Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Asean harus terus dekati AS secara bersama

Perlu perkukuh penyepaduan, hapuskan tarif penuh bawah Kawasan Perdagangan Bebas Asean
May 26, 2025 | 8:46 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Sidang Puncak Asean ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Malaysia pada 26 Mei.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Sidang Puncak Asean ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Malaysia pada 26 Mei. - Foto ZAOBAO

Asean harus terus mendekati Amerika Syarikat secara membina bukan sahaja sebagai negara individu, malah secara bersama sebagai sebuah perkumpulan serantau dalam menangani persekitaran baru yang lebih mencabar dek cabaran perdagangan dan tarif oleh Amerika, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong menambah bahawa Asean juga perlu memperkukuh usaha penyepaduannya, dengan lebih banyak usaha perlu dilakukan, termasuk menghapuskan tarif sepenuhnya di bawah Kawasan Perdagangan Bebas Asean.

“Mengenai perdagangan dan tarif Amerika, isunya bukan hanya mengenai tarif, namun penghakisan kerjasama berbilang hala dan langkah ke arah lebih banyak perjanjian transaksi dan dua hala, yang malangnya sering kali menjadi keadaan di mana negara lebih berkuasa adalah betul.

“Dalam persekitaran sedemikian, ia akan menjadi lebih sukar dan mencabar bagi mana-mana negara,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap di sesi rahat Sidang Puncak Asean ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Malaysia pada 26 Mei.

Ia menyaksikan pemimpin dari 10 negara Asean bertemu di tengah-tengah ketidaktentuan dasar perdagangan dan tarif Amerika yang menjejas prospek sejagat.

Encik Wong mengetengahkan beberapa cara Asean boleh memperluaskan penyepaduan ekonomi, termasuk menyasarkan penghapusan tarif di bawah Kawasan Perdagangan Bebas Asean.

“Contohnya, kita mengatakan Kawasan Perdagangan Bebas Asean hampir bebas tarif, ... Tetapi mengapa kita tidak boleh 100 peratus bebas tarif?

“Selain daripada menghapuskan tarif, kita tahu bahawa halangan bukan tarif masih wujud. Sebagai contoh, keperluan pelesenan import dan prosedur kastam yang rumit mengakibatkan halangan kepada lebih banyak perdagangan dalam Asean.

“Selain berdagang barangan, kita juga harus mempercepat perdagangan dalam perkhidmatan. Ini juga merupakan bahagian penting dalam ekonomi, dan kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk memudahkan perkara ini,” kata beliau.

Encik Wong turut menekankan Asean harus memastikan perjanjian yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan dalam cara yang tepat pada masanya, sambil berkata terdapat 24 perjanjian ekonomi yang masih belum dilaksanakan meskipun ada yang dipersetujui seawal 2015.

Menurutnya, Asean boleh berganding bahu dalam bidang baru, seperti ekonomi digital dan Grid Kuasa Asean, yang menjadi satu bidang keutamaan.

Masih terdapat beberapa ciri utama yang perlu dilaksanakan bagi Grid Kuasa itu, termasuk rangka kerja yang betul bagi kabel bawah laut di Asean, tambah beliau.

Encik Wong berkata Asean juga telah memperkukuh kerjasama dengan ekonomi lain dengan mempertingkat Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama pelbagai negara rakan.

“Kami akan terus melakukan demikian, dan kita juga boleh memperkukuh hubungan kita dengan kumpulan ekonomi serantau lain,” kata beliau.

Ia seperti Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) dan Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP).

Beliau menambah bahawa Asean juga boleh mendekati rakan lain, sambil berkata bahawa Kesatuan Eropah dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) adalah dua rakan strategik yang penting.

“Dan jika bersama-sama, kita boleh menegakkan sistem perdagangan berasaskan peraturan, yang akan membolehkan kita memperkukuh kerjasama berbilang hala dan menjadikan asas ekonomi keseluruhan kita lebih kukuh dan berdaya tahan,” kata beliau.

Dalam ucapannya itu, Encik Wong turut menyentuh tentang isu Myanmar, dengan Singapura terus bersedia menambah sokongan kemanusiaan Asean untuk negara itu dan menyertai negara lain dalam menyeru agar gencatan senjata dilanjutkan, sekali gus menjadi penyelesaian politik jangka panjang.

Meskipun kemajuan dalam mencari jalan ke hadapan untuk Myanmar adalah perlahan, beliau berkata Asean harus terus mendekati Myanmar.

Pada masa yang sama, blok serantau itu juga harus terus menegakkan Konsensus Lima Perkara, iaitu pelan perdamaian dengan tentera Myanmar untuk menghuraikan krisis, dan keputusan pemimpin Asean mengenai Myanmar.

Ini termasuk perwakilan bukan politik Myanmar di Sidang Puncak dan Mesyuarat Menteri-Menteri Ehwal Luar.

“Ini penting untuk kredibiliti Asean, terutama dengan rakan kongsi luar kita. Secara keseluruhannya, Asean memang menghadapi banyak cabaran yang menggerunkan.

“Tetapi, kita mempunyai pengalaman hampir 60 tahun dalam bertindak balas dan mengatasi krisis. Saya yakin kita boleh melakukannya sekali lagi,” kata Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg