Topik diikuti
Pergi ke BHkuJeffrey Siow: Rebat cukai, geran tunai beri sokongan luas bantu niaga hadapi tekanan kos
Jeffrey Siow: Rebat cukai, geran tunai beri sokongan luas bantu niaga hadapi tekanan kos
Jeffrey Siow: Rebat cukai, geran tunai beri sokongan luas bantu niaga hadapi tekanan kos
Rebat cukai dan geran tunai bertujuan menyediakan sokongan kepada semua perniagaan yang menghadapi tekanan kos jangka pendek, seperti yang timbul daripada konflik Timur Tengah yang berlaku baru-baru ini.
Demikian dinyatakan Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan (Cukai Pendapatan) di Parlimen pada 6 Oktober.
Rang undang-undang itu, yang diluluskan Parlimen, menguatkuasakan langkah-langkah cukai yang diumumkan semasa Belanjawan 2026 dan semasa sidang Parlimen pada April untuk membantu perniagaan menangani tekanan kos dan melabur dalam kecerdasan buatan (AI).
Semasa Belanjawan 2026, pemerintah mengumumkan rebat cukai 40 peratus, dengan geran tunai $1,500 bagi syarikat yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tempatan pada 2025, dihadkan pada $30,000.
Di sidang Parlimen pada April pula, ia diumumkan rebat cukai itu akan dinaikkan kepada 50 peratus dan geran tunai dinaikkan kepada $2,000 untuk membantu SME tangani tekanan kos yang timbul daripada konflik di Timur Tengah, dengan hadnya juga ditingkatkan kepada $40,000.
Selain itu, rang undang-undang itu memperkenalkan pindaan untuk mematuhi peraturan cukai minimum global Tonggak Kedua terkini, dan juga perubahan untuk memudahkan pemfailan cukai bagi pembayar cukai.
Encik Siow berkata terdapat pandangan yang berbeza mengenai cadangan rebat cukai pendapatan syarikat dan geran tunai untuk SME yang diperuntukkan di bawah rang undang-undang tersebut.
Antaranya, Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) daripada Parti Pekerja (WP) telah bertanyakan sama ada geran tunai $2,000 itu mencukupi untuk SME, manakala Encik Shawn Loh (GRC Jalan Besar) pula menyarankan agar rebat cukai dihadkan kepada syarikat yang mengaut keuntungan sahaja.
Encik Siow berkata:
“Rebat cukai dan geran tunai itu bertujuan menyediakan sokongan responsif dan luas kepada semua perniagaan yang menghadapi tekanan kos jangka pendek, seperti yang timbul daripada keadaan Timur Tengah baru-baru ini.
“Geran tunai juga hanya merupakan salah satu daripada pelbagai langkah untuk menyokong syarikat kecil dan sederhana (SME) dari segi aliran tunai, dan harus dilihat dalam konteks ini dan bukannya dinilai secara berasingan.”
Encik Siow turut menjawab soalan AP mengenai tuntutan perbelanjaan AI di bawah Skim Inovasi Perusahaan yang dipertingkat.
Semasa Belanjawan 2026, ia diumumkan bahawa skim itu diperluaskan untuk merangkumkan perbelanjaan AI sebagai kegiatan yang layak untuk syarikat menerima potongan cukai bagi tahun penilaian 2027 dan 2028, dihadkan pada $50,000 setahun.
Antaranya, Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) telah bertanya bagaimana pihak berkuasa cukai akan mendefinisikan perbelanjaan AI, selain sama ada pilihan untuk menukarkan perbelanjaan AI yang layak menjadi bayaran tunai yang tidak dikenakan cukai boleh disediakan.
Membalas, Encik Siow berkata terdapat pilihan pembayaran tunai bagi kegiatan sedia ada yang layak di bawah skim itu, yang boleh dipilih oleh perniagaan sebagai ganti potongan cukai.
Walau bagaimanapun, kegiatan tersebut dikawal dengan lebih ketat bagi mengurangkan tuntutan yang tidak berasas atau palsu.
“Sebagai contoh, tuntutan bagi latihan hanya boleh dibuat untuk kursus yang pra-diluluskan yang sejajar dengan Rangka Kerja Kemahiran (Skills Framework). Tuntutan untuk projek inovasi pula mesti disahkan oleh politeknik, ITE, atau rakan kongsi bertauliah yang terpilih.
“Namun, bagi aktiviti AI, kami mahu memberikan lebih fleksibiliti pada peringkat awal dan membolehkan perniagaan membuat tuntutan untuk perbelanjaan yang lebih luas tanpa memerlukan pra-kelulusan,” kata beliau.