Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya belum dibentuk

Jul 3, 2024 | 3:05 PM
Jawatankuasa tersebut biasanya dianggotai penjawat awam daripada Penguasa Tanah Singapura (SLA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Jabatan Perangkaan (DOS) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD).
Jawatankuasa tersebut biasanya dianggotai penjawat awam daripada Penguasa Tanah Singapura (SLA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Jabatan Perangkaan (DOS) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD). - Foto ST

Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang menentukan sempadan pilihan raya menjelang setiap Pilihan Raya Umum (GE) belum dibentuk, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing pada 2 Julai, dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen.

Beliau menambah bidang tugas jawatankuasa tersebut akan ditetapkan apabila ia dibentuk.

Encik Chan berkata demikian bagi pihak Perdana Menteri Encik Lawrence Wong ketika menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Louis Chua (GRC Sengkang), yang bertanya apakah bidang tugas yang diberikan kepada EBRC, dan apakah prinsip yang menjelaskan bagaimana ia diputuskan. 

Menurut Encik Chan, berdasarkan bidang tugas jawatankuasa tersebut sebelum ini, EBRC akan menyemak semula sempadan pilihan raya dan menyarankan keluasan dan bilangan Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) yang dibentuk, lapor The Straits Times (ST).

“Dalam semakannya, EBRC harus pertimbang perubahan ketara dalam bilangan pengundi di setiap divisyen pilihan raya, disebabkan perubahan penduduk dan pembangunan perumahan sejak sempadan (pilihan raya umum) yang lalu dilakarkan,” tambahnya.

Bagi tiga pilihan raya umum lalu, jawatankuasa tersebut juga ditugaskan mengurangkan saiz kawasan undi yang ditawarkan secara berkumpulan dan mewujudkan lebih banyak kawasan undi perseorangan.

Jawatankuasa tersebut biasanya dianggotai penjawat awam daripada Penguasa Tanah Singapura (SLA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Jabatan Perangkaan (DOS) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Sebelum empat GE lalu diadakan pada 2006, 2011, 2015 dan 2020, jawatankuasa tersebut mengambil masa antara dua dengan tujuh bulan untuk melaksanakan tugasnya.

Jawatankuasa tersebut kali terakhir bersidang pada Ogos 2019, sebelum pilihan raya diadakan pada Julai 2020.

Ini bukan kali pertama AP pembangkang bertanya tentang tugas EBRC.

Pada Februari, semasa menjawab soalan AP WP, Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), Encik Chan berkata, masa yang mencukupi akan diberikan dari masa laporan EBRC dikeluarkan hingga tarikh GE, agar calon dan parti politik dapat membuat persiapan menghadapi GE.

Encik Giam telah bertanya sama ada Perdana Menteri akan menghendaki EBRC memberi sebab terperinci bagi setiap perubahan sempadan kawasan undi, selain faktor saiz kawasan undi, untuk memastikan perwakilan adil dan keperluan penyesuaian disebabkan perubahan penduduk.

Mengulas perkara tersebut, Encik Chan berkata jawatankuasa tersebut pertimbang data berkaitan secara bebas sebelum membuat saranannya.

Justeru, adalah tidak praktikal untuk EBRC memberi pelbagai alasan teknikal dan menjelaskan butiran setiap perubahan yang dicadangkannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg