Dua pemegang jawatan politik wanita – Cik Sim Ann dan Cik Jasmin Lau – akan dinaikkan pangkat dalam perubahan barisan Kabinet terkini yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 22 Julai.

Cik Sim Ann – yang kini menggalas peranan sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri) – akan dinaikkan pangkat kepada Menteri Kedua.

Sementara itu, Cik Lau pula akan menggalas peranan sebagai Pemangku Menteri Tenaga Manusia, dan Menteri Negara Kanan di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI). Beliau akan melepaskan pelantikan di Kementerian Pendidikan (MOE).

Perubahan baru itu akan berkuatkuasa 27 Julai.

Menjawab soalan mengenai perwakilan wanita, Encik Wong dalam sidang media bagi mengumumkan perubahan Kabinet dan pelantikan politik baru yang diadakan di MDDI pada 22 Julai berkata bahawa terdapat skop lebih luas bagi penyertaan wanita dalam Parlimen dan Kabinet.

“Masih ada ruang untuk penyertaan dan perwakilan wanita yang lebih besar dalam Parlimen dan Kabinet.

“Saya sentiasa mencari bakat sedemikian, dan sudah tentu, pelantikan akan dibuat berdasarkan ketersediaan dan merit individu.

“Namun, saya percaya ruang itu memang ada,” kata beliau.

Dengan perubahan tersebut, ini bermakna Singapura akan mempunyai lima wanita dalam Kabinet.

Pada masa ini, terdapat tiga wanita dalam Kabinet – Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah.