lebih 130 video pendek dan 40 hantaran di TikTok, Instagram dan YouTube, merangkumi gaya hidup, politik, dan isu sosial, dengan semua kandungan disertakan sari kata untuk memastikan ia dapat dihadam ramai.

Berucap kepada media selepas acara tersebut, Dr Janil menyuarakan keyakinannya terhadap golongan muda yang mengajukan soalan-soalan sukar dan berinteraksi dengan beliau serta sesama mereka.

Beliau menggalakkan mereka menggunakan pengaruh untuk merapatkan jurang sosial dan menggalak keharmonian dengan mengajak rakan sebaya memberi perhatian kepada isu relevan dan terlibat dalam pertubuhan masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg