Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jeffrey Siow mahu kurangkan masa perjalanan pengangkutan awam

Hasrat perkukuh rangkaian pengangkutan di estet perumahan HDB, terutama yang lebih jauh dari pusat bandar, seperti Tengah, Punggol
Jun 8, 2025 | 6:47 PM
Encik Jeffrey Siow, Encik Lee Hong Chuang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Dr Choo Pei Ling.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow (tiga dari kanan), menyertai penduduk di pelancaran acara Persatuan Rakyat (PA) Family PLAYGround 2025 di Kelab Masyarakat Tengah pada 8 Jun. Bersama beliau ialah (dari kanan) Encik Lee Hong Chuang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Dr Choo Pei Ling. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata beliau mahu memperkukuh rangkaian pengangkutan di bandar dan estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), terutama yang terletak lebih jauh dari bandar seperti Tengah dan Punggol.

Ini termasuk mengurangkan masa perjalanan apabila menaiki pengangkutan awam berbanding menaiki kereta privet.

Sebagai contoh, beliau ingin mengurangkan masa perjalanan antara Tengah dengan pusat bandar menggunakan pengangkutan awam kepada “satu atau dua kali ganda” masa yang diambil menggunakan kereta privet.

“Sasaran kami ialah mengurangkan masa perjalanan apabila menggunakan pengangkutan awam, kata Encik Siow.

“Buat masa ini, secara kasar, masa perjalanan dari Tengah ke pusat bandar dengan menaiki pengangkutan awam adalah sekitar dua tiga kali ganda berbanding masa yang diperlukan apabila menaiki kereta privet.

“Dengan peningkatan pengangkutan awam yang sedang diusahakan, kami berharap dapat mengurangkan masa yang diperlukan kepada satu dua kali ganda.... mungkin 1.5 ganda sahaja.

“Dengan cara itu, pengangkutan awam akan menjadi pilihan yang lebih menarik dan berkesan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian apabila bertemu media semasa menghadiri acara masyarakat di Kelab Masyarakat Tengah pada 8 Jun.

Encik Siow, yang juga Anggota Parlimen (AP) di GRC Chua Chu Kang, bertanggungjawab menjaga daerah perumahan Brickland yang termasuk dalam bandar Tengah.

Beliau berkata selalunya perjalanan ulang-alik dari stesen MRT – yang biasanya melibatkan berjalan kaki, menaiki bas ulang-alik atau kededuanya – menambah masa perjalanan menggunakan pengangkutan awam.

“Jika kita boleh cuba melakukan sedemikian dengan sedikit lebih baik, memperbaiki pengalaman berjalan kaki di bandar, memperbaiki densiti rangkaian bas, kita seharusnya boleh mengurangkan masa perjalanan dan menjadikan pengangkutan awam lebih kompetitif daripada pengangkutan privet,” kata beliau yang menambah pihaknya akan berbuat demikian di semua estet perumahan di Singapura yang terletak paling jauh dari pusat bandar.

“Itulah keutamaan saya,” kata beliau.

Ini kali pertama Encik Siow muncul di tempat awam sejak beliau menjadi Pemangku Menteri Pengangkutan pada 23 Mei.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Encik Chee Hong Tat, yang kini Menteri Pembangunan Negara.

Dalam pada itu, Encik Siow juga mengumumkan lapan perkhidmatan bas baru, termasuk laluan ekspres ke bandar dan perkhidmatan ulang-alik yang dipertingkat di bandar Tengah, yang akan diperkenalkan secara berperingkat sehingga 2026.

Ini termasuk dua laluan bas baru yang akan beroperasi menjelang akhir tahun 2025, untuk memenuhi keperluan penduduk di Tengah yang kian bertambah jumlahnya.

Lebih separuh daripada 30,000 unit perumahan awam di Tengah, yang merangkumi lima daerah perumahan – Plantation, Park, Garden, Brickland dan Forest Hill telah dilancar sehingga November 2024.

“... Terdapat kira-kira 12,000 unit kediaman di estet ini.

“Dalam masa terdekat kita akan melihat jumlah ini meningkat sehingga tiga hingga empat kali ganda dan akan menjadi sebesar kawasan Toa Payoh,” kata Encik Siow sambil menambah pihaknya akan terus mendekati penduduk untuk memastikan mereka dapat menjalani hidup dengan baik di kawasan itu.

Antara perkhidmatan bas baru di Tengah, iaitu 872, akan mula beroperasi pada 10 Ogos 2025.

Laluan tersebut menyediakan hubungan langsung dari Pusat Tukaran Bas Tengah ke Stesen MRT Chinese Garden dengan melalui Tengah Boulevard, Bukit Batok, Plantation Crescent dan Jurong Town Hall Road.

Ia akan berpatah balik ke Tengah dari Jurong East.

Perkhidmatan bas kedua pula akan bermula dari Brickland dan menghubungkan penduduk ke dua stesen MRT.

Butiran penuh akan diumumkan menjelang hujung tahun, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan (MOT).

Buat masa ini, penduduk di Tengah kurang pilihan pengangkutan awam mudah dari Pusat Tukaran Bas Tengah ke Jurong East dan stesen MRT Chinese Garden, antara stesen MRT terdekat dengan bandar itu.

Pilihan yang ada kebanyakannya melibatkan gabungan berjalan kaki dan bas atau MRT dan mengambil masa 30-50 minit perjalanan.

Selain dua perkhidmatan bas yang akan mula beroperasi pada hujung 2025, penduduk di Tengah dan Brickland juga boleh menantikan beberapa khidmat tambahan menjelang 2026.

Dua perkhidmatan ekspres ke bandar akan diadakan – laluan City Direct dari Brickland ke Kawasan Pusat Bandar (CBD), dan laluan yang akan dikendalikan pengendali swasta ke One-North, bagi memenuhi keperluan ramai penduduk yang bekerja di kawasan teknologi dan bioperubatan itu.

Selain itu, empat perkhidmatan ulang-alik ekspres juga akan menghubungkan penduduk ke stesen MRT Beauty World, Bukit Panjang, Bukit Batok dan Jurong East.

Penambahan ini bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan akses ke tempat kerja dan kemudahan harian, kata Encik Siow.

Laluan Daerah Jurong (JRL) yang dijangka siap antara 2027 dengan 2028 pula mempunyai enam stesen dalam GRC Chua Chu Kang, sekali gus memberi kemudahan MRT yang lebih dekat kepada penduduk Tengah dan Brickland, tambah beliau.

“Perkhidmatan bas masih belum matang, dan jalan-jalan masih dalam pembinaan.

“Penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menangani kekurangan ini,” kata Encik Siow.

Encik Siow membuat pengumuman tersebut semasa pelancaran acara Persatuan Rakyat (PA) Family PLAYGround 2025 di Kelab Masyarakat Tengah pada 8 Jun.

Turut hadir di acara tersebut ialah AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Dr Choo Pei Ling serta AP GRC Jurong East-Bukit Batok, Encik Lee Hong Chuang.

“Hadiah Hari Kebangsaan ini adalah untuk semua penduduk yang telah lama menunggu akses yang lebih baik ke stesen MRT,” kata Dr Choo Pei Ling, Penasihat GRC Chua Chu Kang (Tengah), yang menguruskan kawasan itu bersama Encik Siow.

Seorang penduduk yang kerap ke Kelab Masyarakat Tengah, Encik Amirul Ashraf Mohamed Gazali, 33 tahun memberitahu Berita Harian (BH) beliau kadang-kala terpaksa menunggu sehingga 15 minit untuk menaiki bas dari Bukit Batok Ave 5 ke kelab masyarakat tersebut. Perjalanan tersebut mengambil masa sekitar tujuh minit.

“Sementara ini terdapat hanya satu bas, 992 yang boleh membawa saya dan keluarga saya ke kawasan Tengah.

“Tetapi dengan khidmat bas tambahan yang baru, saya rasa ia akan memudahkan perjalanan kami ke sana” ujar Encik Amirul, seorang bapa dua anak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg