Kedai rangkaian runcit terkenal, Japan Home, kini diambil alih oleh syarikat seinduk, Radha Exports, pengendali Value Dollar (Valu$).

Laman web Japan Home menunjukkan pada 20 Ogos bahawa ia telah melesenkan operasi kedainya kepada jenama barangan pengguna yang boleh dijual segera, Radha Exports, untuk mengendalikan kedainya di Singapura.

Ia berkata perjanjian tiga tahun itu adalah sebahagian daripada pembangunan perniagaan berterusan Japan Home. Ia berkuat kuasa mulai 19 Ogos, dan boleh diperbaharui untuk tiga tahun lagi.

Kemas kini itu menyusuli laporan The Business Times (BT) pada 19 Ogos berkenaan penutupan beberapa cawangan Japan Home di pusat membeli-belah utama seperti Hougang Mall, Century Square, Northpoint City, HarbourFront Centre dan Buangkok Square.

Laporan itu memetik kakitangan Japan Home yang berkata sesetengah cawangan mungkin dibuka semula sebagai kedai yang diuruskan bersama Valu$.

Valu$ merupakan sebuah rangkaian kedai runcit yang beroperasi di bawah konsep kedai satu dolar.

Ia dikendalikan oleh DD Pte Ltd yang ditubuhkan oleh penyedia barangan pengguna yang boleh dijual segera, Radha Exports, pada 2005.

Radha Japan yang berdaftar di Singapura — yang turut memiliki ACE Fresh dan kedai perkakasan Mr Fix — mempunyai pegangan saham kira-kira 30 peratus dalam Japan Home, berdasarkan fail Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA).

Bakinya dimiliki oleh Japan Home Centre (Management) Ltd, yang baru-baru ini menjenamakan semula Japan Home Centre miliknya di Hong Kong kepada Best Home Centre selepas 35 tahun beroperasi di sana, menurut Lifestyle Asia.

Pengasas bersamanya, Cik Ngai Lai Ha dan Encik Peter Lau Pak Fai, disenaraikan sebagai pengarah Japan Home Retail yang berdaftar di Singapura.