Jawatankuasa SalamSG Korban 2027 kini diperluaskan dengan melantik pengerusi bersama khusus bagi mengendalikan operasi korban setempat dan luar negara.

Berbeza dengan Korban 2026 yang hanya dianggotai dua pengerusi bersama dan dua naib pengerusi, struktur baharu itu merangkumi empat pengerusi bersama serta dua naib pengerusi bagi menyelia aturan korban secara lebih terperinci.

Hal itu diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 25 November menerusi satu taklimat Korban 2027 di Hab Islam Singapura, yang turut berkongsi usaha memperkukuh piawaian penyedia khidmat, kawalan bayaran dan penyeliaan operasi.

Bagi korban setempat, jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Encik Ridzwan Abu Bakar dan Encik Muhammad Khairul Jameel Yahya.

Korban luar negara pula akan diterajui bersama oleh Encik Mohamed Ejjad Abd Rahim dan Encik Firdaus Suraidi.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), MUIS menjelaskan bahawa struktur yang diperkukuh itu bertujuan memastikan pemantauan lebih ketat ke atas penyedia khidmat dan operasi supaya sebarang masalah dapat dikesan lebih awal.

“Struktur yang diperkukuh itu bertujuan memastikan penyelarasan dan pemantauan yang lebih rapi terhadap pelantikan penyedia khidmat, pematuhan peraturan serta aturan operasi, supaya sebarang potensi risiko dapat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih awal,” kata MUIS.

Dalam satu kenyataan MUIS pada 25 November, ia berkata jawatankuasa itu akan menyelia pelantikan penyedia khidmat serta aturan operasi, termasuk pematuhan peraturan dan perancangan luar jangka.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Operasi korban setempat akan terus dikendalikan oleh penyedia khidmat yang dilantik dengan kerjasama masjid yang mengambil bahagian, di bawah pemantauan MUIS yang diperkukuh.

Langkah tersebut ditetapkan MUIS bagi mempertingkat piawaian penyedia khidmat serta perlindungan bayaran bagi SalamSG Korban 2027.

Usaha itu merangkumi penilaian terhadap rekod prestasi penyedia sebelum ini, kedudukan kewangan yang kukuh, serta keupayaan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Perubahan berkenaan menyusuli insiden pada 2026 apabila salah satu pengendali korban di Singapura, The Meat Brothers (TMB), gagal membawa masuk sekurang-kurangnya 400 haiwan korban tepat pada masanya sempena Hari Raya Haji pada Mei.

Mengulas mengenai syarat penyedia khidmat yang diperkukuh, Encik Ridzwan berkata:

“Bagi Korban 2027, kami telah menyertakan keperluan untuk mengemukakan dokumen kedudukan kewangan (iaitu penyata akaun teraudit bagi tempoh tiga tahun) serta perisytiharan pengarah.

“Kami juga menekankan kepentingan menggariskan pengurusan operasi dan pengurusan rantaian bekalan, termasuk mendedahkan pihak-pihak dalam rantaian bekalan lebih awal serta mengemukakan rekod prestasi terbukti bagi urusan pengimportan yang serupa.”

Pengerusi bersama Jawatankuasa Korban Setempat 2027, Encik Ridzwan Abu Bakar.
Pengerusi bersama Jawatankuasa Korban Setempat 2027, Encik Ridzwan Abu Bakar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut MUIS, perancangan telah dimulakan sejak September bagi memastikan proses tender yang jelas bagi kedua-dua korban setempat dan luar negara.

Tender bagi penyedia khidmat korban dibuka pada 25 November dan akan ditutup pada 16 Disember.

Penyedia khidmat pula akan ditetapkan selewat-lewatnya pada 8 Februari 2027, sebelum tempahan bermula pada April 2027 apabila permit yang diperlukan sudah diterima.

MUIS menambah mereka akan mengekalkan kapasiti penyediaan 5,400 ekor haiwan di luar negara dan 1,300 ekor haiwan di Singapura, dengan sehingga tujuh masjid diluluskan untuk melaksanakan korban.