Mahligai yang dibina lebih 15 tahun lalu antara Encik Shaiful Saad, 47 tahun, dengan isterinya, Cik Nia Tutira, 40 tahun, warga Indonesia, adalah tali yang mengikat kehidupan mereka di Singapura dan Batam.
Walaupun masih bertugas sepenuh masa selaku penyelia di Singapura, kelonggaran masa bekerja yang membolehkan Encik Shaiful bekerja dari rumah (WFH) bermakna beliau dapat menjalankan tugasan dari rumahnya di Tiban, kecamatan (daerah) Sekupang selama dua minggu dalam sebulan.
Jadual sebegini juga mengurangkan keperluan beliau untuk berulang-alik antara Singapura dengan Batam dari setiap hari kepada setiap minggu sahaja.
Semasa kunjungan wartawan Berita Minggu (BM) ke rumahnya, Encik Shaiful kelihatan telah membiasakan diri dengan kehidupan di Indonesia, baik dari segi cara beliau bertutur ataupun sajian hidangan yang disediakan – semangkuk mi bakso dan air paket ‘Tehbotol Sosro’ yang merupakan sajian biasa warga tempatan Indonesia.
Encik Shaiful, yang mempunyai beberapa kenderaan di luar rumahnya seperti empat motosikal dan dua kereta, berkongsi minat beliau meronda dan mengembara.
“Kalau dari sini (Batam), jika kami ingin memandu atau menunggang motosikal ke kota-kota Indonesia yang lain, tidak susah... sebab ada kapal yang boleh muat kereta dan motosikal.
“Kami pernah melancong ke Solo dan kawasan Gunung Bromo di Jawa Timur selama dua minggu dengan bertolak dari Batam.
“Saya sekeluarga memang suka mengembara dan ia jauh lebih berpatutan di Indonesia,” kongsi bapa empat anak remaja itu.”
Selain itu, beliau, yang berhubungan mesra dengan Rukun Warga (RW) dan Rukun Tetangga (RT) di kawasan kediamannya, turut berkongsi mengenai jaminan keselamatan dan keselesaan yang dirasakan.
Beliau telah membina rangkaian bersama warga Singapura lain yang menetap di Batam, dinamakan sebagai ‘Singtam’ – singkatan bagi Singapura-Batam.
Rukun Warga merupakan lembaga terdiri daripada beberapa kelompok RT di sesebuah desa atau kelurahan dan dipimpin oleh seorang ketua RW; manakala RT terdiri daripada beberapa Kepala (Ketua) Keluarga atau KK di setiap desa atau kelurahan dan dipimpin oleh seorang ketua.
Atas sebab itu juga Encik Saiful mendapati sesuai membesarkan anak keempatnya, Syahputra Ergian, 14 tahun, di Batam dan bukan di Singapura.
“Anak saya bercita-cita menjadi juruterbang dan saya merancang menghantarnya ke sekolah penerbangan di Batam,” katanya, demi menjimatkan kos.
Menurut Encik Shaiful, kos perbelanjaan bulanan beliau adalah sekitar $100 – boleh dibahagikan kepada $50 untuk berbelanja di pasar; $10 untuk Internet dan telefon; serta $40 untuk bil api dan air.
“Apabila saya membeli unit ini 15 tahun lalu, ia berharga $15,000 tetapi sekarang jika saya ingin menjualnya, nilainya telah meningkat lebih daripada seganda kepada $35,000,” kongsi Encik Shaiful, menggambarkan perkembangan dan kemajuan Batam.
Ramai warga Singapura melihat Batam sebagai kota yang dikunjungi untuk berehat dan beriadah, namun bagi Encik Shaiful, ia adalah rumah kedua.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg