KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tinggi Singapura telah memberi penghormatan kepada pemandu Gunung Kinabalu yang memainkan peranan penting dan berani dalam menyelamatkan nyawa mangsa gempa bumi di Sabah pada 5 Jun 2015.
Satu pasukan yang diketuai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Encik Vanu Gopala Menon, telah menganjurkan majlis penghargaan untuk pemandu gunung daripada Persatuan Pemandu Gunung Kinabalu di Kundasang, sempena ulang tahun ke-10 gempa bumi yang meragut 18 nyawa, termasuk murid sekolah rendah dari Singapura.
Encik Vanu Gopala turut menghadiahkan 30 pasang kasut kepada anggota persatuan itu sebagai lambang penghargaan atas keberanian mereka dalam usaha menyelamat dan membantu mangsa di gunung berkenaan, susulan bencana itu.
“Gempa bumi tragik yang melanda Sabah pada 2015 telah menjejas kehidupan ramai orang, termasuk beberapa rakyat Singapura,” kata beliau pada 23 Julai.
“Saya dan pasukan datang untuk memberi penghormatan kepada pemandu gunung yang memainkan peranan sangat penting dalam menyelamatkan pendaki serta membantu membawa turun jenazah mangsa.
“Pada 2016, kami menganjurkan majlis penghargaan untuk pemandu ini dan terus menjalinkan hubungan dengan mereka.
“Kami terus menzahirkan penghargaan kami 10 tahun selepas kejadian itu. Keberanian mereka tidak akan dilupakan.”
Encik Vanu Gopala turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan Sabah atas bantuan yang dihulurkan semasa kejadian gempa tersebut.
“Singapura dan Malaysia adalah jiran rapat. Sebagai jiran, kita saling membantu, terutama dalam keadaan sukar.
“Dalam saat-saat tragedi, kita mengetepikan sempadan kewarganegaraan dan melihat satu sama lain sebagai manusia terlebih dahulu,” tambahnya.
Seramai 18 orang terkorban dalam gempa bumi yang berlaku pada 7.15 pagi itu, termasuk tujuh murid dan dua guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong, selain dua pemandu gunung dan beberapa pendaki lain, lapor The Star.
Pada hari kejadian, pemandu gunung membuat laluan baru merentasi runtuhan dan cerun yang terjejas akibat tanah runtuh, untuk membawa sekitar 130 pendaki yang terkandas dan sebahagiannya cedera, turun ke kawasan selamat.
Tanpa bantuan luar akibat cuaca yang tidak menentu di gunung itu, golongan pemandu itu mengambil keputusan mencari jalan keluar bagi mereka yang terkandas, kerana gegaran susulan dan suhu yang semakin menurun di kawasan puncak boleh mengancam nyawa mangsa yang terselamat.
Sebilangan besar mangsa yang terkandas dan cedera berjaya dibawa turun dengan selamat ke pintu pagar Timpohon sekitar 2 pagi pada 6 Jun 2015, sekali gus mengelak tragedi lebih besar sekiranya mereka kekal berada di kawasan puncak. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg