Jasa Allahyarham perjuang isu kebapaan, sentuh kehidupan keluarga diperingati
Jasa Allahyarham perjuang isu kebapaan, sentuh kehidupan keluarga diperingati
Pengasas bersama pergerakan Bapa Sepanjang Hayat, Encik Eruandee Prayitna, 52 tahun, yang meninggal dunia pada 12 Februari, diperingati sebagai insan yang berdedikasi memperjuangkan isu kebapaan.
Anak sulungnya Encik Ryan Eruandee, 25 tahun, mengenang ayahnya sebagai insan yang sangat penyayang, tulus dan berprinsip.
“Beliau amat komited terhadap peranannya dalam Bapa Sepanjang Hayat (BSH), yang sangat dekat di hatinya.
“Allahyarham sering berkongsi kisah tentang usahanya membantu orang lain, terutamanya banduan yang dibimbingnya, dan menekankan kepentingan memberi peluang kedua,” ujar Encik Ryan kepada Berita Harian.
Sebagai seorang bapa, Allahyarham kerap memberikan nasihat, mengambil berat tentang kehidupan anak-anaknya, serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat, kata Encik Ryan lagi.
Encik Ryan berkata bapanya mengalami pertuturan yang tidak jelas serta muntah sekitar 1 pagi pada 12 Februari sebelum dihantar ke Hospital Ng Teng Fong.
Namun, ketika dalam perjalanan, jantung Allahyarham terhenti dan usaha resusitasi kardiopulmonari (CPR) telah dijalankan selama 30 minit, tetapi beliau tidak dapat diselamatkan, kata Encik Ryan.
Bellau disahkan meninggal dunia di hospital tersebut disebabkan penyakit jantung iskemia dengan kegagalan buah pinggang peringkat akhir.
Allahyarham disahkan menghidap jangkitan kuman di kaki kirinya pada awal minggu lalu namun telah pun menerima rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital atas permintaannya.
Beberapa hari kemudian, Allahyarham dimasukkan ke hospital semula dan kemudian dibenarkan keluar lagi.
Allahyarham, yang dikebumikan pada 12 Februari, meninggalkan tiga orang cahaya mata, iaitu dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, merakam sumbangan Allahyarham yang juga berkhidmat dalam pasukan bertindak Nakhoda, di bawah gerakan Bapa Sepanjang Hayat.
“Allahyarham tidak pernah mengenal erti lelah dalam memperjuangkan isu kebapaan, membantu dan membimbing ramai bapa, termasuk mereka yang sedang membina semula kehidupan selepas keluar dari penjara.
“Lebih daripada segala peranan dan sumbangannya, beliau adalah seorang ayah yang penyayang, dan seorang sahabat sejati,” kata Encik Zhulkarnain di media sosial.
Pemergian Encik Eruandee juga diperingati dalam satu catatan di Facebook Bapa Sepanjang Hayat:
“Kami menubuhkan Bapa Sepanjang Hayat dengan satu tujuan yang sangat dekat di hati kami, membantu masyarakat Melayu Muslim untuk menjadi ayah yang bertanggungjawab, mengutamakan anak-anak, keluarga dan amanah sebagai ketua rumah tangga.
“Arwah bukan sekadar rakan seperjuangan, tetapi seorang insan yang ikhlas, rendah hati dan sentiasa meletakkan kepentingan keluarga serta komuniti di hadapan dirinya sendiri.
“Sumbangan dan semangat beliau dalam Bapa Sepanjang Hayat telah memberi kesan yang besar kepada ramai ayah dan keluarga. Legasi kebaikan beliau akan terus hidup melalui mereka yang pernah disentuh oleh keikhlasan hatinya.”
Turut mengenang jasa beliau ialah rakan rapatnya, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor, yang juga Pengerusi Eksekutif dan perunding utama SuChi Success Initiatives Pte Ltd.
“Beliau seorang yang sangat rendah hati, lembut tutur katanya, dan tidak pernah mempromosikan diri sendiri. Seorang pemimpin semula jadi melalui tindakan, bukan pangkat,” kata Encik Khair.
Allahyarham, yang juga Ketua Pembangunan dan Jangkauan Pusat Kebapaan (CFF), turut dikenali sebagai seorang yang memainkan peranan penting dalam menganjurkan pelbagai aktiviti untuk bapa dan keluarga – seperti berjalan kaki, berjoging, permainan, dan perhimpunan komuniti – yang menyediakan ruang untuk interaksi yang bermakna antara ibu bapa dan anak-anak.
Encik Khair berkata: “Tanpa seseorang seperti beliau, pergerakan ini tidak akan sehebat atau seberkesan yang kita lihat sekarang. Beliau telah menyentuh ramai bapa dan membantu mentransformasi keluarga. Allahyarham berjuang dan bergerak dalam arena kebapaan – sentiasa berada di lapangan.”
“Pemergiannya adalah satu kehilangan besar bukan sahaja untuk pergerakan kebapaan, tetapi juga untuk komuniti.”

