Seorang lelaki berusia 44 tahun telah dituduh atas dakwaan terlibat dalam penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah yang menyaksikan seorang wanita warga emas hampir kerugian $180,000.
Pada 1 September, warga Malaysia, Jong Yew Sin, dihadapkan dengan satu pertuduhan bersubahat melalui konspirasi dengan menggunakan dokumen palsu, yang kononnya merupakan sekuriti berharga dan satu lagi pertuduhan memiliki hasil penipuan.
Kesnya ditangguhkan untuk membolehkan siasatan diselesaikan.
Perbicaraan seterusnya dijadual pada 29 September, lapor The Straits Times (ST).
Dalam kes pada 30 Ogos itu, polis menjawab panggilan bantuan daripada UOB, berhubung permintaan mencurigakan Jong untuk mengeluaran cek tunai di kaunter salah sebuah cawangannya.
Dalam masa 30 minit laporan itu diterima, polis mengenal pasti Jong dan menahannya.
Siasatan awal mendedahkan dia didakwa cuba memudahkan pembayaran cek tunai $180,000.
Cek itu dikaitkan dengan laporan mengenai penyamarannya sebagai pegawai pemerintah, kononnya daripada Kementerian Undang-undang.
Mangsa, seorang wanita berusia 65 tahun, diberitahu pada 29 Ogos, bahawa beliau kononnya telah terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
Penipu itu kemudian meyakinkan wanita tersebut supaya memindahkan semua dananya daripada pelbagai akaun bank ke akaun UOB-nya untuk “tujuan penyiasatan”.
Mangsa juga diberitahu wang itu akan dikembalikan setelah siasatan selesai.
Wanita itu mematuhi arahan penipu, memindahkan kira-kira $40,000 ke akaun OCBC Bank, dan menyerahkan lima keping cek kosong yang telah ditandatangani kepada orang yang tidak dikenali.
Individu itu dikatakan telah menyamar sebagai pegawai penyiasat, dalam pertemuan berhampiran rumahnya pada 30 Ogos.
Jong dikatakan telah diarah oleh sindiket penipuan untuk menerima salah satu cek yang telah ditandatangani mangsa daripada individu yang tidak dikenali dan kemudian menukarnya kepada wang tunai di cawangan utama UOB di Raffles Place.
Semasa tangkapan, Jong ditemui bersama sekeping cek tunai dan dua kad ATM UOB Malaysia yang tidak dikenal pasti.
Jong didakwa telah ditugaskan satu sindiket penipuan luar negara untuk mengumpul dan menghantar wang tunai di Singapura.
Perangkaan penipuan pertengahan tahun yang diterbitkan pada 30 Ogos menunjukkan penipuan menerusi penyamaran pegawai pemerintah sebagai aspek penipuan yang membimbangkan pada separuh pertama 2025.
Bilangan kes sedemikian meningkat hampir tiga kali ganda, daripada 589 pada separuh pertama 2024, kepada 1,762 pada separuh pertama 2025.
Mangsa penipuan sedemikian kerugian $126.5 juta dalam enam bulan pertama 2025 – naik daripada $67.2 juta dalam tempoh yang sama pada 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg