Topik diikuti
Pergi ke BHkuJawatankuasa Parlimen: Kos bagi skim Generasi Perintis melebihi baki dana hampir $785j
Pemerintah tiada hasrat padankan liabiliti setiap tahun, akan buat tokokan jika perlu
Kos bagi skim di bawah Dana Generasi Perintis dianggarkan melebihi baki dana iaitu sebanyak hampir $785 juta setakat akhir tahun kewangan pada 31 Mac 2025, menurut laporan oleh sebuah jawatankuasa parlimen yang menyemak anggaran hasil dan perbelanjaan tahunan pemerintah.
Jawatankuasa Anggaran, yang dianggotai oleh lapan Anggota Parlimen (AP), membentangkan laporan tersebut kepada Parlimen pada 11 Ogos.
Dalam laporan itu, jawatankuasa tersebut meminta Kementerian Kewangan (MOF) untuk menjelaskan isu berkaitan kemampanan Dana Generasi Perintis, termasuk pulangan pelaburan yang dijangkakan, profil pengeluaran masa hadapan, serta sama ada suntikan dana tambahan diperlukan.
MOF berkata pemerintah tidak berhasrat untuk memadankan liabiliti setiap tahun memandangkan sifat jangka panjang dana tersebut.
Sebaliknya, kementerian itu berkata ia akan menyemak anggaran liabiliti serta trend penggunaan secara berkala bagi memastikan kecukupan dana, dan akan menambah peruntukan dana jika diperlukan demi menunaikan komitmen kepada warga emas Generasi Perintis.
Dana Generasi Perintis ditubuhkan pada 2014 untuk membiayai Pakej Generasi Perintis, yang merangkumi bantuan kewangan bagi warga Singapura yang lahir pada atau sebelum 31 Disember 1949, dan memperoleh kewarganegaraan pada atau sebelum 31 Disember 1986.
Jawatankuasa itu menarik perhatian dalam laporannya bahawa dana berkenaan perlu ditambah lagi, memandangkan anggaran liabilitinya – yang berjumlah $5,958,895,163 – kini melebihi bakinya sebanyak $5,174,233,768.
Ia turut akur komitmen pihak pemerintah untuk menambah peruntukan dana tersebut jika perlu bagi “menunaikan komitmen yang telah dibuat kepada warga Singapura”.
Selain Dana Generasi Perintis, jawatankuasa itu turut meneliti Dana Generasi Merdeka dan Dana Pakej Majulah dalam laporannya.
Mengenai kesan inflasi penjagaan kesihatan terhadap kemampanan jangka panjang Dana Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, MOF berkata bahawa pihak pemerintah menyemak peringkat subsidi dan pembayaran secara berkala bagi memastikan perlindungan yang mencukupi terhadap peningkatan kos penjagaan kesihatan.
Setakat 31 Mac 2025, sekitar 450,000 warga emas telah meraih manfaat daripada Pakej Generasi Perintis, dengan sekitar 300,000 daripadanya yang masih hidup.
Jumlah purata yang diterima bagi setiap individu adalah sekitar $11,800.
Jawatankuasa tersebut turut mengetengahkan Dana Produktiviti Kebangsaan dan Dana Tenaga Masa Depan.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Encik Patrick Tay (GRC Pioneer), terdiri daripada enam lagi AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) termasuk Cik Nadia Ahmad Samdin, serta AP Parti Pekerja, Encik Gerald Giam (GRC Aljunied).
Mereka ditugaskan untuk melaporkan sebarang penjimatan, penambahbaikan dalam organisasi, kecekapan atau pembaharuan pentadbiran yang boleh dilaksanakan dalam belanjawan pemerintah.
Mengulas lanjut, Encik Tay menegaskan usaha yang mereka kedepankan itu bermatlamat untuk kepentingan rakyat.
“Penemuan kami memberi kami keyakinan bahawa pihak pemerintah mengambil pendekatan yang berhati-hati dan teliti dalam mencorak kesihatan fiskal, daya hidup ekonomi, serta daya tahan nasional Singapura jauh ke masa hadapan, di samping menguruskan komitmen jangka panjang kita.
“Kami juga berpuas hati bahawa rangka kerja tadbir urus yang kukuh telah disediakan, dan kami akan terus memantau penggunaan pelbagai Dana Pemerintah serta hasil yang direka untuk dicapai bagi warga Singapura,” kata Encik Tay.
Bagi Dana Produktiviti Kebangsaan pula, jawatankuasa tersebut akur pemerintah telah menyuntik dana tambahan sebanyak $3 bilion kepada dana tersebut dalam Belanjawan 2025, susulan penambahan sebanyak $2 bilion dalam Belanjawan 2024 dan $4 bilion dalam Belanjawan 2023.
Setakat 31 Mac 2025, sebanyak $10.5 bilion telah disumbangkan kepada dana itu, dengan perancangan suntikan tambahan sebanyak $6 bilion pada tahun kewangan 2026.
Jawatankuasa tersebut telah bertanya MOF mengenai strategi pelaburan bagi wang yang belum diagihkan, projek serta program yang dibiayai, manfaat yang diperoleh, dan sumbangan dana tersebut terhadap produktiviti pekerjaan serta pembangunan ekonomi Singapura.
Menggariskan bahawa unjuran agihan bagi tahun kewangan 2025 dan 2026 – masing-masing sebanyak $4 bilion dan $3 bilion – adalah lebih tinggi berbanding jumlah lazim yang diagihkan pada 2024 dan tahun-tahun sebelumnya, jawatankuasa itu bertanya sama ada terdapat penggunaan dana yang kurang daripada sepatutnya.
Menjawab, MOF menyatakan bahawa jumlah yang diagihkan pada tahun kewangan 2024 dan sebelumnya tidak merangkumi agihan bagi projek promosi pelaburan.
Kementerian itu menambah sebelum mandat dana tersebut diperluaskan untuk merangkumi promosi pelaburan sebagai aktiviti yang boleh disokong pada 2023, dana berkenaan digunakan “selaras dengan mandat sedia adanya untuk membiayai projek yang memacu pertumbuhan produktiviti serta menyokong usaha pendidikan dan latihan berterusan”.
Laporan tersebut turut menekankan bahawa Dana Tenaga Masa Depan bernilai $10 bilion masih belum membuat sebarang perbelanjaan dan boleh digunakan untuk menyokong infrastruktur kuasa nuklear sekiranya Singapura memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear.
MOF memaklumkan kepada Jawatankuasa Anggaran bahawa tiada perbelanjaan dibuat daripada Dana Tenaga Masa Depan setakat ini, namun “pengeluaran dana akan berlaku pada tahun-tahun mendatang selepas pertimbangan teliti mengenai daya maju, kebolehpercayaan dan keberkesanan kos laluan tenaga tersebut”.
MOF berkata bahawa dana tersebut boleh digunakan untuk menyokong infrastruktur bagi program kuasa nuklear, sekiranya Singapura akhirnya memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear.
Dana tersebut boleh digunakan untuk “menyokong pembinaan, penambahbaikan, peluasan, penggantian, pemerolehan atau pemajakan infrastruktur atau hartanah bagi projek tenaga rendah karbon, serta kajian kebolehlaksanaan atau tinjauan tapak sebagai persediaan bagi projek yang melibatkan infrastruktur berkenaan”, tambah MOF.
Namun, Singapura masih belum memutuskan untuk menggunakan atau merintis tenaga nuklear, kata MOF.
Kementerian itu menyatakan bahawa Dana Tenaga Masa Depan tidak akan digunakan bagi fasa pertama penilaian oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (Iafa) mengenai kesediaan nuklear Singapura dan tiada keputusan dibuat untuk menggunakan atau merintis tenaga nuklear.
