Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian IPS: Rakyat anggap ‘Singapura’ identiti warga paling penting

Aug 20, 2025 | 7:07 PM
Kewarganegaraan, bangsa dan agama merupakan antara bahagian penting dalam identiti warga Singapura, menurut satu laporan kajian oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada 20 Ogos.
Kewarganegaraan, bangsa dan agama merupakan antara bahagian penting dalam identiti warga Singapura, menurut satu laporan kajian oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada 20 Ogos. - Foto ZAOBAO

Warga Singapura rentas semua kumpulan usia melihat kewarganegaraan sebagai bahagian paling penting dalam identiti mereka, menurut satu laporan kajian oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada 20 Ogos.

Secara keseluruhan, 86.7 peratus responden yang ditinjau menganggap ‘Singapura’ sebagai bahagian paling penting identiti mereka, diikuti dengan ‘bahasa yang paling kerap digunakan’ (79.8 peratus) dan ‘bangsa’ (70.8 peratus).

Dari segi agama, 61.1 peratus responden menganggap ia sebagai penting atau sangat penting kepada identiti mereka. Namun, apabila hanya responden yang mengisytiharkan agama mereka dirangkumkan dalam analisis, peratusan itu meningkat kepada 73.7 peratus.

Peratusan responden yang memilih kewarganegaraan sebagai bahagian sangat penting atau penting dalam identiti mereka juga telah meningkat sejak sedekad lalu – daripada 79.3 peratus pada 2013 kepada 83.8 peratus pada 2018 dan 86.7 peratus pada 2024.

Kadar orang India (50.1 peratus) dan Melayu (47.9 peratus) yang menganggap Singapura sebagai sangat penting kepada identiti keseluruhan mereka juga lebih tinggi berbanding orang Cina (37.8 peratus) dan bangsa lain (38.2 peratus).

Laporan tersebut, yang berkongsi dapatan Kajian mengenai Kaum, Agama dan Bahasa IPS 2024, telah mendapatkan maklum balas daripada sampel perwakilan nasional seramai 4,000 rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR).

Ia turut membandingkan dapatan dengan kajian terdahulu pada 2013 dan 2018.

Kajian tersebut dijalankan oleh sekumpulan penyelidik IPS, termasuk zamil penyelidik utama, Dr Mathew Mathews; zamil penyelidik, Dr Teo Kay Key; penolong penyelidik, Encik Izzul Haziq Murad; dan zamil penyelidik, Dr Melvin Tay.

“Apabila persepsi komponen identiti dibandingkan merentas tiga gelombang (kajian) bagi pelbagai ciri demografi, iaitu usia, jantina, pendidikan, perumahan, pendapatan, kaum dan agama, perkadaran mereka yang menganggap Singapura sebagai penting atau sangat penting kepada rasa identiti mereka adalah tertinggi berbanding komponen identiti lain merentas usia, pendidikan, perumahan, pendapatan dan jantina,” kata para penyelidik dalam laporan itu.

Sementara itu, kadar responden yang menyatakan bangsa sebagai penting atau sangat penting kepada identiti mereka telah berkurangan sejak sedekad lalu – 71 peratus pada 2013, 67.1 peratus pada 2018 dan 70.8 peratus pada 2024.

Bagaimanapun, kadar responden yang menganggap agama sebagai penting atau sangat penting kepada identiti keseluruhan mereka telah meningkat sedikit – 56.5 peratus pada 2013 kepada 56.8 peratus pada 2018 dan 61.1 peratus pada 2024.

Mereka yang beragama Islam (59 peratus) juga lebih kemungkinan menganggap agama sebagai sangat penting kepada identiti keseluruhan mereka.

Ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan penganut Kristian (38.4 peratus), Katolik (32.9 peratus), Hindu (32.8 peratus), Buddha (13.9 peratus), dan Tao (9.7 peratus).

Kajian tersebut turut meninjau bagaimana agama membentuk kehidupan atau pandangan individu, dengan lebih tiga perempat responden bersetuju bahawa idea mereka tentang agama atau kerohanian adalah antara bahagian terpenting kehidupan mereka, dan ia mempunyai pengaruh besar terhadap pandangan mereka dalam bidang lain – lebih tinggi berbanding pada 2018.

Sekitar 73.9 peratus responden bersetuju bahawa kepercayaan rohani mereka memberi makna kepada suka duka kehidupan. Sementara itu, apabila berhadapan dengan pilihan hidup, 68.3 peratus responden menyatakan mereka cuba mencari apakah pandangan agama atau tuhan yang difikirkan sebagai tindakan terbaik.

Kajian juga mendapati bahawa penganut Islam (30.4 peratus) dan Kristian (21.3 peratus) lebih kemungkinan telah cuba mengetahui lebih lanjut tentang agama mereka sendiri berbanding penganut agama lain – Katolik dan Hindu (20.5 peratus), Buddha (7.5 peratus) dan Tao (7.2 peratus).

Menurut penyelidik laporan, dengan kepentingan identiti agama yang lebih besar di sini, terdapat kemungkinan kumpulan agama akan lebih mahukan kepercayaan mereka dipertimbangkan dalam penggubalan dasar.

“Pada masa ini, Singapura telah berjaya mencapai keseimbangan antara membenarkan amalan agama di ruang awam berhubung dengan sekularisme,” kata penyelidik.

“Walaupun rasa identiti dan masyarakat yang lebih kukuh dalam kalangan ahli gabungan agama ini boleh membantu memberikan ketenangan dan sokongan, terutamanya melalui masa sukar, mungkin terdapat implikasi kepada keharmonian agama, jika hubungan yang semakin meningkat ini juga membawa kepada lebih banyak perebutan ruang dan pengaruh antara pelbagai kumpulan agama,” tambah mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg