Topik diikuti
Pergi ke BHkuSokongan diberi kepada pegawai GovTech terjejas dengan penyusunan semula
Sokongan diberi kepada pegawai GovTech terjejas dengan penyusunan semula
Latihan semula untuk peranan baharu, pakej sokongan menyeluruh antara pilihan yang akan disediakan
Sokongan diberi kepada pegawai GovTech terjejas dengan penyusunan semula
Pegawai Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) yang peranan kerjanya terjejas oleh latihan penyusunan semula yang dijalankan, akan mendapat sokongan, termasuk latihan semula bagi menggalas peranan baharu dalam lembaga berkanun itu dan mencari peranan alternatif di agensi pemerintah yang lain.
Bagaimanapun, bagi mereka yang diberhentikan kerja, pakej sokongan menyeluruh akan disediakan dengan kerjasama kesatuan, merangkumi sokongan kewangan dan peralihan, bimbingan kerja dan bantuan penempatan pekerjaan.
Pada 15 Julai, GovTech mengumumkan bahawa 93 pegawainya akan diberhentikan kerja dalam fasa pertama daripada tiga fasa dalam penyusunan semula yang akan dijalankan lembaga berkanun itu secara bertahap-tahap, untuk dua tahun akan datang.
Secara keseluruhannya, sebanyak 305 peranan telah dikenal pasti sebagai terjejas dalam fasa pertama penyusunan semula itu.
Menurut lembaga berkanun tersebut, 102 pegawai kekal dalam peranan semasa, manakala 110 akan menjalani latihan perantisan untuk menggalas peranan baru.
Kumpulan 93 pegawai yang diberhentikan kerja itu membentuk baki pekerja yang terjejas.
Bagi pegawai yang diberhentikan kerja, mereka akan menerima bayaran pampasan berupa gaji sebulan bagi setiap tahun perkhidmatan, dihadkan pada 25 tahun; bayaran tambahan tiga bulan gaji; dan gaji serta faedah sepanjang tempoh penyerahan tugas dan notis selama enam minggu, kata Pengerusi GovTech, Encik Chng Kai Fong, dalam notanya kepada sekitar 3,900 kakitangan pada 15 Julai.
Mereka juga akan menerima bimbingan kerjaya dan sokongan pemadanan kerja di dalam dan luar sektor awam.
Mereka yang diminta untuk terus bekerja agar dapat menyelesaikan penyerahan tugas atau mengendalikan sistem penting, akan menerima bayaran tambahan.
Encik Chng berkata syarat tersebut telah ditentukan dengan konsultasi bersama Gabungan Kesatuan Pekerja Badan Berkanun (Ausbe), iaitu kesatuan yang mewakili pekerja GovTech.
Langkah pemberhentian kerja itu dilakukan selepas usaha menempatkan semula dan menukarkan peranan pegawai yang tugasnya tidak lagi relevan.
“Walaupun kami telah menerokai laluan penempatan semula dan latihan semula, sebilangan kecil pegawai akan keluar daripada GovTech,” kata lembaga berkanun itu.
GovTech berkata pihak mereka telah menempatkan semula dan menukarkan “sebilangan besar pegawai” ke peranan baharu, dan akan terus menempatkan semula seberapa ramai yang mungkin.
Lembaga berkanun itu turut menawarkan program perantisan, di mana kakitangan akan dibayar gaji penuh sehingga 18 bulan, serta program latihan semula berstruktur, bagi membolehkan mereka yang melakukan peranan pengurusan projek dan vendor beralih kepada peranan pemilikan produk dan keupayaan berkaitan.
GovTech juga sedang menyeragamkan beberapa perkhidmatannya, dan peranan yang terikat dengan perkhidmatan ini sedang disatukan, dengan pegawai yang terjejas ditempatkan semula sekiranya boleh.
Bagaimanapun, lembaga berkanun itu mengakui tidak semua pegawai akan dapat melakukan peralihan tersebut.
“Kami sedang bekerja rapat dengan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA), dan Ausbe untuk menyediakan sokongan yang disesuaikan kepada mereka.
“Ini termasuk peluang penempatan semula yang diberikan keutamaan dalam perkhidmatan awam dan bantuan peralihan kerjaya yang menyeluruh,” kata GovTech.
Encik Chng berkata pihaknya akan menyokong setiap pegawai yang terjejas dengan penuh perhatian dan hormat sepanjang peralihan ini, sama ada mereka terus berkhidmat dengan GovTech, melakukan peranan lain dalam perkhidmatan awam, atau keluar daripada sektor awam.
“Setiap daripada mereka membantu dalam membangunkan sistem dan perkhidmatan yang digunakan rakyat Singapura setiap hari, dan untuk itu, kami amat berterima kasih,” kata beliau.
“
“Walaupun kami telah menerokai laluan penempatan semula dan latihan semula, sebilangan kecil pegawai akan keluar daripada GovTech... Kami sedang bekerja rapat dengan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA), dan Ausbe (Gabungan Kesatuan Pekerja Badan Berkanun) untuk menyediakan sokongan yang disesuaikan kepada mereka. Ini termasuk peluang penempatan semula yang diberikan keutamaan dalam perkhidmatan awam dan bantuan peralihan kerjaya yang menyeluruh.”