Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jel bagi anggota sindiket curi jam mewah, wang dari penumpang SIA kelas perniagaan

Dec 26, 2025 | 4:17 PM
Warga China, Liu Ming, 26 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 20 bulan pada 23 Disember kerana kesalahan mencuri.
Warga China, Liu Ming, 26 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 20 bulan pada 23 Disember kerana kesalahan mencuri. - Foto fail

Seorang anggota sindiket yang mencuri daripada seorang penumpang kelas perniagaan dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) dijatuhi hukuman penjara selama 20 bulan pada 23 Disember.

Warga China, Liu Ming, 26 tahun, disabitkan dengan satu pertuduhan mencuri.

Dia menaiki penerbangan yang berlepas dari Dubai pada 7 Ogos dan mendarat di Singapura pada 8 Ogos.

Liu duduk di kelas perniagaan, dengan pembiayaan sebuah organisasi jenayah.

Pada sekitar 2 pagi, 8 Ogos, ketika lampu kabin dimalapkan, Liu meninggalkan tempat duduknya dan berjalan lima baris ke depan.

Dia membuka ruang simpanan di bahagian atas milik seorang penumpang yang sedang tidur.

Dia mengambil beg lelaki itu yang mengandungi wang tunai dan barangan bernilai lebih $100,000, lalu membawa barangan tersebut ke tempat duduknya.

Beg itu mengandungi sebuah jam tangan mewah Audemars Piguet bernilai lebih $51,000; sebuah jam tangan Chopard bernilai lebih $35,000; serta wang tunai AS$8,200 ($10,500).

Isteri mangsa terjaga dan menyedari kejadian kecurian itu. Beliau bersemuka dengan Liu sebelum memaklumkan kru kabin.

Liu mendakwa dia telah tersilap dan berada dalam keadaan keliru.

Dia ditahan sebaik pesawat mendarat di Singapura, dan tidak memberikan kerjasama semasa siasatan.

Siasatan lanjut mendapati Liu menaiki penerbangan itu hanya untuk mencuri barangan berharga daripada penumpang kelas perniagaan – yang merupakan taktik sebuah sindiket.

Bagi kesalahan mencuri, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda.

Sindiket sebegini lazimnya menyasarkan mangsa ketika penerbangan dalam pesawat Singapura, dengan mencuri wang tunai dan barangan berharga daripada beg yang diletakkan di ruang simpanan di bahagian atas. 

Mereka sering beroperasi secara berpasangan.

Kes kecurian di dalam pesawat merupakan masalah sejagat yang semakin meruncing, dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) menyuarakan kebimbangan pada awal 2025 selepas anggotanya melaporkan peningkatan kes kecurian semasa penerbangan. 

Banyak laluan yang terjejas dengan sindiket ini berada di Asia, dengan Hong Kong antara paling teruk terjejas.

Hong Kong mencatatkan 169 kes melibatkan barangan berharga bernilai HK$4.32 juta ($700,000) dalam tempoh 10 bulan pertama 2024 – peningkatan 75 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Pada Jun, pemeriksaan oleh The Straits Times (ST) menunjukkan bahawa empat daripada lima individu yang didakwa pada 2025 atas kes kecurian dalam pesawat merupakan warga China.

Dalam salah satu kes kecurian terburuk di dalam pesawat, seorang warga China mencuri wang tunai berjumlah $120,000 daripada seorang penumpang lain dalam penerbangan SIA. 

Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 30 bulan pada 21 Jun 2024.

Dia mengaku bersalah terhadap empat tuduhan, termasuk satu kesalahan mencuri dan satu kesalahan membawa masuk wang tunai melebihi had dibenarkan ke Singapura tanpa pengisytiharan.

Mangsa ialah seorang penjual barang kemas Singapura yang pergi ke Bangkok dan Hong Kong bagi menghadiri pameran perdagangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg