Ini bukan kali pertama beliau terlibat dalam Sesi Bertemu Penduduk (MPS). Bahkan selama setahun sebelum ini, setiap malam Isnin dihabiskan membantu di MPS.
Namun, kali ini agak berbeza bagi Anggota Parlimen bagi GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, yang menyifatkannya sebagai “level up”.
Ini kerana jika dahulu beliau yang menulis dan menyemak surat-surat yang akan ditandatangani AP, kini beliaulah AP tersebut yang perlu menandatangani surat-surat itu.
Berkongsi dengan Berita Harian, Cik Hazlina berkata beliau bukan sahaja terlibat dalam satu MPS, tetapi dua sesi di Siglap dan Fengshan pada 5 Mei lalu.
Sesi-sesi MPS itu berakhir setelah 11.30 malam dan beliau telah bertemu lebih 30 penduduk secara keseluruhannya.
Sebagai persediaan untuk MPS pertamanya, beliau telah mempelajari selok-belok daripada mantan AP GRC East Coast, Cik Cheryl Chan, dan Dr Mohd Maliki Osman, serta Cik Tin Pei Ling, yang kini merupakan AP GRC Marine Parade-Braddell Heights.
“Saya sudah terlibat dalam MPS lebih setahun, tapi pada waktu itu saya lakukannya di MacPherson di bawah bimbingan Tin Pei Ling yang merupakan mentor yang amat baik,” katanya.
“Ia merupakan pengalaman yang sama tetapi tidak serupa kerana saya sudah terbiasa melakukan MPS setiap Isnin selama setahun, tapi untuk menerajui MPS semestinya merupakan ‘level up’ kerana sekarang saya yang menandatangani semua surat-surat yang bererti saya juga harus membaca kesemua surat itu.”
Seorang lagi AP Melayu/Islam yang merupakan muka baru sejak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Dr Syed Harun Alhabsyi, juga telah mengadakan MPS pertamanya pada 5 Mei.
Beliau, yang merupakan AP bagi GRC Nee Soon, berkata antara persiapan yang telah dilakukannya termasuk mengikuti beberapa sesi MPS dengan AP-AP terdahulu.
“Kami mahu memulakannya (MPS) segera selepas GE supaya tidak banyak gangguan bagi penduduk yang mungkin mempunyai keperluan dan kebimbangan,” katanya.
Dr Syed Harun menambah bahawa isu-isu yang diketengahkan penduduk yang beliau temui adalah rencam.
“Sesetengah isu lebih kompleks dan mempunyai pelbagai aspek berbanding yang lain. Ia termasuk isu perbandaran, kebimbangan keluarga serta cabaran kerja dan perkara berkaitan perumahan.
“Saya mengambil serius setiap kebimbangan dan melakukan yang terbaik sebagai AP mereka untuk melihat bagaimana kami dapat memberi sokongan. Yang penting, ia juga kesempatan untuk saya membina ikatan dengan penduduk saya dan memahami realiti hidup mereka. Perbualan ini sangat bermakna bagi saya,” ujar beliau.
Beliau bertemu lebih 25 penduduk pada MPS yang diadakan pada 5 Mei itu. Namun, setelah sesi tersebut berakhir selepas 10 malam, Dr Syed Harun turut mendekati pasukan sukarelawan yang datang setiap minggu untuk menyokong tugas-tugas AP di sana.
Selain itu, AP yang tidak asing lagi dalam menjalankan MPS, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, mengadakan MPS pertama di GRC Punggol.
Beliau sebelum ini merupakan AP di GRC Chua Chu Kang.
Menurut laporan The Straits Times, Encik Gan berkata penduduk yang menemuinya membangkitkan isu-isu seperti sambungan telefon lemah di kawasan tertentu, yang akan ditangani pasukannya dengan kerjasama Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, memakai pelitup dan mengalami sakit tekak, yang disifatkannya berpunca daripada banyak penglibatan beliau sepanjang GE2025 yang baru selesai.
“Selepas kempen... saya terpaksa menghadiri beberapa mesyuarat tergempar, oleh itu saya telah bercakap sepanjang hari. Dan malam ini, saya bercakap sepanjang malam,” katanya.
Beliau mengakhiri sesi MPS hanya pada 11 malam, setelah bertemu sekitar 70 penduduk.
Di kawasan Brickland GRC Chua Chu Kang, Encik Jeffrey Siow memulakan MPS pertamanya 30 minit lebih awal dari waktu mula 8 malam kerana menjangkakan lebih ramai penduduk datang setelah MPS direhatkan sejak Writ Pilihan Raya dikeluarkan pada 15 April.
Sehingga 10 malam, Encik Siow menganggarkan beliau telah bertemu kira-kira 30 penduduk, yang membangkitkan isu daripada penjagaan warga emas kepada imigresen.
Antara mereka yang meminta bantuannya ialah seorang janda bukan warga Singapura dengan tiga anak warga Singapura yang meminta bantuan supaya pas kerjanya dilanjutkan bagi membolehkannya terus bekerja di sini.
Penduduk lain meminta bantuan dengan penjagaan warga emas.
Isu sebegini akan menjadi lebih berleluasa dengan penduduk Singapura yang semakin tua, dan beliau akan mengetengahkannya di Parlimen dalam peranan barunya sebagai AP, kata Encik Siow.
Di GRC East Coast, Encik Dinesh Vasu Dash memanfaatkan pengalamannya sebagai mantan ketua Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) untuk merujuk seorang penduduk ke pusat penuaan aktif. Wanita itu ingin membantu ibunya, warga senja yang sedang pulih daripada insiden terjatuh di rumah, kekal berhubung secara sosial.
“Di situlah saya fikir kita boleh cuba membantu, dengan menghubungkan (penduduk) kepada agensi yang betul untuk mendapatkan sokongan,” kata Encik Dinesh.
Di GRC Tampines pula, dua muka baru – Dr Charlene Chen dan Encik David Neo – dilihat di MPS Tampines East yang telah diterajui Dr Chen selama sekitar setahun.
Encik Baey Yam Keng, yang telah berkhidmat di Tampines sejak 2011, berkata Encik Neo, bekas ketua tentera, akan mengiringi beberapa anggota lain sebelum mungkin menerajui bahagian baru Tampines yang masih belum dipisahkan.
Kawasan pilihan raya itu mungkin melihat wad Tampines Boulevard baru yang kebanyakannya terdiri daripada estet HDB Bina-Ikut-Tempahan (BTO) baru di utara Tampines Avenue 9.
Encik Baey menambah bahawa penduduk boleh menjangkakan pengumuman mengenai wad baru itu dan lokasi MPS menjelang akhir Mei.
AP parti pembangkang, Parti Pekerja (WP), Encik Kenneth Tiong, yang telah menjadi sukarelawan di MPS parti itu sejak 2023 sebelum menyelaraskan MPS Serangoon mulai 2025, juga telah mengadakan MPS pada 5 Mei.
“MPS adalah asas kepada majoriti besar perkara dasar yang kami lakukan, jadi ia sentiasa baik untuk dilakukan,” kata Encik Tiong, yang berjumpa sekitar 10 penduduk dengan isu-isu yang terdiri daripada isu penipuan kepada isu perbandaran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg