Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa Parlimen gesa pemerintah berhemat ekoran penduduk kian tua

Dianggarkan $3.5 bilion diperuntuk bagi inisiatif Sihat Menua SG sokong warga emas
Nov 5, 2024 | 8:13 PM
Dianggarkan $3.5 bilion telah diperuntukkan bagi program Sihat Menua SG untuk menyokong warga emas di rumah dan dalam masyarakat mereka.
Dianggarkan $3.5 bilion telah diperuntukkan bagi program Sihat Menua SG untuk menyokong warga emas di rumah dan dalam masyarakat mereka. - Foto ST

Sedang pemerintah meningkatkan perbelanjaan untuk menyokong bertambahnya jumlah warga emas, ia harus terus berhemat dan mengelakkan pembaziran dalam inisiatifnya, kata sebuah jawatankuasa Parlimen.

Jawatankuasa Anggaran, yang meneliti perbelanjaan pemerintah, turut mencadangkan agar pihak berkuasa mengkaji semula daya utama di bawah program Sihat Menua SG apabila terdapat data yang mencukupi untuk berbuat demikian, bagi mengurangkan sebarang pertindihan.

Dianggarkan $3.5 bilion telah diperuntukkan bagi Sihat Menua SG untuk menyokong warga emas di rumah dan dalam masyarakat.

Menyedari bahawa pemerintah berkata ia akan mengkaji keberkesanan kos program Sihat Menua SG, jawatankuasa itu meminta hasil semakan itu dikongsi apabila tersedia.

Jawatankuasa sembilan anggota itu telah membuat cadangan-cadangan dalam laporan setebal 42 muka surat yang dibentangkan kepada Parlimen pada 4 November, lapor The Straits Times.

Ia dipengerusikan oleh Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast), dan terdiri daripada tujuh lagi Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP), serta Anggota Parlimen Parti Pekerja, Encik Jamus Lim (GRC Sengkang).

Mereka mengadakan tiga mesyuarat pada April, Ogos dan Oktober dan meneliti pelbagai perkara daripada Belanjawan 2024 – daya utama Sihat Menua SG, Strategi Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan 2.0 dan pembiayaan lembaga berkanun.

Menyedari bahawa dianggarkan 100,000 warga emas mungkin menghadapi sekurang-kurangnya satu keadaan hilang upaya ringan menjelang 2030, jawatankuasa itu menggesa pemerintah supaya melakukan lebih banyak melalui Sihat Menua SG untuk menyokong warga emas hidup lebih lama dalam keadaan kesihatan yang baik.

Ia juga menggesa pemerintah supaya terus memastikan warga emas dan penjaga mereka di estet privet mendapat akses kepada kemudahan dan perkhidmatan mesra warga emas.

Jawatankuasa itu juga mengesyorkan agar pemerintah menerbitkan pelan tindakan untuk penuaan setiap lima tahun atau lebih kerap, memandangkan isu penuaan akan menjadi lebih penting pada tahun-tahun akan datang.

Jawatankuasa itu juga mengkaji tadbir urus, model pembiayaan dan pengurusan kewangan lembaga-lembaga berkanun di Singapura.

Kali terakhir ia berbuat demikian pada 2017.

Dalam Belanjawan 2024, pemerintah telah menilai bahawa perbelanjaan akan meningkat kepada kira-kira 20 peratus daripada hasil kasar dalam negeri menjelang 2030, kata jawatankuasa itu.

Ia meminta maklumat tentang lembaga-lembaga berkanun yang mempunyai belanjawan dan rizab terbesar, dan sumbangan mereka kepada Dana Disatukan pada tahun-tahun apabila lebihan perakaunan direkodkan.

Ini bagi memastikan pembiayaan lembaga berkanun akan kekal mampan pada masa hadapan, kata jawatankuasa itu.

Jawatankuasa itu juga bertanya tentang langkah-langkah bagi kementerian menyemak lebihan dan rizab lembaga berkanun mereka.

Menjawab pertanyaan, Kementerian Kewangan (MOF) memberitahu jawatankuasa itu bahawa 20 daripada 49 lembaga berkanun yang disenaraikan dalam Jadual Akta Perbadanan Berkanun (Sumbangan Kepada Dana Disatukan) 1989 mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk biaya sendiri.

MOF juga memberitahu jawatankuasa itu bahawa semakan terakhirnya terhadap semua lebihan lembaga berkanun telah dijalankan pada 2022.

Tiga lembaga berkanun dengan lebihan terkumpul terbesar dalam penyata kewangan terbaru yang telah diaudit dari tahun kewangan 2022 ialah JTC Corporation dengan $26.6 bilion, Tote Board dengan $4.2 bilion dan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dengan $3.2 bilion.

Sebagai lembaga berkanun Jadual Kelima, rizab JTC dan lembaga CPF dilindungi.

MOF memberitahu jawatankuasa itu bahawa rizab Tote Board membolehkannya menawarkan komitmen pembiayaan jangka panjang dengan anugerah geran sehingga lima tahun.

Beralih kepada strategi AI kedua negara, jawatankuasa itu menyatakan bahawa daripada 10,000 pengamal AI tambahan yang pemerintah merancang untuk bangunkan, 70 peratus dijangka warga Singapura dan penduduk tetap.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg