Topik diikuti
Pergi ke BHkuJeffrey Siow: Selat Melaka, S’pura bukti kejayaan boleh dicapai menerusi kerjasama
Selat Melaka dan Selat Singapura adalah contoh cemerlang berhubung pencapaian yang mampu diraih apabila negara-negara komited untuk bekerjasama demi manfaat bersama, kata Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 24 Ogos.
Selama lebih separuh abad, Indonesia, Malaysia dan Singapura telah bekerjasama bagi memastikan keselamatan laluan perairan berkenaan, meskipun di kawasan yang sempadannya masih belum diselesaikan.
Meskipun ketiga-tiga negara tidak sentiasa sependapat, mereka berjaya menangani perbezaan tersebut daripada menghalang kerjasama yang terjalin, tambah Encik Siow.
Kepentingan bersama dalam memastikan laluan perairan kekal selamat, terjamin dan terbuka itu bukan sahaja memberi manfaat kepada ketiga-tiga negara, malah kepada kapal dan negara luar yang bergantung pada selat berkenaan untuk mengangkut barangan ke seluruh dunia, jelas Encik Siow.
Selat Melaka dan Selat Singapura merupakan antara laluan perairan paling sibuk di dunia yang mengendalikan hampir satu perempat daripada perdagangan laut global.
Encik Siow berkata demikian di Bangunan Perpustakaan Negara sewaktu pelancaran buku bertajuk ‘The Straits Of Malacca And Singapore: A Model For The World’ (Selat Melaka dan Singapura: Contoh bagi Dunia).
Buku tersebut disunting oleh diplomat veteran, Profesor Tommy Koh, bersama tiga pakar maritim terkemuka.
Ini termasuk, Pengarah Pusat Undang-Undang Antarabangsa (CIL) Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Nilufer Oral; Profesor Emeritus Undang-Undang NUS dan Penasihat Kanan Program Undang-Undang dan Dasar Laut CIL, Profesor Robert Beckman; dan Ketua Bersama program berkenaan, Dr Tara Davenport.
Dalam ucapannya, Encik Siow berkata kerjasama itu dimeterai secara rasmi pada 2007 menerusi penubuhan Mekanisme Kerjasama.
Mekanisme tersebut menyediakan wadah bagi negara pesisir, negara pengguna dan rakan industri untuk merangka penyelesaian bagi meningkatkan keselamatan pelayaran serta perlindungan alam sekitar.
Beliau berkata: “Satu-satunya jaminan bahawa selat ini akan kekal terbuka, selamat dan terjamin terletak pada tekad serta usaha setiap generasi pemimpin.”
Buku itu disasarkan bagi semua lapisan pembaca, daripada peguam, diplomat dan penggubal dasar hingga pelaut serta rakyat Singapura secara umumnya.
Ia mendapatkan pandangan daripada pelbagai pakar dalam bidang seperti undang-undang, diplomasi, penggubalan dasar dan sektor marin.
Buku terbitan World Scientific Publishing tersebut dijual pada harga $27 (kulit lembut) atau $45 (kulit keras) dan boleh didapati di semua kedai buku utama serta secara dalam talian.
Ketika ditemui The Straits Times (ST) di luar majlis berkenaan, Profesor Koh berkata buku itu menunjukkan bahawa Selat Melaka dan Selat Singapura merupakan contoh bagi dunia.
Ini kerana ketiga-tiga negara jiran berkenaan bukan hanya menguruskan laluan perairan itu secara erat bersama-sama, malah bekerjasama dengan negara-negara yang menggunakannya.
“Kami adalah satu-satunya selat di dunia yang mempunyai sesuatu yang dipanggil Mekanisme Kerjasama,” katanya.
Beliau berkata ini merupakan keistimewaan utama Selat Melaka dan Selat Singapura.
Indonesia, Malaysia dan Singapura cukup yakin dengan kedaulatan masing-masing sehingga terbuka untuk memberi negara pengguna utama seperti China, Jepun dan Korea Selatan kepentingan dalam laluan perairan tersebut.
Kepentingan itu diperoleh menerusi Mekanisme Kerjasama, di mana negara-negara pengguna mengambil bahagian dalam satu forum serta menyumbang dana secara sukarela bagi bantuan pelayaran, kajian dan projek-projek lain.
“Jadi, ia memberi keuntungan kepada semua pihak,” kata Profesor Koh.
Ketiga-tiga negara pesisir berkenaan merupakan anggota Asean, dan perkara itu turut membantu mengekalkan kerjasama serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan negara-negara tersebut, tambah beliau.
