Penutupan berjadual kadangkala diperlukan dan lebih selamat bagi pekerja melaksanakan tugasan rumit, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 29 Disember, menjelang penutupan sehari LRT Bukit Panjang (BPLRT) pada 25 Januari.
Ia dijadualkan supaya sistem dapat dipindahkan ke pusat kawalan operasi yang dinaik taraf, yang mengawasi operasi kereta api, keselamatan rangkaian dan kecekapan secara masa nyata.
Selepas melawat depoh BPLRT, Encik Siow dalam satu catatan Facebook pada 29 Disember, berkata tugasan kerja yang mengambil masa 10 malam, atau dua jam setiap malam, boleh disiapkan dalam satu penutupan penuh sehari.
Menurut Encik Siow, program pembaharuan BPLRT digelar pihak jurutera sebagai projek ‘brownfield’, yang melibatkan kerja menaik taraf sistem lama yang masih digunakan setiap hari.
Pelaksanaan kerja dalam projek sebegini “agak mencabar”, memandangkan pasukan perlu bekerja dalam ruang sempit, dengan susun atur tetap dan masa terhad, tambah Encik Siow.
Meskipun kerja naik taraf sebegini kurang ketara berbanding membina laluan baru, penyelenggaraan sistem sedia ada juga sama penting dan lazimnya lebih mencabar, kata Encik Siow.
Beliau turut menekankan bahawa BPLRT kini “berada pada keadaan yang jauh lebih baik”, dan mengiktiraf usaha berterusan pekerja pengangkutan sejak 2018. Ini kerana 88 peratus kerja pembaharuan ini telah disiapkan setakat November lalu.
Setakat 8 November, BPLRT beroperasi sepenuhnya menggunakan sistem isyarat kawalan kereta api berasaskan komunikasi baru, lapor The Straits Times (ST).
Selain itu, rangkaian kereta api itu telah diperbaharui sepenuhnya pada Oktober, dengan semua 19 kenderaan ringan generasi pertama diganti dengan kenderaan generasi ketiga.
Manakala, semua 13 kenderaan generasi kedua dinaik taraf supaya serasi dengan sistem isyarat baru.
Yang tinggal kini ialah kerja penggantian rel kuasa yang membekalkan elektrik kepada kereta api. Sekitar satu perlima kerja ini telah dilaksanakan, dan dijangka siap pada suku keempat 2026.
Encik Siow menambah bahawa program pembaharuan BPLRT “bukan kerja mudah”, memandangkan sistem utama – seperti isyarat, rel kuasa, kereta api dan pusat kawalan operasi – perlu diganti sambil laluan rel terus beroperasi setiap hari.
Kebanyakan kerja hanya boleh dilakukan dalam masa sangat singkat, sekitar dua jam setiap malam selepas khidmat kereta api berakhir, kata Encik Siow.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada 26 Disember bahawa BPLRT akan ditutup sepenuhnya pada 25 Januari 2026 bagi memudahkan pemindahan sistem ke pusat kawalan operasi yang dinaik taraf.
Penumpang masih boleh meneruskan perjalanan mereka dengan menggunakan khidmat bas sedia ada atau menaiki LRT ulang-alik – yang beroperasi mengikut arah Perkhidmatan B BPLRT dari Choa Chu Kang ke Bukit Panjang melalui Petir, setiap lima hingga 15 minit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg