Pengerusi Masjid Khalid, Encik Alla’udin Mohamed, 71 tahun, meninggal dunia pada pagi 14 November, sehari selepas dimasukkan ke Hospital Besar Changi (CGH).
Sijil kematian Allahyarham yang dilihat Berita Harian mengatakan beliau meninggal dunia akibat pendarahan otak.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, lima anak dan lapan cucu.
Bercakap kepada wartawan, adik beliau, Encik Mohamed Taifoor Mohamed, berkata beliau tidak sangka abangnya, anak sulung daripada 10 adik-beradik, telah meninggalkan mereka.
“Allahyarham banyak berbakti kepada masyarakat dan sering berada di Masjid Khalid di Joo Chiat.
“Sifat murah hatinya mirip sifat ayahanda kami... luar biasa. Beliau membantu semua orang, tidak kira bangsa, Islam mahupun bukan Islam. Arwah membantu mereka sedaya upaya,” singkap Encik Taifoor, anak kelima dalam kalangan adik-beradiknya.
Sambil menahan sebak di dada, anak kedua Allahyarham, Encik Shaikh Mohammed Bisrulhaffi Alla’udin, memberitahu wartawan: “Beliau adalah ayah yang terbaik dan pemergiannya adalah satu kehilangan yang amat besar bagi kami sekeluarga.”
Ramai hadir semasa jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Khalid bagi solat jenazah, yang ditunaikan selepas zuhur.
Antara mereka ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; dan Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, juga hadir bagi memberi penghormatan terakhir beliau.
Allahyarham dikebumikan di Pusara Aman.
Allahyarham menyumbang tenaga sebagai sukarelawan Masjid Khalid sejak remaja, semasa menjadi pelajar di Sekolah Menengah St Andrew. Beliau kemudian berkhidmat sebagai pengerusi masjid itu sejak 30 tahun lalu.
Pada 30 Oktober, Allahyarham terlibat dalam acara Derma Darah Antara Agama yang diadakan bersama oleh masjid, gereja, kuil serta persatuan suku kaum, yang turut dihadiri Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Selain terkenal kerana beriani amal yang dijalankan masjid itu, Allahyarham juga merupakan pengerusi Khidmat Kaunseling Muslim (MCS) dan membuka ruang masjid kepada bekas banduan bagi kelas agama.
Pada April 2023, sebuah biasiswa yang dinamakan Biasiswa Allau’din-Masjid Khalid dilancarkan hasil kerjasama Masjid Khalid dan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Biasiswa itu ditubuhkan untuk memberi penghormatan dan mengiktiraf sumbangan Encik Alla’udin kepada masjid itu.
Menurut Encik Taifoor, yang menjadi ahli jawatankuasa Masjid Khalid sejak 18 tahun lalu, operasi seterusnya masjid itu akan dibincangkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg