Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong: Tiada pengecualian bagi Faishal, piawaian sama dikenakan bagi semua AP PAP
PM Wong: Tiada pengecualian bagi Faishal, piawaian sama dikenakan bagi semua AP PAP
PM Wong: Tiada pengecualian bagi Faishal, piawaian sama dikenakan bagi semua AP PAP
Mengekalkan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam Kabinet dengan membuat pengecualian untuk beliau, hanya akan menyebabkan lebih banyak bahaya dan kemudaratan kepada Singapura.
Oleh itu, jangkaan dan piawaian bagi Dr Faishal juga akan dikenakan kepada setiap Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) secara sama rata, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa pengumuman rombakan Kabinet pada 22 Julai.
Beliau berkata demikian bagi membalas soalan media sama ada Dr Faishal dikenakan piawaian tingkah laku yang paling tinggi disebabkan jawatannya sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
“Dalam keadaan seperti ini, saya memahami sepenuhnya bahawa mungkin timbul godaan untuk membuat pengecualian bagi beliau.
“Namun, saya percaya melakukan demikian hanya akan membawa lebih banyak bahaya dan kemudaratan kepada Singapura.
“Akhirnya, kami menilai segala bukti yang ada. Kami mesti melakukan perkara yang betul serta memelihara kepercayaan rakyat Singapura terhadap sistem politik dan institusi awam negara ini,” ujar Encik Wong.
Encik Wong turut menegaskan bahawa Dr Faishal “mempunyai tanggungjawab sebagai Menteri dan terdapat jangkaan terhadap beliau daripada masyarakat”.
Beliau menjelaskan sekiranya perkara ini berlaku kepada sebarang AP PAP yang lain, pemerintah akan melakukan perkara dan proses yang sama, dan piawaian yang sama akan dikenakan.
“Tindakan atau akibat yang sama akan menyusul,” tambah Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.
Ini menyusuli peletakan jawatan Dr Faishal daripada semua jawatan politik pada 20 Julai disebabkan ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita.
Encik Zaqy Mohamad, yang kini merupakan Menteri Negara Kanan Kementerian Pertahanan, mengambil alih tugas sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Dalam pada itu, Encik Wong turut menjelaskan bahawa PMO pertama kali menyedari isu ini apabila seorang wanita telah menghantar e-mel dan membuat aduan mengenai interaksi Dr Faishal dengannya.
Ia merupakan e-mel yang sangat terperinci yang mengandungi semua butiran, tangkap layar skrin, dan kandungan interaksi antara dua pihak tersebut, kata beliau.
Encik Wong akur sesetengah pihak telah bertanya sama ada tindakan atau akibat yang dikenakan adalah terlalu berat.
“Biar saya jelaskan sebegini: pertama, (Dr) Faishal sendiri, apabila merenung kembali perkara ini, menyedari bahawa adalah sukar untuk beliau terus kekal sebagai pemegang jawatan politik dan sebagai seorang AP.
“Penjelasan beliau adalah bahawa beliau telah cuba sedaya upaya untuk mengendalikan apa yang dirasakannya sebagai satu situasi yang kekok, dan beliau tidak mahu memutuskan interaksi dengan wanita tersebut secara mendadak,” ujar Encik Wong.