Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jeffrey Siow: Penutupan lebih lama laluan MRT dirancang bagi kerja pembaikan

Usaha bagi tangani rangkaian kian berusia demi keandalan rel
Nov 19, 2025 | 5:45 PM
Jeffrey Siow, MRT, early closure, penutupan MRT
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata usaha untuk mengurangkan waktu perkhidmatan dengan penutupan awal dan pembukaan lewat stesen MRT tidak lagi mencukupi. - Foto ST

Pengguna khidmat kereta api di Singapura boleh menjangkakan lebih banyak penutupan MRT yang akan dijadual dengan tempoh lebih panjang bagi membolehkan kerja naik taraf utama dijalankan pada laluan MRT.

Ini bagi membolehkan kerja pembaikan disiapkan dengan lebih cepat dan selamat, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 19 November.

Beliau memberi contoh penutupan MRT selama 10 hari pada beberapa bahagian Laluan Timur-Barat (EWL) pada hujung November.

Bercakap kepada lebih 700 pakar rel sedunia di Sidang Kemuncak Pengendali Metro Antarabangsa pertama anjuran SBS Transit, Encik Siow berkata, usaha memendekkan waktu operasi dengan penutupan awal dan pembukaan lewat stesen tidak lagi mencukupi untuk meningkatkan waktu penyelenggaraan.

“Apabila rangkaian kita berusia, kita perlu meluangkan masa untuk naik taraf berskala besar yang memerlukan tempoh masa penyelenggaraan berterusan,” katanya di Pusat Konvensyen dan Expo Sands.

Beliau turut menggariskan dua cabaran lain dalam mengekalkan keandalan rel, iaitu kadar penerimaan teknologi baru yang rendah, dan kekurangan tenaga muda dalam sektor ini.

Mengumpamakan sistem metro sebagai gabungan rumah, kereta dan komputer, Encik Siow berkata ada orang yang mungkin memiliki rumah atau kereta berusia 40 tahun, tetapi tiada yang menggunakan komputer setua itu, apatah lagi sistem kereta api berusia 100 tahun seperti Tube di London.

Menurutnya, menjaga sistem sebegitu sangat sukar dan memerlukan pembaikan berterusan.

“Sistem metro sangat rumit, dan terdiri daripada banyak bahagian yang saling berkait,” katanya.

Di Singapura, kerja penyelenggaraan sistem MRT hanya dijalankan dalam tempoh tiga setengah jam setelah perkhidmatan berakhir setiap malam.

Jika diambil kira masa yang digunakan untuk menggerakkan serta mengeluarkan peralatan penyelenggaraan berat, masa yang tinggal untuk kerja kejuruteraan setiap malam hanya sekitar dua jam.

Tempoh itu hampir tidak memadai untuk menyediakan sistem bagi operasi keesokan pagi, apatah lagi tidak mencukupi untuk kerja naik taraf besar yang memerlukan tempoh berterusan.

Pada 18 November, panel pakar rel antarabangsa mengusulkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menjalankan waktu penutupan lebih panjang pada bahagian rangkaian rel tertentu bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dan pembaharuan kritikal dilaksanakan dengan selamat dan cekap.

Melaksanakan pembaharuan pada beberapa sistem serentak sambil mengurus perkhidmatan harian adalah mencabar, kata panel tersebut.

Dari 29 November hingga 8 Disember, perkhidmatan EWL tidak akan beroperasi antara Bedok dengan Tampines, serta antara Tanah Merah dengan Expo.

Menurut laporan The Straits Times (ST), ia merupakan pusingan kedua pelarasan perkhidmatan dibuat untuk kerja trek.

Mengenai jurang teknologi, Encik Siow berkata sistem metro bermula dengan teknologi terkini tetapi menjadi usang dengan cepat, malah sukar untuk menaik taraf sistem lama.

Lebih banyak usaha diperlukan termasuk penggunaan automasi dan robotik untuk kerja penyelenggaraan.

Terdapat sekitar 8,000 pekerja rel di sini, dengan umur median melepasi 40 tahun.

Encik Siow berkata semakin sukar menarik pekerja muda menggantikan tenaga kerja teknikal sedia ada kerana tanggapan pekerjaan itu ‘kotor, berbahaya dan sukar’, selain persaingan dengan sektor lain untuk kemahiran teknikal.

Jika tidak cukup jurutera muda, kekurangan tenaga kerja akan bertambah teruk apabila teknisyen kanan bersara, katanya.

Sebuah akademi pengangkutan negara baru telah ditubuhkan yang diterajui mantan Timbalan Ketua Eksekutif LTA, Encik Jeremy Yap, bagi mengumpulkan kepakaran dari akademi latihan rel, bas dan lain-lain, katanya.

Walaupun sistem MRT Singapura masih dianggap muda dengan usia 40 tahun, ia semakin berdepan dengan isu sistem metro yang lebih tua khususnya dalam mengekalkan mutu dan keandalan.

“Tetapi, jika kita peka tentang jurang ini, kita boleh menantikan perjalanan yang lebih lancar,” katanya, sambil menekankan perlunya kerjasama antara syarikat pengendali, kesatuan pekerja dengan LTA.

Encik Siow turut memohon pemahaman orang ramai bahawa “walaupun dengan usaha terbaik, gangguan dan kelewatan tetap boleh berlaku seperti yang berlaku di seluruh dunia”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg