Masyarakat penerbangan antarabangsa perlu terus bekerjasama rapat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat penerbangan antarabangsa perlu terus bekerjasama rapat

Jeffrey Siow gesa pertingkat keselamatan dan kecekapan, jelang Pertunjukan Udara Singapura 2026 berlangsung 3 - 8 Feb
Feb 2, 2026 | 7:00 PM

Masyarakat penerbangan antarabangsa perlu terus bekerjasama rapat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, Sidang Puncak Penerbangan Changi ketiga, menjelang Pertunjukan Udara Singapura 2026, masyarakat penerbangan antarabangsa perlu terus bekerjasama rapat
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, menyentuh kepentingan hab udara Singapura dalam ucapannya pada Sidang Puncak Penerbangan Changi ketiga pada 2 Februari. - Foto ZAOBAO

Masyarakat penerbangan antarabangsa perlu terus bekerjasama rapat bagi mempertingkat keselamatan dan kecekapan, terutama dalam dunia yang penuh ketidakpastian.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, menyatakan hal ini pada 2 Februari dalam Sidang Puncak Penerbangan Changi ketiga, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, menjelang Pertunjukan Udara Singapura 2026 dari 3 hingga 8 Februari.

Beliau berkata tema acara itu, ‘Bangkit Mengatasi Gangguan: Membina Ekosistem Penerbangan Masa Hadapan’ (Rising Above Disruption: Building the Aviation Ecosystem of Tomorrow), menggambarkan dengan tepat realiti masa kini, iaitu sebuah dunia yang semakin berpecah, bersaing, dan tidak menentu.

Menurut beliau, peningkatan sentimen nasionalisme menyebabkan sistem antarabangsa yang berasaskan peraturan menghadapi tekanan besar, dengan semakin banyak negara mengutamakan kepentingan sendiri.

“Namun sejarah penerbangan mengingatkan kita mengapa naluri ini mesti ditentang,” kata Encik Siow dalam sidang puncak pertamanya sebagai pemangku menteri pengangkutan.

“Penerbangan global tidak berkembang secara kebetulan. Ia berkembang kerana negara-negara bersetuju untuk mematuhi peraturan bersama, piawaian yang saling berkaitan dan prinsip masyarakat.”

Beralih kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyelia piawaian penerbangan global, Encik Siow berkata Singapura adalah penyokong teguh usaha agensi tersebut.

Beliau menekankan bagaimana ICAO telah membuka peluang kepada negara kecil seperti Singapura untuk maju, khususnya melalui penggubalan pelbagai prinsip, peraturan, dan piawaian penerbangan.

Contohnya ialah pengaturan perwakilan, di mana sesebuah negara membantu mengurus perkhidmatan navigasi udara bagi ruang udara dan wilayah maklumat penerbangan negara jiran.

Encik Siow menjelaskan bahawa lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Changi Singapura dan Lapangan Terbang Heathrow London tidak mungkin berfungsi tanpa pengaturan sedemikian, kerana ia memastikan ketibaan dan pelepasan pesawat diatur dengan selamat.

Topik lain yang disentuh beliau termasuk kepentingan hab udara Singapura dan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi.

Mengenai hab udara Singapura, beliau berkata ia adalah hal kewujudan, kerana penyertaan negara ini dalam ekonomi global bergantung kepada tahap keterhubungannya.

Sektor penerbangan juga menyumbang sekitar 5 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dan menyediakan pekerjaan kepada 60,000 orang.

Encik Siow berkata: “Namun yang lebih penting, hab udara ini membolehkan seluruh ekonomi kita berkembang – merangkumi sektor pembuatan, pelancongan, logistik dan perdagangan borong.”

Kini, Lapangan Terbang Changi menghubungkan 170 bandar di lima benua, dan menjelang pertengahan 2030-an, ia menyasarkan lebih daripada 200 sambungan bandar apabila T5 dibuka.

Terminal baru itu akan meningkatkan kapasiti penumpang tahunan lapangan terbang sebanyak lebih 55 peratus, daripada 90 juta pada masa ini kepada 140 juta.

Menurut unjuran ICAO, lalu lintas udara global dijangka meningkat hampir tiga kali ganda menjelang 2050, dengan rantau Asia-Pasifik dijangka memimpin pertumbuhan ini.

Oleh itu, pembinaan T5 akan membolehkan Singapura memanfaatkan pertumbuhan jangka panjang dalam perjalanan udara dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan global, kata Encik Siow.

Menutup ucapannya kepada kira-kira 400 hadirin itu, Encik Siow menegaskan bahawa kejayaan penerbangan moden bergantung kepada kerjasama antarabangsa, peraturan bersama serta komitmen bersama terhadap keselamatan, keterhubungan dan inovasi.

Beliau menambah: “Jika kita berjaya, generasi akan datang akan terus dapat menikmati manfaat dunia yang saling terhubung, sebagaimana yang kita nikmati hari ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg