Indonesia, Malaysia dan Singapura sekali lagi menegaskan komitmen bersama untuk mengekalkan Selat Melaka dan Selat Singapura agar bebas, terbuka dan selamat untuk perkapalan antarabangsa.

Ketiga-tiga negara pesisir itu mengulangi ikrar mereka itu di Forum Kerjasama ke-17 pada 25 Ogos dan mengeluarkan kenyataan media bersama.

Semasa menyampaikan ucapan pembukaannya di majlis itu, Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata:

“Di rantau kita ini, kami akan berusaha untuk mengekalkan Selat Melaka dan Selat Singapura (agar) bebas, terbuka dan selamat untuk perkapalan antarabangsa.”

Lebih 100,000 kapal yang membawa hampir satu perempat daripada perdagangan maritim sejagat melalui laluan air itu setiap tahun, dan hampir satu pertiga daripada bekalan minyak dan gas dunia mengalir melaluinya.

Namun begitu, laluan laut yang terbuka tidak boleh dianggap remeh, jelasnya.

Beliau memetik contoh bagaimana laluan trafik di Selat Hormuz susut kurang daripada satu persepuluh berbanding paras sebelum konflik.

Di samping itu, kapal terus menjadi sasaran berikutan serangan tentera Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran yang bermula pada Februari.

“Pada masa konflik geostrategik dan persaingan ekonomi di seluruh dunia semakin meningkat, pengalaman kami di (Selat Melaka dan Selat Singapura) menunjukkan bahawa terdapat cara lain yang boleh dilakukan,” ujar Encik Siow.

Indonesia, Malaysia dan Singapura turut menegaskan semula peranan penting yang dimainkan oleh negara pengguna, pertubuhan antarabangsa, industri maritim dan pihak berkepentingan lain di Selat Melaka dan Selat Singapura dalam menyumbang kepada keselamatan pengemudian dan perlindungan alam sekitar di selat tersebut.

Di forum yang berlangsung pada 25 Ogos itu – yang dihadiri oleh peserta dari lebih 125 negara dan pertubuhan di Singapura – negara-negara pesisir dan pihak berkepentingan membincangkan cadangan termasuk pengenalan teknologi baharu dan bahan api alternatif secara selamat di selat tersebut.

Mereka juga akan mengkaji semula projek teknikal yang sedang dijalankan untuk mempertingkatkan keselamatan semasa mengemudi.

Melalui mekanisme kerjasama itu, negara-negara akan bertindak bersama untuk menjangka risiko lebih awal, menaik taraf prasarana secara berkala, dan bertindak balas terhadap sebarang kejadian.