Dikenali ramai kerana beriani amalnya, Allahyarham Alla’udin Mohamed, 71 tahun, meninggalkan legasi penuh kebaikan dan kemurahan hati.
Beliau yang terkenal dengan kerja-kerja kemasyarakatan melibatkan berbilang kaum dan agama, diingati kerana sumbangannya itu.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam catatannya di Facebook pada 14 November berkata Allahyarham merupakan contoh seorang pejuang keharmonian antara agama.
“Komitmen beliau jelas terlihat melalui tradisi Tahun Baru Cina Masjid Khalid, yang mana jawatankuasa masjid akan mengunjungi kedai dan rumah di sekitar masjid untuk memberi buah tangan serta limau – satu amalan yang berterusan selama lebih dua dekad.
“Beliau juga telah memainkan peranan genting dalam menyokong kempen mengumpul dana, President’s Star Charity, dengan usahanya untuk menggerakkan masyarakat kita menyumbang kembali kepada mereka yang lebih memerlukan.
“Melalui usaha-usaha ini, beliau berjaya memupuk persefahaman antara kaum dan agama dan memperkukuhkan komitmen kita untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh keihsanan,” kata Encik Masagos.
Lebih dua dekad lamanya, Allahyarham menawarkan sajian beriani bukan sahaja kerana rasanya yang enak, namun kerana hidangan itu menjadi elemen penting acara amal Cabaran Presiden yang berlangsung setiap tahun.
Dalam catatannya di Facebook pada 14 November, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Allahyarham bersama beliau bekerja keras untuk mendekati masyarakat dalam menyumbang kepada usaha Cabaran Presiden.
Beliau yang ditemui wartawan di Masjid Khalid turut melahirkan rasa dukacitanya di atas pemergian aktivis masyarakat itu.
“Allahyarham Alla’udin seorang yang pemurah hati dan sentiasa memikirkan kemaslahatan masyarakat. Beliau mainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu Islam. Orang-orang yang bekerja dengannya dapat mengesan semangat dan belajar nilai-nilai positif daripadanya,” ujar Dr Faishal.
Dr Faishal berkata Allahyarham juga penyokong kuat kempen Dadah Itu Haram (DIH), selain pemulihan dan integrasi semula bekas pesalah menerusi Khidmat Kaunseling Muslim (MCS).
Allahyarham juga giat berusaha mempromosikan keharmonian kaum dan agama, tambah Dr Faishal dalam catatannya itu.
Turut hiba dengan pemergian Allahyarham ialah mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), yang juga Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed, yang telah memberikan ucapan takziah selepas solat jenazah Allahyarham.
“Allahyarham Alla’udin adalah seorang yang istimewa. Saya kenal beliau dari zaman sekolah lagi, sekolah agama bersama Allahyarham Ustaz Hussain di Masijd Khalid. Kami sangat rapat dan mesra sekali.
“Kelebihan Allahyarham bukan sahaja sebagai pemimpin masjid, tetapi juga sebagai pemimpin masyarakat yang dihormati, diakui bukan hanya di peringkat tempatan, malah di negara ini. Peranan beliau dalam masyarakat, bangsa dan agama menjadikan beliau seorang yang istimewa,” kata Encik Zainul.
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East dan Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman, berkata beliau terhutang budi terhadap Allahyarham.
“Allahyarham seorang peramah, sentiasa memandang ke depan dan teladan yang tercontoh. Beliau adalah antara pemimpin yang telah membimbing saya dan mengenalkan saya kepada masyarakat Melayu di Marine Parade apabila saya mula berkecimpung dalam politik.
“Saya terkesan dengan sikapnya yang sering membantu masyarakat dan ini mendorong saya untuk ingin melakukan sama,” ujar Encik Fahmi semasa ditemui.
Dalam catatan Facebook beliau pada 14 November, Ketua Pegawai Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, berkata:
“Sebagai pengerusi, Allahyarham mempelopori program pendidikan untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan mengetuai kempen pengumpulan dana yang berjaya untuk menaik taraf Masjid Khalid.
“Pandangan jauh beliau juga menyebabkan pengambilan dan penambahbaikan dua harta wakaf bersebelahan masjid, mengukuhkan asas masyarakat untuk generasi seterusnya.
“Lebih daripada itu, arwah memainkan peranan penting sebagai penghubung yang membawa orang-orang daripada pelbagai agama bersama-sama melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) dan Kumpulan Keyakinan Antara Kaum (IRCC). Sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau kepada masyarakat, beliau dianugerahkan Anugerah Jasa Bakti Muis pada tahun 2006.”
Mengenang kerjasamanya dengan Allahyarham, mantan Anggota Parlimen (AP), Encik Amrin Amin berkata beliau sentiasa membuka pintunya kepada bekas banduan apabila tidak diterima khalayak ramai.
“Beliau merupakan penyokong awal dan kuat bagi kempen ‘Dadah Itu Haram’, pengagihan beriani untuk penduduk Woodlands bagi menyebarkan keceriaan Ramadan, iftar kita bersama, melawat bazar Geylang Serai, projek komuniti dengan bekas banduan dan gelandangan, pembinaan semula Masjid Khalid, serta banyak perbincangan mendalam di pejabatnya,” imbas Encik Amrin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg