Insiden TraceTogether tidak melemahkan kepercayaan orang ramai seperti yang dicadangkan oleh Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied), kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau.
Semasa perbahasan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Sektor Awam (PSGA) di Parlimen pada 12 Januari, Encik Tiong telah membangkitkan contoh TraceTogether, tatkala pemerintah memohon maaf kerana tidak memaklumkan kepada orang ramai data daripada aplikasi pengesanan kontak yang digunakan semasa pandemik Covid-19 itu boleh digunakan bagi siasatan jenayah.
Menurut beliau, tindak balas itu “ketara”, bukan kerana rakyat Singapura menentang penguatkuasaan undang-undang, tetapi kerana mereka rasa tertipu tentang bagaimana data mereka akan digunakan.
“Pengajarannya ialah kepercayaan mesti dibina melalui proses yang terbukti kukuh. Sebaik sahaja kepercayaan dalam rangka kerja perkongsian data dilemahkan, ia sukar untuk dibina semula,” kata Encik Tiong.
Dalam jawapannya, Cik Lau berkata apabila isu itu timbul, pemerintah telah ke Parlimen, menjelaskan pendiriannya, dan menjelaskan rangka kerja perundangan.
“Itulah kebertanggungjawapan. Kami tidak bersembunyi daripada penelitian. Kami menanganinya secara terbuka di Dewan ini,” kata Cik Lau.
Susulan kejadian itu, Parlimen meluluskan Akta Covid-19 untuk mengehadkan penggunaan data TraceTogether kepada kesalahan serius, agar aplikasi itu tidak menjejas kepercayaan orang ramai.
Cik Lau berkata rakyat Singapura terus menggunakan TraceTogether kerana mereka memahami penjelasan dan langkah berjaga-jaga pemerintah.
“Untuk menyifatkannya sebagai satu kegagalan yang melemahkan kepercayaan orang ramai tidak mencerminkan gambar sebenar bagaimana rakyat Singapura bertindak balas,” katanya.
“Pengajaran daripada TraceTogether, bukanlah pemerintah tidak boleh dipercayai dengan data. Ia adalah apabila timbul persoalan, pemerintah mesti bertanggungjawab dan telus, dan kami memang bertanggungjawab.”
Encik Tiong mengulangi seruannya bagi tempoh semakan selama lima tahun untuk rang undang-undang tersebut dan meminta sekali lagi penjelasan sama ada organisasi yang menyalahgunakan data mempunyai liabiliti kontraktual atau liabiliti statutori.
Dalam jawapannya, Cik Lau berkata ia adalah liabiliti kontraktual, dan pemerintah akan menyemak semula apa yang boleh dilaksanakan apabila ia memperoleh lebih banyak pengalaman dengan rang undang-undang tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg