Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga Generasi Perintis terima tokokan MediSave antara $300 dengan $1,200 pada Jul
Warga Generasi Perintis terima tokokan MediSave antara $300 dengan $1,200 pada Jul
Warga Generasi Perintis terima tokokan MediSave antara $300 dengan $1,200 pada Jul
Warga Singapura dari Generasi Perintis akan menerima tokokan MediSave antara $300 dengan $1,200 pada pertengahan Julai ini (2026), dengan jumlah keseluruhan yang ditokok melebihi $145 juta.
Dalam kenyataannya pada 9 Jun, Kementerian Kewangan (MOF) berkata lebih 450,000 warga Generasi Perintis, telah meraih manfaat daripada tokokan tersebut sejak Pakej Generasi Perintis diperkenalkan pada 2014.
Generasi Perintis merupakan rakyat Singapura yang lahir pada 1949 atau lebih awal.
Tokokan tahunan itu boleh digunakan untuk membayar premium MediShield Hayat, CareShield Hayat, ElderShield dan pelan insurans lain yang diluluskan di bawah MediSave, selain menampung perbelanjaan perubatan seperti kemasukan ke hospital, prosedur pembedahan harian dan rawatan pesakit luar terpilih.
Bagi Encik Mohamed Ali Mohamed Ghazali, 79 tahun, tokokan MediSave ini membantu mengurangkan beban kos rawatan perubatan yang semakin meningkat.
“Saya pernah menjalani rawatan mata. Mujurlah, simpanan MediSave banyak membantu menampung kos rawatan ini. Bantuan ini memberi lebih ketenangan fikiran kepada warga emas seperti saya,” katanya.
Tokokan MediSave bagi Generasi Perintis ini diberikan selain tokokan tahunan Baucar GST - MediSave yang disediakan untuk rakyat Singapura berusia 65 tahun dan ke atas yang layak menerimanya.
Bagi tahun ini (2026), warga perintis yang lahir pada atau sebelum 1934, akan menerima $1,200, manakala mereka yang lahir antara 1935 dengan 1939 akan menerima $700.
Mereka yang lahir antara 1940 dengan 1944 pula akan menerima $500, sementara warga perintis yang lahir antara 1945 dengan 1949 pula akan menerima $300.
Encik Mohamed Ali, pesara yang tinggal bersama isteri dan anak bongsunya itu, berkata beliau bersyukur kerana mempunyai empat anak yang sentiasa menghulurkan bantuan kewangan apabila diperlukan.
“Alhamdulillah, saya agak selesa kerana anak-anak selalu membantu dan isteri saya juga masih bekerja.
“Simpanan CPF saya juga masih mencukupi untuk keperluan harian,” katanya.
Namun, beliau mengakui tokokan MediSave tetap memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban perbelanjaan kesihatan, terutama bagi warga emas yang memerlukan rawatan berterusan.
“Kos rawatan perubatan sekarang bukan murah.
“Saya sendiri pernah menjalani rawatan mata dan MediSave banyak membantu menampung sebahagian perbelanjaan tersebut.
“Kalau tidak, mungkin saya perlu mengeluarkan lebih banyak wang simpanan sendiri,” katanya.
Menurut beliau, bantuan yang diberikan pemerintah menerusi Pakej Generasi Perintis menunjukkan penghargaan terhadap sumbangan generasinya dalam membangunkan Singapura.
“Saya rasa bantuan ini sangat baik kerana ia membantu warga emas seperti saya mendapatkan rawatan tanpa terlalu risau tentang kos perubatan.
“Walaupun saya bernasib baik kerana ada sokongan keluarga, tidak semua rakan sebaya saya berada dalam keadaan yang sama.
“Bagi mereka yang bergantung pada simpanan sendiri, tokokan MediSave ini memang dapat mengurangkan beban kewangan dan memberi lebih keyakinan untuk mendapatkan rawatan apabila diperlukan,” tambah beliau.
Menurut MOF, warga Generasi Perintis yang lebih berusia menerima jumlah tokokan yang lebih tinggi kerana mereka lazimnya mempunyai simpanan lebih rendah, berbanding generasi lebih muda dan mungkin memerlukan lebih banyak bantuan untuk membayar premium tahunan MediShield Hayat.
Tokokan tersebut akan dikreditk secara automatik ke dalam Akaun MediSave CPF warga perintis yang layak dan tiada sebarang tindakan lanjut diperlukan.
Pakej Generasi Perintis diperkenalkan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan kelompok rakyat Singapura ini dalam membangun negara pada tahun-tahun awal kemerdekaan.
MOF berkata tokokan MediSave tahunan itu akan terus membantu memastikan premium MediShield Hayat kekal berpatutan bagi semua warga perintis.
Menurut kementerian itu, warga perintis yang lahir pada atau sebelum 1934 akan terus menikmati perlindungan penuh bagi premium MediShield Hayat mereka, manakala mereka yang lahir antara 1935 dengan 1949 akan mendapat tampungan bagi kira-kira dua pertiga premium mereka.
Warga perintis yang telah mendaftarkan nombor telefon bimbit mereka dengan Singpass sebelum 1 Jun akan menerima SMS selewat-lewatnya 15 Jun, yang memaklumkan jumlah tokokan yang bakal diterima.
Bagi yang lain, surat pemberitahuan akan dihantar menjelang akhir Jun.
MOF turut mengingatkan warga perintis supaya berwaspada terhadap penipuan.
Pegawai pemerintah tidak akan meminta orang ramai memindahkan wang atau mendedahkan maklumat perbankan menerusi panggilan telefon.
Orang ramai yang tidak pasti sama ada sesuatu itu merupakan penipuan boleh menghubungi Talian Bantuan ScamShield, yang beroperasi 24 jam di talian 1799.
Maklumat lanjut mengenai Pakej Generasi Perintis boleh didapati di go.gov.sg/pgpackage. Bagi pertanyaan lanjut, warga emas boleh menghubungi talian 1800-2222-888 (Pakej Generasi Perintis) atau 1800-650-6060 (urusan penjagaan kesihatan), atau menghantar e-mel ke contactus@pioneers.gov.sg.
