Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Budak kampung’ Sembawang tak ‘guna kabel’ bina nama dalam dunia perbankan

Mantan CEO Bank of Singapore, Bahren Shaari, sanggup kirim 100 surat mohon kerja hingga dilamar American Express
Aug 11, 2025 | 5:30 AM
NoTapis, podcast, Bahren Shaari
Encik Bahren Shaari berkongsi perjalanan kerjayanya dalam dunia perbankan bersama penerbit podcast dan hos NoTapis, Cik Natasha Mustafa, dalam satu lagi episod siri khas ‘NoTapis Personaliti’. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kejayaan Encik Bahren Shaari, untuk bertapak dalam sektor perbankan lebih tiga dekad lalu bukan kerana beliau ‘guna kabel’ (melalui rangkaian kenalan atau laluan khas).

Sebaliknya, ia merupakan hasil kegigihannya sendiri.

Selepas menghantar lebih 100 permohonan pekerjaan sesudah tamat pengajian kursus ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), ‘budak kampung’ Sembawang itu berjaya mendapat pekerjaan di American Express (Amex).

Bermula sebagai pegawai peringkat rendah di bank itu pada 1988, beliau akhirnya berjaya meniti tangga korporat untuk dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore pada 2015.

Malah, beliau menjadi salah seorang pemimpin korporat Melayu paling terkemuka dalam sektor kewangan di sini.

Mengulas tentang semangat gigihnya mencipta nama dalam sektor perbankan, Encik Bahren, 63 tahun, menjelaskan bahawa minatnya menceburi bidang kewangan didorong hasratnya untuk mencapai kebebasan daripada sudut kewangan.

“Saya rasa ketika itu, sektor kewangan sedang berkembang pesat dan saya pula mahu lihat sekiranya saya dapat menceburi kerjaya ini,” jelasnya dalam satu episod NoTapis Personaliti, edisi khas podcast Berita Harian.

Siri ini mengetengahkan tokoh Melayu tempatan yang telah meninggalkan kesan bukan saja bagi masyarakat Melayu bahkan Singapura secara keseluruhan.

“Antara sebab besar mengapa saya ingin melakukannya adalah kerana gaji dalam sektor perbankan lebih bagus dan sebagai ‘orang kampung’, saya dan keluarga saya hidup dalam keadaan yang susah.

“Jadi sekiranya saya boleh dapat hasil yang lebih baik dalam industri ini, ia akan membantu saya,” tambahnya, yang membesar di Kampung Tanjung Irau di kawasan Sembawang dulu.

Bank of Singapore, di bawah kepimpinannya, telah menguruskan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak $133 bilion.

Ditanya tentang perasaannya mencapai kejayaan seperti itu, Encik Bahren berkata beliau tidak pernah rasa gementar apabila diamanahkan dengan tugasan sebesar itu.

“Sebenarnya saya rasa bangga kerana itu merupakan satu-satunya matlamat yang saya harap dapat dicapai.

“Ini menunjukkan sekiranya kita cuba, kita boleh mencapai apa pun,” katanya yang merupakan penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2018.

Menurut Encik Bahren, pencapaian tersebut tidak akan dapat dilakukan tanpa kakitangan serta pasukan pengurusan lain yang berkongsi misi yang sama.

Berpegang pada prinsipnya untuk melakukan yang terbaik dalam apa saja yang diusahakan, Encik Bahren berkata kerjayanya telah banyak membantunya dalam menjalin rangkaian dan kebolehpercayaan di dalam industri perbankan.

Walaupun pernah berpangkat CEO, Encik Bahren, tetap kekal merendah hati.

“Saya anak kampung. Saya ke sekolah dulu naik basikal,” tambahnya seraya tertawa.

Ketika menyingkap kembali perjalanan hidupnya, Encik Bahren berkata beliau berjaya mendaki tangga korporat kerana sokongan dan dorongan keluarga tersayang.

“Saya capai matlamat-matlamat saya bukan kerana kepintaran saya tetapi kerana usaha dan doa daripada ramai orang yang mendukung cita-cita saya.

“Antaranya termasuk ibu bapa saya,” ujar bapa tiga anak itu.

Setelah bersara daripada jawatannya sebagai CEO, Encik Bahren kini menggunakan rangkaiannya di rantau Asia Tenggara dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

Antara amanah yang digalasnya termasuk memegang jawatan anggota Lembaga Pengarah di NUS dan juga SPH Media.

Selain berkongsi perjalanan kerjayanya, Encik Bahren turut menyampaikan nasihat kepada anak muda dalam masyarakat Melayu/Islam agar terus mempunyai cita-cita yang besar.

“Kita tidak boleh melihat latar belakang kita sebagai penghambat cita-cita kita.

“Perjalanan ini mungkin bukan mudah tetapi kita harus mengharunginya,” tambah beliau.

Encik Bahren turut menggesa anak muda agar merebut peluang sedia ada, bukan hanya di Singapura, bahkan di arena antarabangsa.

“Kita mesti berfikir secara sejagat dan mengambil kesempatan yang ada.

“Sekiranya kita boleh gunakan kepakaran kita di tempat lain untuk mencari rezeki, mengapa tidak?

“Yang penting adalah tidak ada ‘shortcut’ (jalan pintas) dan kita harus terus mengembangkan sayap kita,” kata Encik Bahren.

Kita mesti berfikir secara sejagat dan mengambil kesempatan yang ada. Sekiranya kita boleh gunakan kepakaran kita di tempat lain untuk mencari rezeki, mengapa tidak? Yang penting adalah tidak ada ‘shortcut’ (jalan pintas) dan kita harus terus mengembangkan sayap kita.
 Encik Bahren Shaari.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg