Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usul pinda undang-undang permudah sektor awam, swasta kongsi data

Antara perubahan termasuk kenakan hukuman jenayah ke atas individu sektor swasta jika salah guna data yang dikongsi ketika mereka bertugas dengan pemerintah
Aug 14, 2025 | 7:48 PM
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) sedang mencadangkan perubahan kepada Akta Tadbir Urus Sektor Awam (PSGA) bagi memudahkan cara agensi sektor awam berkongsi data dengan sektor swasta yang mungkin melibatkan data individu atau perniagaan.
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) sedang mencadangkan perubahan kepada Akta Tadbir Urus Sektor Awam (PSGA) bagi memudahkan cara agensi sektor awam berkongsi data dengan sektor swasta yang mungkin melibatkan data individu atau perniagaan. - Foto ZAOBAO

Pemerintah bakal membuat perubahan pada undang-undang sedia ada yang akan memudahkan cara agensi sektor awam berkongsi data dengan sektor swasta yang mungkin melibatkan data individu atau perniagaan.

Antara perubahan itu termasuk mengenakan hukuman jenayah ke atas individu daripada sektor swasta jika mereka didapati menyalahgunakan data yang dikongsi dengan mereka ketika sedang bertugas dengan pemerintah.

Kemas kini yang dicadangkan pada Akta Tadbir Urus Sektor Awam (PSGA), yang pertama kali dilancarkan pada 2018 untuk mempertanggungjawabkan kakitangan awam, sedang dibincangkan dalam rundingan awam yang dijadual berakhir pada 2 September.

“Pindaan itu bertujuan meningkatkan penggunaan data untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Singapura,” kata Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dalam kertas perundingannya yang diterbitkan pada 12 Ogos.

Pindaan yang diusul turut bertujuan memberikan lebih kejelasan mengenai perkongsian data antara sektor awam dengan swasta.

Perubahan itu dilakukan sedang pemerintah semakin kerap bekerjasama dengan kumpulan masyarakat dan sektor swasta untuk menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

Dalam usaha itu, pemerintah mungkin perlu berkongsi set data yang melibatkan individu atau perniagaan, fakta dan perangkaan dengan pihak luar, kata MDDI.

Ia memberi contoh sebuah organisasi yang ingin membantu masyarakat menyalurkan bantuan sosial kepada warga Singapura yang memerlukan, atau memberikan sokongan berkaitan kesihatan kepada warga emas.

Dalam usaha sedemikian, MDDI berkata sektor awam mungkin perlu berkongsi dengan organisasi tersebut senarai individu yang layak dan tepat pada masanya, seiring butiran hubungan dan kelayakan mereka.

Dengan cadangan perubahan pada PSGA, undang-undang itu akan menyediakan asas undang-undang yang jelas bagi agensi sektor awam berkongsi data dengan rakan kongsi luar yang dibenarkan.

Pindaan itu akan membolehkan agensi sektor awam memberi kuasa kepada rakan kongsi luar untuk menerima data yang diperlukan bagi perkhidmatan yang mereka berikan untuk pihak sektor awam.

Kebenaran seorang menteri agensi sektor awam, atau orang berkelayakan yang dilantik oleh menteri tersebut, diperlukan untuk perkongsian data tersebut.

Di bawah perubahan yang disaran, individu dari pihak luar yang menyalahgunakan data yang dikongsi mungkin akan dikenakan tahap penalti yang sama seperti kakitangan awam di bawah PSGA.

PSGA menyifatkan tindakan pendedahan data tanpa kebenaran, penyalahgunaan data dan pengecaman semula individu daripada data tanpa nama sebagai jenayah.

Kakitangan awam yang didapati bersalah atas kesalahan itu boleh didenda sehingga $5,000 dan boleh menghadapi hukuman penjara sehingga dua tahun.

Di samping itu, kewajipan dan penalti PDPA akan terus dikenakan untuk rakan kongsi luar ini.

Secara berasingan, MDDI turut mencadangkan agar meminda PSGA bagi menjelaskan bahawa agensi awam boleh menggunakan secara dalaman data yang dibenarkan untuk berkongsi dengan agensi awam lain.

“Pemerintah memandang serius tanggungjawabnya untuk melindungi data yang diamanahkan kepada sektor awam, dan akan terus memastikan tadbir urus data yang teguh, kerana ia berusaha untuk mencapai nilai awam yang lebih besar daripada penggunaan data,” kata MDDI.

Orang ramai boleh memberikan maklum balas pada perubahan yang diusul itu sebelum 2 September, 5 petang melalui pautan, https://go.gov.sg/feedbackpsga2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg