Usulan Parti Pekerja (WP) tidak menunjukkan sebarang idea besar hebat yang boleh menggantikan Semakan Strategi Ekonomi (ESR), tetapi sebenarnya, ia dibina berdasarkan apa yang telah disyorkan oleh ESR, kata Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow.

Bercakap di Parlimen di akhir perbahasan mengenai usulan yang difailkan oleh WP pada 5 Ogos, Encik Siow, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata WP hanya “mengisi kekosongan daripada apa yang telah ditetapkan oleh ESR”.

“Tanpa pengganti atau idea besar untuk kita bandingkan... saya berani mengatakan bahawa banyak perkara yang kita bincangkan hari ini menuju ke arah matlamat yang sama,” kata Encik Siow.

“(Usulan WP) bergerak ke arah objektif yang sama... mungkin ada perbezaan dari segi butiran, perbezaan dalam beberapa parameter tetapi kita semua cuba mencapai perkara yang sama.

“Paling penting, kita berada dalam dunia yang sangat sukar di mana persaingan luar menjadi lebih sengit.

“Saya fikir adalah lebih baik bagi kita untuk melihat sama ada kita boleh mencari persamaan, bidang di mana kita sejajar, bidang di mana Dewan ini boleh berikan kepada rakyat Singapura,” tambah beliau.

Pada 5 Ogos, WP telah membentangkan usulnya bertajuk ‘Ekonomi Masa Depan Yang Memanfaatkan Semua’, yang menetapkan visinya untuk ekonomi Singapura serta responsnya terhadap rancangan ekonomi pemerintah.

Di awal perbahasan, Anggota Parlimen (AP), Encik Edward Chia (GRC Holland-Bukit Timah), telah mencadangkan empat perubahan kepada usulan tersebut, yang kemudiannya diluluskan di Parlimen selepas hampir sembilan jam perbahasan, menyaksikan 24 AP dan menteri berucap mengenai isu tersebut.

Semasa ucapan penutupnya, Encik Siow berkata beliau menyokong sepenuhnya pindaan kepada usul tersebut seperti yang dicadangkan oleh Encik Chia kerana ia mencerminkan strategi ekonomi Singapura yang holistik dan tepat.

Kesemua 12 AP WP dalam Dewan menolak usul yang dipinda dan merekodkan bantahan mereka selepas parti itu tidak bersetuju dengan satu daripada empat perubahan yang dicadangkan oleh Encik Chia kepada usul asal.

Encik Chia telah mengemukakan empat perubahan kepada usulan asal WP tersebut, iaitu menggantikan perkataan nothwithstanding atau “walau apa pun” dengan “selaras dengan” dalam ayat:

“Bahawa Dewan ini, walau apa pun cadangan dalam Semakan Strategi Ekonomi mengenai ekonomi Singapura masa depan”.

Beliau juga menggantikan frasa “dalam jentera ekonomi oleh syarikat setempat dinamik, permintaan domestik sihat dan warga Singapura dan modal warga Singapura untuk ke luar negara” dengan frasa “dalam ekonomi yang dikuasakan oleh syarikat setempat dinamik, syarikat global, permintaan domestik dan luaran sihat dengan warga Singapura dan modal warga Singapura untuk ke luar negara”.

WP telah menolak pindaan pertama berhubung perkataan “walau apa pun”.

Dalam jawapannya, Encik Tiong berkata pindaan itu bukan sekadar membuang satu perkataan, malah ia mengubah ayat asalnya.

“Usul kami mengatakan Dewan ini percaya pada perkara-perkara ini, pindaan itu mengatakan perkara-perkara ini akan berlaku selepas menerima pakai semakan semula.

“Sekarang, pindaan kami mengikat Dewan sepenuhnya, tetapi pindaan ini mengikatnya kepada satu dokumen,” kata Encik Tiong, sambil menyatakan bahawa WP menerima perubahan lain yang dicadangkan oleh Encik Chia.

Semasa perbahasan itu, kedua-dua pihak di Dewan itu berkata terdapat banyak persamaan dalam pendekatan luas mereka tentang bagaimana ekonomi Singapura harus berubah.

Walau bagaimanapun, AP dan menteri Parti Tindakan Rakyat (PAP) sepanjang perbahasan itu menyifatkan cadangan WP sebagai “berpaling ke dalam” daripada ekonomi global dan syarikat berbilang negara (MNC) kepada memberi lebih tumpuan kepada syarikat kecil dan sederhana (SME).

“Kami tidak memilih antara SME dengan MNC. Kami memerlukan kedua-duanya.

“Kami tidak memilih antara permintaan domestik dengan pasaran luaran, kami memerlukan kedua-duanya.

“Dan inilah sebabnya saya menyokong sepenuhnya pindaan kepada usul seperti yang dicadangkan oleh Encik Chia,” kata Encik Siow.

“Tanpa pengganti atau idea besar untuk kita bandingkan... saya berani mengatakan bahawa banyak perkara yang kita bincangkan hari ini menuju ke arah matlamat yang sama. (Usulan WP) bergerak ke arah objektif yang sama... mungkin ada perbezaan dari segi butiran, perbezaan dalam beberapa parameter tetapi kita semua cuba mencapai perkara yang sama.”
Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow.