Topik diikuti
Pergi ke BHkuJasmin: 42% daripada 93 pegawai GovTech diberhentikan kerja berusia 40-49 tahun
Jasmin: 42% daripada 93 pegawai GovTech diberhentikan kerja berusia 40-49 tahun
Jasmin: 42% daripada 93 pegawai GovTech diberhentikan kerja berusia 40-49 tahun
Sekitar 42 peratus daripada 93 pegawai Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech) yang diberhentikan kerja dalam fasa pertama penyusunan semula lembaga berkanun itu baru-baru ini berusia 40 hingga 49 tahun.
Namun, meskipun membentuk kumpulan usia terbesar yang terjejas, golongan itu tidak diwakili secara berlebihan dalam kalangan pegawai yang diberhentikan, kata Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau, ketika menjawab pertanyaan mengenai pemberhentian kerja GovTech di Parlimen pada 4 Ogos.
Mereka yang berusia 40 hingga 49 tahun juga membentuk sekitar 42 peratus daripada sejumlah 305 pegawai yang terjejas dalam fasa pertama penyusunan semula GovTech itu.
Sementara itu, sekitar 30 peratus daripada 93 pegawai yang diberhentikan itu berusia 50 tahun ke atas.
Cik Lau, yang juga Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), menambah bahawa pegawai yang diberhentikan telah berkhidmat bagi tempoh median 5.4 tahun, berbanding median 6 tahun bagi pegawai yang sedang dilatih semula.
Dua pertiga daripada pegawai yang terjejas merupakan penyumbang individu, manakala satu pertiga lagi adalah ketua pasukan.
Pada 15 Julai, GovTech mengumumkan kumpulan pertama pegawai yang terjejas oleh latihan penyusunan semula yang dijalankan oleh lembaga berkanun itu dalam tiga fasa secara bertahap sepanjang dua tahun akan datang.
Ini akan menyaksikan kira-kira 7 hingga 9 peratus peranan kerja terjejas dalam tempoh tersebut.
Penyusunan semula itu merupakan anjakan strategik bagi GovTech mengambil tanggungjawab lebih besar bagi produk dan platform digital yang menggerakkan perkhidmatan awam – apa yang disebutkannya sebagai peralihan daripada “model penyampaian projek sekali sahaja kepada model pemilikan produk yang berterusan”.
Daripada 305 pegawai yang terjejas dalam fasa pertama, 102 pegawai kekal dalam peranan semasa atau dikerahkan ke peranan lain; 110 akan menjalani pertukaran kerja berstruktur dan program perantisan untuk menggalas peranan baru; dan 93 diberhentikan.
“Dalam memutuskan sama ada untuk mengekalkan, menempatkan pegawai pada laluan latihan perantisan atau memberhentikan pegawai, GovTech terlebih dahulu menilai peranan pekerjaan yang diperlukannya untuk keperluan organisasi dan keupayaan masa hadapan,” kata Cik Lau.
“Kemudian, ia menilai pegawai secara individu berdasarkan kecekapan, kepakaran bidang, kesesuaian kerja, dan kesediaan mereka untuk peranan yang diperlukan.”
“GovTech telah berunding dengan pemimpin teknologi di agensi-agensi kami, termasuk Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan Ketua Amalan (Practice Leads), tetapi membuat keputusan akhir mengenai tenaga kerja secara berpusat,” tambah beliau.
Mereka yang diberhentikan kerja disediakan sokongan, termasuk bimbingan kerjaya dan sokongan pemadanan kerja di dalam dan luar sektor awam.
Cik Lau berkata pegawai yang diberhentikan dan berminat dengan peranan lain yang ditawarkan melalui pemadanan pekerjaan kini masih di peringkat permohonan atau temu duga.
GovTech, bersama Divisyen Perkhidmatan Awam, Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA), serta Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah mengenal pasti lebih 300 peluang pekerjaan yang relevan dengan kecekapan pegawai yang terjejas, kata beliau.