Seorang guru wanita yang sudah berkahwin didapati bersalah melakukan kesalahan seks terhadap salah seorang pelajarnya, iaitu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah pusat karaoke dan bistro, sekolah mereka serta di dalam bas awam.

Pada 5 Oktober, wanita berusia 35 tahun yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun itu dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.

Wanita berkenaan melakukan perbuatan itu dari 13 Oktober hingga 21 November 2023. 

Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap remaja bawah umur dan satu tuduhan penetrasi seksual.

Tujuh lagi tuduhan, termasuk satu tuduhan saling bertukar sekurang-kurangnya tiga rakaman audio berunsur seks, turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Butiran lanjut mengenai wanita serta sekolah berkenaan tidak boleh didedahkan berikutan perintah sekatan untuk melindungi identiti mangsa.

Menurut dokumen mahkamah, pelajar menengah tiga itu mempunyai sejarah masalah keluarga dan berdepan pelbagai masalah kesihatan mental.

Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS) turut pernah campur tangan berikutan tindakan ibu bapa remaja berkenaan yang menggunakan hukuman fizikal secara keras ke atasnya.

Sekitar tempoh kesalahan itu berlaku, remaja berkenaan pernah dimasukkan ke Institut Kesihatan Mental (IMH) dari 27 Oktober hingga 3 November 2023 akibat perbuatan mencederakan diri serta mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Selene Yap dan Yeo Kee Hwan dalam dokumen mahkamah menyatakan bahawa pesalah merupakan guru bagi salah satu mata pelajaran remaja berkenaan pada 2023.

Pada April 2023, remaja itu mendekati pesalah untuk mendapatkan sokongan dan nasihat berhubung masalah di rumah, serta kerap menghantar mesej bagi berkongsi masalah yang dihadapi.

Hubungan mereka menjadi semakin rapat sehingga menjalin apa yang disifatkan mangsa sebagai situationship, atau hubungan tanpa status rasmi, sebelum terlibat dalam siri salah laku seksual.

Mereka juga bertukar sekurang-kurangnya tiga rakaman audio berunsur seks.

Sekitar 1 tengah hari pada 13 Oktober 2023, guru dan pelajar itu pergi ke sebuah bilik di premis karaoke dan bistro sebelum melakukan salah laku seksual pertama mereka.

Pada hujung minggu berkenaan, wanita itu memberitahu mangsa bahawa mereka perlu menghentikan perkara tersebut.

Remaja itu bersetuju, dan mereka memutuskan untuk bertemu selepas dia selesai menduduki salah satu kertas peperiksaannya.

Namun pada 16 Oktober 2023, sekitar waktu tengah hari di sekolah, mereka masuk ke sebuah tandas kakitangan dengan kubikel tunggal dan melakukan perbuatan seks.

Pada 7 November 2023, mereka menaiki sebuah bas awam dua tingkat dan wanita berkenaan melakukan perbuatan seksual ke atas remaja itu di tingkat atas bas.

Hubungan terakhir mereka berlaku di sebuah bilik di kemudahan chill out (tempat lepak) pada 21 November 2023, di mana remaja terbabit melakukan penetrasi seksual terhadap wanita berkenaan.

DPP berkata hubungan pasangan itu kemudian menjadi renggang atas sebab-sebab yang tidak didedahkan.

Pada 16 Januari 2024, remaja itu memberitahu ‘orang dewasa yang dipercayai’ yang dilantik oleh CPS – yang juga merupakan Ketua Tahun di sekolah berkenaan – bahawa guru terbabit telah melakukan serangan seksual terhadapnya.

Perkara itu dirujuk kepada naib pengetua sekolah yang kemudian membawa remaja berkenaan ke balai polis pada keesokan harinya untuk membuat laporan.

Guru itu ditangkap pada 18 Januari 2024.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti