Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jasa Syed Isa Semait pupuk harmoni silang agama diingati

Jul 13, 2025 | 8:26 PM
Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas (tengah) memimpin doa semasa majlis memperingati mantan Mufti kedua, Allahyarham Syed Isa Semait pada 13 Julai. Dianjurkan Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura, hampir 50 ketua pelbagai agama di Singapura menghadiri acara tersebut. Turut hadir ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (berbaju hijau) selaku tetamu terhormat.
Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas (tengah) memimpin doa semasa majlis memperingati mantan Mufti kedua, Allahyarham Syed Isa Semait pada 13 Julai. Dianjurkan Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura, hampir 50 ketua pelbagai agama di Singapura menghadiri acara tersebut. Turut hadir ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (berbaju hijau) selaku tetamu terhormat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura pada 13 Julai menganjurkan satu acara memperingati mantan Mufti kedua negara, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait - ahli seumur hidup badan tersebut yang juga berkhidmat sebagai presidennya pada 1993.

Acara yang dihadiri hampir 50 ketua pelbagai agama di Singapura itu diadakan di premis IRO di bangunan Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Maxwell Road.

Majlis memperingati sumbangan Allahyarham kepada keamanan, pemahaman dan keharmonian itu dibuka dengan ucapan oleh ahli majlis Muslim IRO, Encik Ameerali Abdeali; naib presiden IRO, Encik Gurmit Singh; dan tetamu terhormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Menyusuli itu, bacaan doa dan tafakur seminit dipimpin Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas.

Allahyarham Syed Isa meninggal dunia pada 7 Julai, pada usia 87 tahun.

Dalam ucapannya, Dr Faishal berkongsi pengalamannya berinteraksi dengan Allahyarham ketika beliau menjadi anggota majlis Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan kagum dengan Allahyarham yang sangat berilmu tetapi sangat rendah hati.

“Beliau berkongsi dengan kami pemikiran di sebalik beberapa fatwa, bagaimana beliau memainkan peranannya, dan bagaimana Muslim di Singapura perlu dibangunkan untuk bekerjasama dengan masyarakat lain di Singapura,” kata Dr Faishal.

Encik Ameerali berkata Allahyarham, walaupun mempunyai wajah yang kelihatan tegas, sebenarnya mesra dan selalu bersedia berkongsi pengalaman dan bimbingannya.

“Semua kami di IRO dibimbing oleh beliau. Kami hari ini, sebahagian besarnya, adalah cerminan pengaruh Allahyarham ke atas IRO,” katanya sambil menambah Allahyarham diberikan anugerah IRO pada 2010 sebagai mengiktiraf sumbangan beliau kepada usaha menggalak keharmonian antara agama di sini.

Encik Gurmit pula berkata pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar bukan hanya kepada masyarakat Melayu/Islam malah kepada semua yang terlibat dalam kerja antara agama dan juga kepada negara.

“Beliau telah mendedikasikan hidupnya untuk memastikan semua orang hidup dalam harmoni dengan orang lain tanpa mengira agama. Dedikasi dan semangatnya menunjukkan komitmennya untuk berdialog, yang menjadikannya seorang tokoh yang dihormati semua masyarakat di Singapura,” katanya.

Allahyarham dilantik sebagai Mufti pada 1972 dan menggalas peranan tersebut selama 38 tahun hingga 2010 - menjadikannya Mufti paling lama berkhidmat di Singapura.

Allahyarham juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan keharmonian antara agama di Singapura.

Allahyarham menyokong pembentukan Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah di Bishan bagi menggalak penglibatan dan keharmonian antara agama yang lebih luas.

Allahyarham juga merupakan ahli Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama dari 1992 hingga 2010 dan Majlis Presiden bagi Hak Kaum Minoriti dari 2015 hingga 2018.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menyusuli penangkapan anggota Jemaah Islamiyah (JI).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg